Bab 7

2K 58 0
                                    

DIA dah dapat agak. Ini yang menanti dia di rumah. Bukan seharian dia ada dekat Cafe Roma. Bukan dua puluh empat jam dia berborak dengan Nel. Nel ada di depan dia hanya untuk sepuluh minit sebelum lelaki itu perlu beralih tempat di belakang kaunter. Hanya sesekali, Nel temani dia dengan senyuman. Biarpun dia kerap kali tak membalas senyuman itu.

Sekarang, ayah tuduh dia lain pula.

"Cakaplah kalau ayah tanya ni, Edian?!" jerkah Esmail.

Dian angkat wajah. Tadi, tak sempat tutup pintu, ayah dah menyerang hendap.

"Dian memang pergi kerja, ayah. Kan dah cakap ada design nak kena buat balik. Urgent pula tu. Bukan Dian pergi tempat bukan-bukan. Pernah ke selama ni Dian tipu ayah, pergi lepak dekat tempat bukan-bukan?" soalnya bernada lirih.

"Memang tak pernah tapi sekarang dah reti, kan? Kan ayah dah cakap, ayah nampak kau dekat kafe tu. Seharian kau boleh duduk sana, menghadap muka budak lelaki tu, kan?" tuduh ayah tanpa bertanya sebaris penjelasan.

Liur ditelan. Letih dah dia. Rasa nak aje pindah rumah. Tapi, ayah dengan mama hanya ada dia. Mana boleh dia tinggalkan mereka begitu saja. Rumah besar ini pasti akan jadi padang jarak padang terkukur. Sekarang pun, dah tak ubah seperti dilanggar geroda. Hening sungguh hati dia.

"Ayah terus tuduh Dian. Tak boleh ke ayah tanya? Apa yang ayah nampak tak sama dengan apa yang dah jadi, yah..."

"Apa yang dah jadi? Hah? Cuba kau terangkan. Ni ayah tanya ni."

Bulat mata Esmail. Kan dia dah tegaskan, Dian dah pandai menjawab. Betullah. Dian dah berubah.

"Cuba bawa bersabar, abang. Bagi Dian terangkan dulu," tokok Elina pula. Dia pandang wajah mendung Dian. Risau kalau-kalau sekali lagi penampar suaminya hinggap pada wajah Dian. Sedangkan wajah itu nampak sudah cukup letih.

Tadi, masa mula-mula Dian masuk ke rumah, wajah itu nampak sedikit manis biarpun tak ketara sangat. Tapi sekarang, makin kelat daripada sebelumnya.

"Kerja Dian dah siap?" tanya mama perlahan.

Dian geleng.

"Ada lagi suku nak kena siapkan," jawabnya. Tahu, mama nak ubah aura kemarahan ayah. Tapi, manalah ayah ni reti nak sejuk.

"Ayah... Dian memang pergi ofis pagi tadi. Dian pergi kafe tu pun dah petang. Dian lapar dah masa tu. Itu yang pergi situ. Duduk sekejap aje. Dia duduk depan Dian tak sampai sepuluh minit pun dan masa tu ayah ternampak kami. Bukannya Dian daripada pagi dengan dia. Dian ada kerja. Dia pun ada kerja. Tak ada masa nak temankan Dian ni. Lagipun Dian bukan sesiapa pada dia untuk dia prihatin macam yang ayah sangka tu."

"Wah, wah... Awak dengar tu, Elina."

Esmail dah cekak pinggang.

"Nampak tak macam mana dia bela budak lelaki tu? Tak pernah-pernah dia bela Haikal tu, alih-alih sekarang dia backup budak tu!" Marah sungguh dah dia ni.

"Kalau kata kau tu tak penting pada dia, takkanlah dia boleh bagi kek dekat kau? Maknanya kau dengan dia ada hubungan istimewalah tu..."

Kali ini, dahi Edian berkerut. Kenyataannya, memang Nel beri kek tu pada dia. Hadiah katanya. Dia pun tak tahu kenapa tapi boleh jadi air wajahnya begitu pahit dan kelat hinggakan Nel mahu memberi sedikit kemanisan. Entahlah.

Kali ini, dia perlu akui... Dia telah melakukan silap besar kerana melibatkan Nel padahal mereka baru aje kenal.

"Itu kek Dian. Dian rasa nak makan tapi Dian tak makan. Dia cuma tolong bungkuskan untuk Dian sebab kek tu tak berusik. Dia rasa membazir. Sebab itu aje, ayah..."

Separuhnya hakikat dan sebahagian lagi adalah penipuan.

Boleh jadi, benar kata ayah. Dia telah berubah! Perubahan yang dia sendiri tak sedar.

"Kau tak payah nak tipu aku, Edian. Aku ada mata. Aku nampak. Kalau kata Haikal cerita, mungkin aku tak terima bulat-bulat tapi memang aku tengok dengan mata kepala aku sendiri. Kau ni memang jatuh cinta tergolek dekat budak tu, kan Edian?"

Tuhan... Dian raup wajah menerima soalan ayah. Lain yang dia maksudkan, lain pula yang ayah faham. Jauh sungguh ayah tafsir apa yang dia katakan tadi. Kalaulah ayah tahu dia baru tahu kewujudan lelaki bernama Nel itu minggu lepas, mesti lagi dalam ayah tanam syak wasangka.

"Dian memang tak tahu lagi nak terangkan macam mana dekat ayah. Ikut suka ayahlah nak fikir apa. Dian naik dulu..."

Tubuh diangkat. Pegangan mama direnggangkan. Daripada menanti dan menjadi sasaran penampar ayah lagi, lebih baik dia berundur.

Langkah diatur. Lemah. Senyum yang dia ukir pada Nel tadi, entahkan tulus atau tidak. Apa yang pasti, hatinya terasa sedikit lapang bila lelaki itu ada di depan mata biarpun dia jarang meluahkan bicara.

"Edian!" larang Esmail.

Dian tercegat kaku. Tak jadi melangkah. Tapi langsung tak menoleh.

"Kau memang cinta budak tu, kan? Sebab tu kau sanggup putuskan pertunangan kau dengan Haikal? Melawan cakap kami? Kan?" Suaranya makin berdentum.

Dian senyum. Senyum kerana teringat akan kata-kata Nel. Soalan lelaki itu dan jawapan bisunya.

"Nantilah Dian ajak dia datang. Kenalkan dia secara rasmi dengan ayah dan mama. Kalau mama dan ayah nak Dian kahwin, dialah lelakinya. Kalau tak, Dian tetap akan kawan dengan dia..."

Senyuman tawar diukir.

Kata-kata itu dia tahu, telah menyelar ayah dan mama. Tapi, andai itu boleh diamkan semua orang daripada kisah antara dia dan Haikal yang tak mampu dia luahkan sebabnya, dia rela.

Biarpun sekali lagi dia melakukan kesilapan kerana melibatkan Nel dalam masalahnya. 

Sugar?Where stories live. Discover now