Kampung Hilang - Bab 2

59 0 0
                                    

Penghujung September 1948...

SEBAHAGIAN besar daripada penduduk
kampung telah berpindah ke tempat yang lebih selamat.
Askar-askar kerajaan yang didatangkan ke kampung
itu, tidak begitu menjamin keselamatan mereka.
Mat Perang gagal menangkap Andang, sebaliknya dia
dan gerombolannya telah diserang oleh penduduk
Kampung Orang Asli Sungai Kumbai. Serangan
mengejut yang dilakukan oleh Orang Asli Sungai
Kumbai menyebabkan Mat Perang sendiri tercedera,
manakala beberapa orang anggota gerombolannya
selain ditangkap, turut dibunuh.
Khabarnya, kedatangan Mat Perang dan
gerombolannya yang lengkap bersenjata itu telah
diketahui oleh penduduk Kampung Sungai Kumbai.
Mat Perang yang cukup yakin kerana memiliki senjata
api berbanding penduduk Sungai Kumbai yang hanya
menggunakan sumpit dan panah, datang pada tengah
hari ketika hampir semua orang berada di kampung.
Tidak lama masa yang diambil oleh penduduk
Sungai Kumbai untuk menewaskan dan memalukan
Mat Perang. Apabila semua jalan keluar telah dikepung,
manakala jalan masuk ke kampung itu pula disekat,
Mat Perang dan gerombolannya terperangkap. Hanya
kerana nyawanya masih panjang, Mat Perang terselamat
daripada dibunuh dan berjaya melepaskan diri. Itu pun
dia mengalami kecederaan apabila dua batang anak
panah yang matanya bersalut racun ipuh, tertusuk ke
betis dan pahanya.
Mid tidak berhajat untuk ke Kampung Sungai
Kumbai meskipun beberapa kali Daram mengajaknya
ke sana. Sebaliknya Mid banyak mendengar cerita dan
khabar dari Kampung Sungai Kumbai menerusi Darus.
Biarpun kurang percaya dengan cerita-cerita Darus,
namun Mid memilih untuk sekadar menjadi pendengar
tanpa menyampuk biarpun pada masa yang sama, Mid
begitu teringin mengingatkan Darus tentang ketakutan
luar biasanya sewaktu Mat Perang dan gerombolan
komunis datang ke kampung mereka mencari Andang
beberapa minggu sebelum itu.
Darus sendiri tidak segan silu atau malu untuk
menceritakan pengalamannya bersama-sama Daram.
Jikalau diturut-turutkan ceritanya, Darus bersendirian
di dalam hutan di Kampung Sungai Kumbai walaupun
pada tengah malam demi keselamatan dan memburu
komunis. Jarang benar nama Daram disebut oleh Darus
dalam ceritanya, tetapi nama Andang sentiasa meniti di
bibir seolah-olah Andang sangat rapat dan sangat akrab
dengannya. Seolah-olah tanpa Darus, Andang akan
pincang sebelah kaki dan tidak tahu apa yang harus
dilakukan.
Daram tidak banyak menyanggah temberang
Darus. Mungkin Daram mahu membiarkan Darus
berseronok dengan caranya sendiri. Musim-musim
perang dan darurat sebegitu, apalah sangat hiburan
yang ada. Jikalau ke pekan pun, belum tentu ada joget
lambak seperti sebelum perang dahulu.
"Esok petang kami nak masuk ke hutan di
kaki gunung. Orang Asli Kampung Sungai Kumbai
yang minta kami datang untuk berjaga-jaga," Darus
bersuara lantang seolah-olah mahu seluruh kampung,
kalau tidak pun satu masjid memberikan perhatian
kepadanya.
Petang itu, orang kampung berkumpul di
masjid untuk bermesyuarat dan melantik ketua
kampung, imam dan siak baharu. Ketua kampung,
imam dan siak lama, semenjak kehadiran Mat Perang
dengan gerombolan komunisnya, telah hilang entah ke
mana. Seperti batang tubuh mereka yang ghaib, khabar
berita juga tidak siapa pun yang tahu. Ada yang kata,
mereka telah melarikan diri tanpa membawa keluarga
masing-masing. Ada juga yang kata, besar kemungkinan
mereka telah dilarikan komunis ke dalam hutan.
