"SIAPA yang bertanggungjawab, cakap!
Siapa lelaki tak guna tu?"
Intan yang sedang mencuci lantai di ruang
dapur, tiba-tiba menangkap suara Encik Dahlan bertanya
kepada Rubiah, pada malam hari minggu itu.
"Cakap!" bentak Encik Dahlan lagi. Sekali
gus satu tamparan kedengaran apabila Rubiah tidak
menjawab soalannya.
"Sudahlah, Dahlan. Bertimbang rasalah sikit.
Kau akan cederakannya nanti," suara Cik Kamariah
minta simpati, merayu dan memujuk suaminya.
"Itulah awak, terlalu beri muka sangat! Beri
kebebasan yang berlebihan. Akhirnya, dia yang bagi kita
malu. Sekarang apa yang awak dapat? Malah dia bawa
labu ke rumah ni. Mana nak taruh muka saya ni? Apa
kata orang-orang kampung bila perut dia dah membuncit
nanti?" Encik Dahlan berang dan mendengus kasar.
"Awak jangan salahkan saya saja," bidas Cik
Kamariah pula. Tidak setuju kesalahan itu diletakkan
pada bahunya seorang. "Awak apa kurangnya? Kalau
awak yang sedar dia terlalu bebas, kenapa awak tak
tegur?"
"Macam mana nak tegur? Awak asyik
menyebelahi dia!"
Intan terus mendengar mak cik dan pak ciknya
itu bertengkar.
"Awak sebagai ibu, sepatutnya memberi
perhatian dan tanggungjawab yang lebih di rumah.
Saya sebagai lelaki, tidak tahu apa-apa, jarang di rumah,
bekerja untuk cari nafkah, cari rezeki," nada suara Encik
Dahlan kali ini mendatar pula.
Senyap sejenak. Hanya esakan Rubiah sahaja
yang kedengaran.
"Sekarang macam mana?" Cik Kamariah
bertanya bimbang.
"Rubiah," suara Encik Dahlan tiba-tiba lantang.
"Beritahu ayah, siapa lelaki yang telah buntingkan kau?
Siapa? Dan kalau kau tak cakap juga, malam ni jangan
tidur di bilik. Tidur dalam reban ayam sampai esok."
Intan mengeluh. Dia teringat, sesungguhnya
dia pernah tidur di reban ayam itu 4 bulan yang lalu.
Seksanya Tuhan saja yang tahu.
"Na... namanya Os... Osman, ayah. Di... dia
seorang pelayan di sebuah hotel," jawab Rubiah dalam
teresak-esak. Suaranya gagap menahan takut.
"Kau tahu mana dia tinggal?" tengking Encik
Dahlan.
Senyap. Intan mengagak mungkin sepupunya
itu hanya mengangguk.
"Dia tahu tak yang dia dah buat kau jadi macam
ni?" tanya Encik Dahlan lagi, nadanya masih keras.

ESTÁS LEYENDO
Dedaun Hijau Di Angin Lalu-Manaf Hamzah
RomanceTAJUK: DEDAUN HIJAU DI ANGIN LALU PENULIS: MANAF HAMZAH ISBN: 978-967-15574-3-3 HARGA: RM35 SM/ RM38SS BLURB: INTAN dibesarkan dalam suasana penuh ranjau di sebuah pulau. Kelahirannya diselubungi tanda tanya dia dipandang hina oleh orang kampung ker...