Bab 13 (15 Ramadhan)

158 20 0
                                    

Saedah mematikan enjin motor dan duduk seketika merenung pintu utama rumah. Entahlah... dia buntu. Dia tidak tahu mahu memberi reaksi apa apabila berhadapan dengan keluarganya memandangkan orang kampung sudah tahu nama penuhnya.

Mata Saedah bergerak ke arah kiri. Dia terasa seperti ada pergerakan di dalam kawasan halaman rumah Mak Rahmah. Saat matanya menangkap gerak-geri tubuh Ramadhan, dia terdetik sesuatu.

Adakah Ramadhan sudah mengetahui nama betulnya dan ini yang membuatkan Ramadhan mula menjauhi dirinya? Sebenarnya, Saedah perasan sejak dua hari lalu, Ramadhan pula yang cuba menjauhi dirinya. Sama seperti dia menjauhi diri daripada Ramadhan.

Saedah mula menggeleng kepala perlahan. Diusir semua perkara tentang Ramadhan itu. Sudah kenapa disaat dia mengalami krisis begini masih sibuk hendak memikirkan perihal Ramadhan yang mula mengelak daripadanya?

Saedah mula turun daripada motorsikal miliknya dan membawa semua barang yang dibeli masuk ke dalam rumah. Ada baiknya dia terus masuk ke dalam rumah dari terus menerus melihat Ramadhan dalam diam seperti selalu.

Kaki melangkah masuk ke dalam dan dia terus berjalan ke arah dapur. Dalam hati, dia berasa hairan juga. Dimana ahli keluarga yang lain? Mengapa senyap sunyi saja kawasan ruang tamu? Sedangkan selipar semua orang ada saja diluar rumah.

"La... patutlah Saedah tengok sunyi aje ruang tamu. Semua dekat sini rupanya. Saedah ingatkan semua ke manalah tadi," ujar Saedah lega apabila melihat Ayah Daud, Abang Ijat yang masih berpakaian kerjanya dan Mak Rahmah sedang duduk di meja makan.

Tapi...

Kenapa pula semua hanya diam tanpa membuat sebarang kerja?

"Ayah? Mak? Abang Ijat? Kenapa ni? Ada apa-apa yang tak kena ke?" tanya Saedah risau. Manalah dia tahu kalau-kalau ada sesuatu berlaku di dalam rumah semasa dia sedang keluar membeli barang.

Ayah Daud, Mak Ijah dan Ijat memandang sesama sendiri dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Masing-masing jelas kelihatan gusar sekarang ini.

"Saedah, mari duduk sebelah ayah sekejap," pamit Ayah Daud menepuk kerusi yang kosong disebelahnya.

"Barang ni?" tanya Saedah ringkas sambil menunjukkan barang-barang yang dibelinya.

"Letak aje dulu atas meja makan ni. Cepat, Saedah. Duduk sebelah ayah," kata Mak Ijah pula dan Saedah hanya mengangguk, akur dengan kata-kata emaknya.

"Ada apa?" tanya Saedah apabila suasana di dapur itu diam tanpa suara. Cuma kedengaran sesekali Ayah Daud, Mak Ijah dan Ijat mengeluh saja.

"Saedah, kamu tak perlu lagi buat pura-pura tak tahu keadaan yang terjadi sekarang," kata Ayah Daud perlahan dan penuh sayu.

"Hah? Saedah tak faham."

"Saedah, Abang Ijat sudah dengar semuanya dari mulut orang kampung masa abang berhenti kejap dekat depan warung Pak Seman tu. Mak dan ayah pun dah tahu. Tak apa, Saedah," kata Abang Ijat dan pandangan matanya, penuh rasa kasihan terhadap adiknya. Sedih dan terasa mahu saja meraung melihat betapa Saedah tabah menghadapi semua ini. Macamlah dia tidak tahu sekarang ini Saedah berlakon seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Saedah masih lagi begitu, cuba menyatakan dia memang tidak tahu apa-apa walaupun dalam hati dia tahu, semua ini sia-sia. Tapi, melihat wajah ketiga-tiga orang yang berada dengannya yang sayu ini, membuatkan dia tidak sampai hati untuk meluahkan semua.

"Orang kampung sudah tahu nama penuh Saedah, bukan? Nur Zulia Saedah Binti Zulkarnain." Kata-kata yang keluar dari mulut Mak Ijah membuatkan Saedah tidak mampu bertahan lagi. Muka yang tadi tenang berubah mendung. Saedah menunduk memandang bawah.

"Ada mak cik-mak cik tadi cakap Saedah anak pungut." Perlahan saja suara Saedah mengadu. Dia masih memandang bawah melihat tangannya yang sudah menggenggam hujung baju.

Mengucap panjang Ayah Daud saat mendengar aduan Saedah tadi. Begitu juga dengan Mak Ijah dan Ijat. Inilah sebab mengapa dia memesan kepada Saedah supaya tidak memberitahu nama penuhnya. Dia tahu, perkara begini akan berlaku. Semasa mereka baru berpindah, dia orang dapat mengagak yang orang kampung ini jenisnya agak anti dengan orang seperti Saedah. Hanya kerana nama bapa Saedah tidak sama dengan nama Ayah Daud. Mereka pasti akan menganggap orang seperti Saedah ini anak haram, anak pungut dan seangkatan dengannya.

Langsung tiada insuran mulut mereka! Kejam! Apa salahnya kalau mereka begitu pun? Terlalu fikir mereka ini suci sehingga memandang rendah terhadap orang begini. Sedangkan semua orang adalah sama walau macam mana pun kewujudan mereka.

"Tak, Saedah bukan anak pungut. Saedah anak ayah, anak mak," pujuk Ayah Daud dan terus menarik Saedah ke dalam pelukkannya. Diusap perlahan badan Saedah bagi menenangkan anaknya yang sudah menangis.

Mak Ijah bangun dari duduknya dan terus meluru ke arah Saedah. Dia juga memeluk Saedah bagi menenangkan anak tersebut.

"Betul tu. Saedah anak mak! Anak ayah!" kata Mak Ijah yang sudah beremosi. Ijat pula, di tempat duduknya, hanya mampu memandang sambil menggenggam tangannya kuat. Dia rasa marah, kepada orang kampung yang terus menghukum tanpa mengetahui perkara sebenar dan dia rasa sedih melihat adiknya dalam keadaan begini.

Kuatkan diri, Saedah!

Selamat Datang Ramadhan! [ C ]Où les histoires vivent. Découvrez maintenant