"Nak buat apa ke sana? Kan askar-askar
kerajaan dah ada," tanya Mid dengan nada acuh tak
acuh. Jawapan Darus sebenarnya sudah diduganya.
"Askar-askar kerajaan tu bukannya tahu sangat.
Mereka bukan orang kawasan ini. Banyak yang datang
tu, askar-askar orang putih. Apalah yang mereka
tahu tentang hutan kita. Kena gigit nyamuk pun dah
bengkak-bengkil muka masing-masing."
"Betullah kebanyakan askar-askar kerajaan tu,
orang putih. Tapi kena ingat, dah beratus tahun orang
putih perintah negara ini."
"Ah, ini kawasan kita. Ini tempat kita. Segala
ceruk rantau, lembah belukar di kawasan ini, kita yang
lebih tahu berbanding askar-askar kerajaan tu."
"Apalah sangat kita ni kalau dibandingkan
dengan askar-askar kerajaan tu. Askar-askar kerajaan
itu lengkap bersenjata, lebih terlatih. Bukan saja dari
segi senjata, risikan, latihan dan taktik pun lebih baik
daripada kita orang-orang kampung ni," Mid seperti
sengaja mencabar ego Darus.
Darus mencebik.
"Taklah hebat mana pun. Kalau nak dapatkan
maklumat, orang kampung juga yang dicari dan ditanya.
Kalau kita tak bagi maklumat, askar-askar kerajaan tu
takkan boleh buru komunis-komunis dalam hutan."
Orang kampung yang tadinya berkumpul,
perlahan-lahan menjarakkan diri. Mungkin mereka
sudah bosan mendengar sembang besar Darus. Atau
barangkali mereka sedar, masa sudah semakin suntuk
sebelum perintah berkurung dikuatkuasakan.
Darus seperti tidak berpuas hati kerana orang
kampung enggan mendengar ceritanya.
"Kau berdua tengoklah orang kampung ni.
Langsung tak tahu nak berterima kasih dengan orang
yang bersusah payah nak pastikan keselamatan kita
semua." Semakin kuat suara Darus. Dia mencebik-cebik.
"Orang kampung kenal kau, Darus," balas Mid.
Daram bersetuju.
Muka Darus merah padam.
"Ah, kau berdua pun sama macam orang
kampung ni."
"Kami semua dah nak bermesyuarat. Tak ada
masa nak dengar cerita kau. Kau simpan cerita kau
untuk anak cucu kau," kata Mid lagi.
Darus bingkas dengan wajah mencuka.
"Sekejap lagi dah pukul 6. Semua orang kena
duduk dalam rumah. Kalau kau tak berminat nak
bermesyuarat, eloklah kau balik. Pergi angkat kayu api
dan air. Nanti malam dah tak boleh keluar lagi," Daram
pula bersuara.
"Aku nak ke Kampung Sungai Kumbai," balas
Darus.
"Berani sangatlah kau nak pergi seorang diri,"
Daram tersenyum mengejek.
"Daripada kau asyik bercerita tentang kehebatan
kau, baik kau duduk sekali dalam mesyuarat ni. Kita ni
nak pilih ketua kampung, imam dan siak yang baharu.
Mungkin kau teringin salah satu jawatan tu. Kau pun
sebelum ini bukan main dengki dengan arwah Cikgu
Amad," kata Mid pula.
"Lagi-lagi orang yang dah mati tu juga yang
disebut namanya. Kalau sebut beratus kali pun, dia
bukan boleh bangun dan selamatkan orang kampung
ni. Yang hidup ni jugalah yang dapat selamatkan orang
kampung." Darus menepuk-nepuk dadanya.
Ada orang kampung yang tergelak dengan
kata-kata Darus. Apabila seorang sudah ketawa, yang
lain-lain pun turut ketawa.
Darus menyinga.
"Jangan ejek aku!" Darus cuba berlagak garang.
"Macam mana tak ejek, penakut dan bacul
macam kau, nak minta kami berterima kasih? Cerita
macam hebat sangat, tapi berdiri depan Mat Perang,
terkencing dalam seluar."
"Bedebah!"
