Bab 93-Masih Dalam Ujian

2.3K 41 1
                                    

  Hujan turun mencurah-curah. Dentuman petir memekakkan telinga dan mengecutkan tali perut. Tempias hujan terus menerpa ke kamar, lalu jatuh atas halaman akhbar yang tersedai di dada meja. Rasa dingin terasa menggigit kulit tubuh. Tingkap segera saya rapatkan.
Bunyi deru hujan amat jelas kedengaran. Dalam saat-saat tertentu saya tersentak oleh bunyi petir, diikuti dengan cahaya kilat yang tajam menyelinap menerangi ruang kamar. Bagi menghilangkan kebekuan itu saya terus membaca berita yang termuat dalam akhbar.
Sejak pulang dari kampung halaman guru silat, saya dan datuk menghabiskan masa ke kebun getah ata pisang, pada sebelah pagi. Pada sebelah petangnya pula, pergi ke sawah. Kalau tidak turun ke sawah kami pergi memburu ayam hutan atau melihat jerat di pinggir belukar.
Satu hal yang membanggakan datuk ialah, kerana saya sudahpun menamatkan ilmu persilatan dengan guru silat. Sudah diadakan ujian dan menutup gelanggang tetapi, datuk tetap mengatakan apa yang saya tuntut itu masih belum cukup. Mesti diperlengkapkan dengan pengalaman dan ujian-ujian yang tidak diduga.
Di samping itu, datuk tetap menyuruh saya menambahkan ilmu mempertahankan diri sebanyak yang terdaya oleh saya.
"Kau harus belajar lagi, jangan sampai terpesong dari ajaran Islam. Kau harus mendalami ilmu agama kamu," secara mendadak sahaja saya teringat cakap datuk. Saya senyum sendirian. Bunyi deru hujan mula beransur reda.
Sudah hampir enam bulan saya meninggalkan kampung halaman guru silat. Tidak ada berita tentang bomoh tua yang disampaikan oleh adik guru silat kepada datuk. Apakah bomoh tua itu sudah bertaubat atau kian mengganas? Apakah adik guru silat tidak pernah menulis surat pada abangnya? Timbul pertanyaan dalam diri saya.
Saya membuat keputusan sendiri. Besok atau lusa saya akan menemui guru silat untuk bertanyakan perkara tersebut. Kalau guru silat enggan bercerita, saya sendiri akan menulis surat pada beberapa orang kawan di kampung halaman guru silat.
"Bagaimana kalau aku sendiri pergi ke sana, menyiasat keadaan yang sebenar? Tidak mungkin. Kalau datuk tahu aku pergi sendirian ke sana, teruk aku kena penamparnya," bisik hati kecil saya.
Saya senyum sendirian teringatkan tingkah laku bomoh tua di hari meninggalkan kampung halaman guru silat. Bomoh tua itu menahan perjalanan kami yang mahu pergi ke perhentian bas. Dia mengingatkan datuk tentang hasratnya untuk bersahabat dengan datuk, ingin belajar sesuatu dari datuk.
Ternyata hati datuk tidak dapat dilembutkannya. Datuk menyuruh dia bertaubat dulu serta kembali ke jalan yang betul.
Pada mulanya, saya begitu menyesali sikap datuk yang tidak mahu bertolak ansur itu. saya kesal kerana datuk begitu angkuh dengan orang yang mahu menjalinkan persahabatan dengannya. Rasa kesal saya itu berakhir bila saya menerima penjelasan dari guru silat.
"Tuk kamu tak angkuh Tamar. Dia tahu bomoh tua tu tak ikhlas, bomoh tu mahu memperdayakan dirinya," satu penjelasan dari guru silat. Tapi, saya kurang yakin dengan penjelasan itu. guru silat segera melanjutkannya.
"Kau sendiri tahu, datuk kau bersikap lembut. Dia suruh bomoh tua itu bertaubat. Bila bomoh itu mengetahui dan bersedia mahu bertaubat tentu dia mahu bersahabat. Datuk kau terlalu berhati-hati," sambung guru silat ketika berada dalam bas, waktu kami pulang dulu.
Akhirnya saya percaya dengan apa yang diluahkan guru silat tersebut. Sebabnya bukan apa-apa. Saya mahu mendapat keterangan yang tepat dari datuk. Kata datuk, dia memang menghargai hasrat bomoh tua itu. tetapi, dia tidak yakin apa yang dikatanya itu ikhlas dan jujur. Buktinya, waktu kamu mahu naik bas, bomoh tua itu cuba menggunakan ilmu hitamnya dengan memasukkan segenggam pasir ke dalam beg kain yang saya galas.
