Bab 14

572 20 0
                                    

"Semua orang puji masakan Cik Leia. Terutamanya Si Caleb ni, hah!" Matilda melepuk lengan Caleb. Caleb tersipu-sipu.

Leia senyum malu. Setakat bubur jagung saja pun. Resipi bubur yang terpaksa diderhakakan kerana tidak cukup bahan. Mana ada daun pandan dan santan di situ? Jadi, Leia campak sahaja apa yang ada.

"Syukurlah, Cik Leia selamat semasa ribut semalam. Bos sangat risau. Dia juga hampir maut ketika panjat menara tu." Caleb menukar topik, sekali gus memberikan maklumat.

Muka Leia berubah. Dia terdiam sebentar sambil merenung Caleb. Kata-kata Caleb itu cuba dihadamkan.

"Kenapa bos panjat menara, Caleb?"

"Untuk tinjau di mana Cik Leia berada. Menara tu kena panah petir. Hampir-hampir terkena bos. Mujur bos sempat terjun. Menara terbakar dan tumbang dekat dengan kami."

"Oh!" Leia kehilangan kata-kata. Patutlah Darrel sudah tahu tentang menara yang tumbang itu. Patutlah Darrel marah sangat dengan Leia. Kini, Leia mula faham situasi sebenar.

Debbie perasan muka Leia yang berubah. Dia juga dapat rasakan mood sudah menjadi lain. Dengan pantas, dia kembalikan topik kepada bubur jagung Leia yang menjadi sebutan ramai itu.

"Mula-mula aku tengok dia masak, aku kurang yakin. Dia main campak-campak saja. Dan sekejap-sekejap dia tanya mana nak cari bahan itu, bahan ini. Tapi, akhirnya menjadi juga, kan?"

Leia ketawa girang dengan pujian daripada Debbie pula. Di akhir tawanya, dia senyum. Ketika itulah matanya terlempar kepada Darrel yang berada tidak jauh dari situ. Darrel sedang merenungnya tidak lepas-lepas. Leia melebarkan senyum. Sebagai tanda terima kasih kepada lelaki yang telah menggadai nyawa cuba menyelamatkan dirinya.

Darrel mengangguk tanda mengerti yang senyuman itu untuknya. Renungan Darrel makin tajam. Namun, muka itu masih serius. Leia berpaling apabila tidak tahan dengan sinar biru yang mencerun itu. Dia berpura-pura menyambung borak dengan keluarga Matilda.

Bunyi petikan gitar menarik perhatian Leia. Dia tercari-cari siapa yang sedang bermain muzik itu. Matanya tertancap kepada Darrel yang sedang memegang gitar. Mata mereka bertembung lagi. Tanpa mengalihkan renungannya daripada Leia, Darrel mula menyanyi sambil memetik gitar. Merdu suaranya.

Leia cuba memandang tempat lain. Tapi suara Darrel yang sedap itu membuatnya terpaku. Dadanya berdebar. Mukanya terasa berbahang.

"Sedap suara abang kau," puji Leia kepada Debbie yang duduk di sebelahnya.

"Pergilah puji dia sendiri. Dia tentu suka." Debbie menyiku Leia sambil memberi galakan.

"Tak naklah. Malu." Leia cuba mengelak dari memandang Darrel. Tapi suara merdu lelaki itu bagaikan memanggil-manggil minta dipandang. Dia menjeling Darrel dengan ekor matanya.

"Pergilah. Abang aku tu, baik sebenarnya. Pergilah berbaik-baik dengan dia. Mana tahu, mungkin kau akan suka pada dia." Debbie meneruskan galakannya.

"Debbie! Kau jangan macam-macam." Leia pura-pura marah.

"Pergilah... Kau orang berdua ada urusan yang belum selesai."

Leia tahu apa maksud Debbie. Dia dan Darrel masih belum minta maaf dan berterima kasih atas jasa masing-masing. Leia menarik nafas dalam dan bangun. Dia mengatur langkah perlahan menuju ke tempat Darrel duduk. Darrel masih mendendangkan lagu sambil memetik gitarnya. Di bawah cahaya unggun api yang berbalam-balam itu, wajah Darrel ada bayangan misteri.

"Lagu ini tentang kesedihan dan kerinduan. Juga harapan akan bertemu dengan tersayang yang dah tiada." Leia membuka kata kepada Darrel yang sudah mengangkat muka memandangnya. Darrel menghentikan dendangan.

Kontra Yang MenyatukanWhere stories live. Discover now