Darus menerkam ke arah orang kampung
itu. Namun dia terjerembab ke lantai masjid apabila
kakinya dibentes oleh Daram. Mukanya tertonyoh.
Kuat bunyi jatuhnya. Hampir 5 saat, Darus tidak
berkutik atas lantai. Bila dia bangun, darah menitik dari
batang hidungnya. Bibirnya memayung bengkak, juga
berdarah.
Orang kampung di dalam masjid sekadar
menjadi penonton. Tiada sesiapa pun yang teringin
hendak membantu Darus. Darus menekup mulut dan
hidungnya. Darah berjurai dari celah jari dan tapak
tangannya.
"Baik kau balik dan tuam hidung serta mulut
kau tu. Nanti kalau ada darah beku dalam rongga
hidung kau tu, susah. Boleh datangkan penyakit lain
pula," kata Daram tanpa menunjukkan simpati walau
sedikit pun.
Darus tidak bersuara. Dia berjalan
terhincut-hincut ke pintu dan tangga masjid.
"Yang sakit tu muka dan kepala, tapi yang jalan
terhincut-hincut tu kenapa?" tanya Daram.
Darus tidak menjawab. Berpaling pun tidak.
Selepas Darus meninggalkan masjid, mesyuarat
diteruskan. Ternyata, mesyuarat pada petang itu tidak
mendatangkan hasil seperti yang diharapkan. Meskipun
terdesak dan memerlukan, tiada sesiapa pun dari
kalangan orang kampung termasuklah Daram dan Mid
yang sanggup memikul tugas sebagai ketua kampung,
imam dan siak.
"Siapa lagi yang kita boleh harapkan selain kau,
Daram," kata salah seorang penduduk kampung yang
turut sama bermesyuarat.
Daram menggeleng.
"Aku tak mahu dan tak sanggup. Dengan
komunis bermaharajalela, dan pada bila-bila masa akan
masuk ke kampung ni, terima jawatan bererti menyerah
batang tengkuk dan nyawa kepada komunis."
"Kau pun tak berani?" Mid seperti menyindir.
"Orang pertama yang komunis akan cari ialah
ketua kampung. Kemudian imam dan siak. Tak dapat
mereka, keluarga mereka pula yang akan dikacau dan
diancam."
Semua orang mengangguk-angguk. Bersetuju
dengan pendapat Daram.
"Kalau macam tu, kampung ni kekal tak ada
ketua kampung, imam dan siak lagi," kata Mid.
"Jumlah penduduk pun dah tak seramai mana.
Dah berminggu-minggu kita tak boleh adakan solat
Jumaat sebab jemaah tak cukup 40 orang."
"Apa fikiran kau sekarang?"
"Aku dah lama fikirkannya... aku rasa, eloklah
kalau kita semua tinggalkan kampung ni. Kita berhijrah
ke tempat lain. Kita balik semula ke kampung ni selepas
keadaan aman dan ancaman komunis tak ada lagi."
"Berapa lama?" orang kampung tidak berpuas
hati.
Daram angkat bahu.
"Entahlah... mungkin setahun. Mungkin 2
tahun. Mungkin 10 tahun. Selagi ada ancaman komunis,
selagi itulah kita tak boleh duduk di kampung ni."
Masing-masing menghela nafas panjang.
"Ada betulnya pandangan Daram tu. Sekarang
ni kita memang selamat sebab askar-askar kerajaan
masih ada di sekitar kampung kita. Sampai masanya,
askar-askar kerajaan tu akan keluar atau dihantar ke
tempat lain. Komunis akan datang semula untuk balas
dendam. Kita kena ingat, Mat Perang orang kampung
kita. Aku percaya, Mat Perang ada kakinya di kampung
ni," Mid pula menokok.
"Kalau dah macam tu, kita kena buat satu
lagi mesyuarat dengan semua orang kampung. Kita
beritahu keputusan ni. Harap-harap, tidak adalah orang
kampung berdegil untuk terus bertahan di kampung
ni."
"Bila?"
"Bila apa?"
"Mesyuaratlah."
"Tengah hari esok," Daram buat keputusan
tanpa merujuk kepada sesiapa pun.

Kampung Hilang - Rosli Mohd. SahWhere stories live. Discover now