Pasir tersebut bila berada dalam beg dalam jangka waktu lebih kurang tiga jam akan bertukar menjadi habuk yang cukup halus macam habuk rokok. Melekat pada pakaian. Bila pakaian itu dipakai, seluruh tubuh menjadi bengkak dan gatal.
Bila terlalu kerap digaru, kulit akan tercalar lalu berair. Dan air itu akan mengeluarkan bau yang busuk. Tidak ada ubat yang boleh menghilangkan penyakit tersebut kecuali dengan cara tradisional iaitu menggunakan pasir yang sudah digoreng dengan hampas tebu. Hanya orang-orang yang tahu sahaja yang boleh melakukannya.
Bukan senang mencari orang yang tahu cara perubatan tradisional itu. kalau tidak menemui orang yang tahu, alamat si sakit akan menderita sampai mati. Mujurlah datuk sempat bertindak. Kalau lambat bertindak, padahnya akan ditanggung sampai mati. Cara datuk mengesan perbuatan bomoh tua itu juga amat menarik.
Bila datuk terpandangkan bomoh tua menaruh pasir ke dalam beg yang saya galas, datuk segera mengoyakkan bahagian bucu beg. Semua pasir di dalamnya terus jatuh di permukaan jalan raya, menjadi debu. Melihat tindakan datuk itu, bomoh tua berasa malu lalu meninggalkan kami tanpa mengucapkan sesuatu.
Walaupun begitu datuk masih yakin bomoh tua itu akan membalas dendam. Bila masanya bomoh tua mahu bertindak tidak ada sesiapa pun yang tahu. Walaupun begitu, datuk tetap berjaga-jaga dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Datuk serahkan segalagalanya pada Allah yang maha kuasa.
"Assalamualaikum."
Saya tersentak dari lamunan.
"Waalaikumsalam, naiklah."
Terdengar suara datuk menjawab. Perasaan saya bagaikan digaru-garu mahu mengetahui suara siapakah yang memberi salam. Rasa-rasanya saya pernah mendengar suara itu. Di mana dan bila, saya kurang pasti. Saya terus mengamati dengan teliti suara orang yang bercakap dengan datuk itu.
"Ah, dia datang."
Saya melonjak kegembiraan dan terus bangun. Buku jendela, titik hujan sudah berhenti luruh dari dada langit. Saya keluar dari kamar lalu menuju ke ruang tengah. Senyum tetap terukir di bibir dan hati terus dikocak kegembiraan.
"Kamu dari mana Tamar?" Tanya guru silat.
"Apa lagi, buat tahi mata lebih-lebih lagi waktu hujang begini," tingkah datuk. Saya terus duduk dekat guru silat.
"Saya tak tidur tuk!"
"Kalau kau tak tidur, kau buat apa dalam bilik?"
"Saya membaca tuk."
"Kau baca apa?"
"Baca suratkhabar."
"Hummmmm aku ingatkan baca kitab," datuk juihkan bibir sambil menarik naFas panjang. Guru silat terus senyum. Belakang saya ditepuknya dua tiga kali berturut-turut.
Saya merenung ke arah jam dinding. Sudah petang. Secara mendadak saya teringat hari itu adalah hari Khamis. Bila matahari terbenam di kaki langit, saya akan berada dalam suasana malam Jumaat. Ada beberapa aturan yang mesti saya patuhi. Peraturan itu amat membosankan tetapi apakan daya saya terpaksa mematuhinya.
Biasanya setelah menunaikan fardhu Maghrib, datuk berwirid panjang. Lepas itu membaca surah al-Waqiah atau surah al-Mulk atau surah at-Taubat. Jika tidak membaca salah satu surah itu, dia akan membaca surah Yaasin. Pokoknya, dari waktu Maghrib hingga sampai waktu Isyak mesti diisi dengan kegiatan yang mendatangkan faedah. Kegiatan itu ditamatkan setelah menunaikan sembahyang Isyak.
Memang menjadi kebiasaan saya, setelah selesai menunaikan fardhu isyak saya menyusur tepi dinding perlahan-lahan kemudian menyelinap masuk ke kamar lalu mematikan diri. Saya tidak mahu melibatkan diri dengan datuk untuk membaca Quran.
"Eh, apa yang kamu menungkan, Tamar?"
Nenek sergah saya. Cepat-cepat saya renung ke arAh datuk dan guru silat. Mereka juga saya lihat mengelamun tetapi anehnya kenapa nenek tidak menegur mereka.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 6 ) (COMPLETE)Where stories live. Discover now