PERGILAH AIR MATA 1

1.5K 16 5
                                    

T

ERKIAL-KIAL dia membimbit beg pakaiannya yang sederhana besar. Mengekori langkah laju yang mendahuluinya itu. Dalam rasa canggung yang amat sangat, dia terpaksa mengikut lelaki ini. Tidak banyak pilihan yang dia ada. Kurang jelas di mana silapnya, namun, kesilapan itu ternyata membawanya ke dunia asing ini.

Badrul berhenti seketika di hadapan pintu utama banglo yang tersergam indah itu. Tercegat di situ untuk beberapa ketika sebelum berpaling memandang wajah Sabrina. Menanggapi renungan Badrul yang dingin, membuat Sabrina kecut. Sudahnya, dia tunduk memandang kakinya sendiri. Tidak sanggup membalas renungan lelaki ini. Renungan yang penuh dengan kebencian. Renungan yang penuh dengan rasa tidak puas hati.

Perlahan Badrul menolak daun pintu. Melangkah masuk dengan perasaan yang berbelah bagi. Sebenarnya segunung rasa malu menghempap jiwanya saat ini. Malu untuk berdepan dengan ibu dan ayahnya. Malu dengan apa yang telah menimpanya. Teringatkan peristiwa buruk yang dilaluinya, dia menoleh lagi. Merenung tajam ke arah Sabrina masih tercegat di luar. Mematung di hujung tangga bersama wajah mendungnya. Seperti biasa, melihat wajah mendung itu, rasa geram pasti meluap-luap di hatinya.

"Hey! Masuklah! Apa lagi tercegat di situ? Nak tunggu aku dukung ke?,"

Herdikan itu membuat Sabrina tersentak. Beg pakaian terlepas di tangan. Rasa sebak, tiba-tiba menyerang jiwa. Dengan begitu mudah, air mata bertamu lagi di birai mata. Laju jatuh ke pipi. Badrul membuang pandang. Itu sahajalah yang gadis ini tahu. Menangis...menangis...dan menangis. Naik muak dia melihat air mata itu.

"Oh... please. Aku benci betul tengok air mata tu. Tolong jangan tambah benci aku ni,"bentak Badrul geram.

Segera Sabrina mengesat air mata yang sudah membanjiri pipi. Menahan esakan yang mula menghimpit rasa. Melihat wajah Badrul yang mencuka, dan menyedari air mata yang seakan tidak kering di pipi, tiba-tiba terasa dia keseorangan di dunia ini. Ya ALLAH! Kenapa sehebat ini dugaan yang kau berikan padaku? Tertanggungkah aku, Ya ALLAH? Sabrina mula menghitung nasib.

"Masuk!,"

Sekali lagi dia tersentak. Perlahan dia beranikan diri menentang renungan Badrul yang tetap penuh dengan kebencian. Beginikah cara dia disambut di rumah besar ini? Bukanlah sambutan meriah yang dia harapkan. Tetapi, janganlah dia dilayan seburuk ini. Walau apa yang berlaku, dia masih seorang manusia. Menyedari renungan marah Badrul tidak mungkin berubah, dia kembali menundukkan muka.

Perlahan dia mencapai beg pakaian yang terlucut dari pegangan sebentar tadi. Perlahan juga dia melangkah masuk ke dalam banglo mewah milik Datuk Hamidi. Mengekori langkah Badrul. Kemudian dia cuma terkebil-kebil melihat Badrul melangkah laju meninggalkannya sendirian di tengah-tengah ruang tamu yang luas. Tiada sesiapa di situ. Apa yang patut dia lakukan di sini? Ke manakah harus dia aturkan langkah di dalam rumah yang teramat asing padanya ini? Di mana semua orang? Benci benar penghuni rumah ini, padaku. Hati Sabrina berdetik sendu. Padahal apa yang berlaku bukan salahnya. Bibir matanya kembali terasa panas. Hiba dengan layanan keluarga kaya itu. Kehadirannya di situ, tidak dialu-alukan langsung. Ingin sahaja dia pergi dari situ. Tetapi, kakinya sudah terikat. Akad yang telah Badrul lafaz, telah merantai langkahnya. Dia sudah terikat dengan ikatan perkahwinan. Sama ada dia suka atau tidak, dia kini isteri Badrul. Seorang lelaki yang langsung dia tidak kenal. Air mata yang menitis, disapu perlahan. Cuma itulah yang mampu dia lakukan sejak seminggu lalu. Menangis. Menangis. Dan menangis.

"Kenapa tercegat di situ?,"

Suara itu membuat Sabrina tersentak. Pipinya yang basah, disapu segera. Datuk Hamidi tercegat di hadapannya. Dia cuba mengukir senyum. Namun, gagal. Wajah serius Datuk Hamidi cukup menakutkan. Segarit senyum pun tiada di wajah itu. Serius. Menakutkan.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 05, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

PERGILAH AIR MATAWhere stories live. Discover now