Siri 279-Pendekar itu Namanya Mahruf

807 16 0
                                    

  Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin

Agak lama juga Pak Jabbar termenung. Renungan redupnya melepasi lorong dan bangunan didepan, bagaikan menyorot sejauh mungkin kisah lampau.

"Saya tak berniat mahu menyusahkan anda. Kalau berat rasanya tak usahlah disebut kisah Mahruf," lembut nada suara datuk meluahkan kata.

"Bukan apa-apa, saya terasa hiba bila menyebut nama Mahruf, orangnya baik berhati mulia. Saya masih ingat cakapnya, menuntut ilmu mempertahankan diri adalah sunnah Nabi."

"Nabi Muhammad s.a.w suka dengan gusti, memanah dan naik kuda. Bukan sesuatu yang pelik kalau dulu pendekar Tanah Abang belajar ilmu mempertahankan diri dikawasan masjid," Pak Jabbar berhenti bercakap. Dia membetulkan silanya, bertindih betis, macam pahlawan lampau.

"Dia selalu berpesan pada kawan-kawan..." Pak Jabbar menambah kata tetapi, tidak melanjutkannya. Jamaluddin dan datuk tersentak dengan tindakannya itu.

"Apa pesannya?" tanya Jamaluddin.

"Jangan menjual dan menunjuk-nunjuk. Tetapi bersedialah membeli dari orang yang mahu menjual," sebaik menamatkan ungkapan itu. Pak Jabbar tentang biji mata Jamaluddin.

"Ada lagi pesannya yang lain?" datang lagi pertanyaan dari Jamaluddin.

"Ada, apa kamu mahu tahu?" Pak Jabbar ketawa.

"Mahu," Jamaluddin bertambah semangat.

"Apa moyang kamu tidak meniggalkan pesan pada datuk kamu untuk disampaikan kepada ayah kamu?"

Jamaluddin gelengkan kepala.

"Barangkali pesan itu sampai pada ayah kamu, tetapi, ayah kamu terlupa untuk menyampaikan kepada kamu, Jamal."

Mereka pun ketawa serentak.

Sebuah motorsikal Honda bearak gagah dilorong depan warung. Debu-debu halus kembali berterbangan. Beberapa orang penduduk yang berjalan dalam debu melambaikan tangan ke arah Pak Jabbar dan Jamaluddin. Melihat situasi tersebut, sesiapa pun boleh membuat kesimpulan bahawa Pak Jabbar adalah orang tua yang dihormati dan disegani dikawasan tersebut.

Beberapa ekor burung merpati terbang berlegar-legar lalu hinggap dibumbung warung seketika. Kemudian terbang lagi dan terus bertenggek didahan pokok besar dihujung lorong. Jamaluddin dibalut kegelisahan, Pak Jabbar masih belum mengungkapkan pesan Mahruf padanya.

"Wajarkah aku mengingatkan atau menunggunya dengan penuh sabar atau melupakan terus." perasaan Jamaluddin terus diamuk keresahan. Berkali-kali dia menggigit bibir.

"Pesannya..."

Biji mata Jamaluddin terbeliak. Seluruh perhatian tertumpu ke arah Pak Jabbar sambil mengharapkan kata-kata yang baru berhenti diucapkan akan disambung semula.

"Pesannya," sambung Pak Jabbar, "bersabarlah dengan sebaik mungkin. Kalau dicaci maki boleh diterima, anggap macam anjing menyalak bukit, tidak mengigit, buat apa dilayan. Tetapi, kalau tangan sudah naik ke badan, jangan fikir panjang terus melawan, kalah atau mati jangan dihitung, pokoknya maruah diri harus dipertahankan," Pak Jabbar tersengih, Jamaluddin telan air liur.

"Sesuai dengan pepatah Melayu yang berbunyi: buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Kalau sudah berbuat jahat, buruknya tak terkata, macam Hang Jebat mengamuk satu kota," secara spontan saya bersuara.

"Betuk cakap kamu, itulah tradisi adat rumpun Melayu, maruah bangsa, tali persahabatan dan taat setia tiada ternilai harganya, hanya nyawa dan badan jadi gantinya,"

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 5)(COMPLETE)Where stories live. Discover now