Kisah Benar. Seram

14 0 0
                                    


Hantu Pocong di ASPURA

Ini ialah ruangan kisah benar yang pernah aku alami sendiri atau kisah benar yang berlaku pada seseorang yang aku kenali samada dari kalangan keluarga atau sahabat handai. Ianya hanya cerita pendek yang benar-benar berlaku dibeberapa lokasi kejadian yang berbeza yang berlaku pada individu-individu yang terlibat. Kali ini aku ingin berkongsi pengalaman sebenar yang berlaku pada seseorang dalam kalangan keluarga ku sendiri iaitu abang sulung ku. Untuk pengetahuan korang semua,aku hanya ada seorang abang sahaja okey.

Dulu,cuti penggal persekolahan hanya tiga kali sahaja dalam setahun. Awal tahun, pertengahan tahun dan cuti akhir tahun. Cuti awal dan pertengahan tahun tempohnya hanya dalam masa lebih kurang dua minggu. Manakala cuti akhir tahun biasanya bermula pada bulan November hingga ke bulan Disember tahun tersebut.

Oleh kerana aku dan abang ku bersekolah masing- masing seorang di pantai timur Semenanjung Malaysia iaitu negeri Terengganu Darul Iman dan seorang lagi di kawasan selatan Semenanjung Malaysia iaitu negeri Melaka, hanya apabila cuti hujung tahun iaitu bulan November hingga bulan Disember barulah kami adik beradik dapat bertemu dan berkumpul. Maka keluarlah bermacam cerita yang akan kami kongsi sepanjang tempoh persekolahan dari awal tahun hingga minggu terakhir sesi persekolahan pada tahun tersebut.

Tahun tu seingat ku antara tahun 1988 hingga tahun 1989, ceritanya bermula(sebagaimana diceritakan sendiri oleh abang ku)...petang Khamis malam Jumaat seperti biasa pelajar-pelajar asrama menengah atas yang berada di tingkatan empat dan lima lazimnya suka berseronok dan saling usik-mengusik sesama mereka. Maklumlah zaman persekolahan memang indah dan seronok. Orang kata zaman innocent....Usik mengusik dan gurau senda dikalangan pelajar yang tinggal diasrama adalah lumrah. Lebih parah terpaksa kebalkan jiwa jika usikan tersebut berbentuk untuk mengenakan kita. Satu bentuk menjerat dan mengkhianati sahabat namun tidaklah sampai ke tahap berlaku penderaan atau menjurus kepada berlakunya perbalahan dikalangan sesama pelajar. Itulah istimewanya zaman persekolahan waktu dahulu. Kebetulan ketika itu abang ku baru berpindah masuk ke tingkatan empat sebuah sekolah yang hanya khusus untuk pelajar lelaki.

Menurut abang ku, petang itu semasa waktu santai entah kenapa timbul idea dikalangan rakan satu dormnya (bilik penginapan diasrama biasanya dipanggil dorm) untuk mengambil kain cadar yang menjadi lapik salah satu tilam didalam dorm yang didudukinya itu. Rakan abang ku lalu membungkus dirinya dengan cadar berwarna putih tadi seperti hantu pocong.Hanya bahagian muka yang dibiarkan terdedah. Nanti bolehlah dia membuat mimik muka menyeramkan seperti membeliakkan biji matanya hingga hanya menampakkan bahagian putih mata sahaja untuk menakut-nakutkan dan mengacah rakan-rakan satu dorm yang lain.

Dahulu penggunaan cadar berwarna putih adalah wajib bagi setiap asrama yang terdapat di Malaysia. Berbanding sekarang,warna kain cadar lebih pelbagai bergantung pada peraturan sesebuah sekolah samada ingin menggunakan  warna putih, biru, pink dan juga purple. Meriah betul. Tentu seronok pelajar sekarang kerana cadar berwarna warni ini lebih mudah dijaga. Maklumlah,  warna putih itu agak sukar dikekalkan tahap putih warnanya. Manakan tidak. Silap sikit dah tercoret kotoran diatas warna putih cadar itu. Terkenyet seekor nyamuk yang kenyang menghisap darah pelajar semasa tidur pun sudah cukup membuat cadar kelihatan hodoh dipenuhi tompokan darah nyamuk  apalagi jika seorang pelajar itu malas hendak membasuh cadarnya pada setiap hujung minggu.

Rakan abang ku yang membungkus dirinya dengan cadar putih tadi lalu  melompat-lompat mengacah dan menakutkan ahli-ahli didorm itu. Dia meniru aksi si kain putih persis seperti yang sering kita lihat di kaca televisyen.Sambil mengacah mereka gelak sakan mengusik sesama mereka. Berdekah-dekah,menjadi bahan gurauan si kain putih petang itu.

Petang berlalu.. Mungkin tidak seorang pun menyangka apa yang bakal berlaku malam itu.....

Apabila malam menjelang, ketika jam menghampiri pukul 12 malam.... Kedengaran bunyi salakan dan lolongan panjang anjing-anjing diluar kawasan asrama. Saling bersahutan sepertinya ada sesuatu yang dikejar gerombolan anjing-anjing tersebut.

Menurut abangku  lagi, didepan asrama lelaki ada beberapa batang pokok ara. Eh... Apa pulak kaitan dengan pokok ara? Depan asrama aku pun ada pokok ara...

Pokok ara sebenarnya ada beberapa jenis dan biasanya dahulu pokok ini sering dijadikan landskap asrama ataupun disekolah. Lazimnya pokok ara yang dijadikan pokok hiasan atau landskap itu  adalah pokok ara tua.Maksudnya pokok itu sudah ditanam lama dan berusia mungkin sebaya dengan wujudnya asrama yang diduduki para pelajar.Melihat bentuk pokok pun semacam jer.Sebab huduh kut!!Apalagi ketika angin bertiup sepoi-sepoi bahasa pokok ara ni biasanya daun dia akan mengeluarkan bunyi....semacam jer kan...

Esok mesti ada yang cuba duduk bawah pokok ara sebab nak dengar bunyi daun dia kan?Aku cadangkan korang cubalah pergi tepi pantai. Cari yang ada banyak pokok ara. Duduk dan tunggulah di situ hingga ada tiupan angin. Dengar dan nikmatilah deruan ombak pantai dan gesekan bunyi dari daun-daun pokok ara tadi. Tapi jangan pula salahkan aku dan kata aku buat cerita karut. Itu cuma cadangan.

Malam tu adalah Khamis malam Jumaat.Malam di mana sinonim dengan berlakunya cerita seram atau pelik. Sering kita dimomok apabila tibanya hari Khamis malam Jumaat maka banyaklah hantu-hantu dan roh-roh jahat yang  dilepaskan dan akan keluar berkeliaran mencari mangsanya.  Kepercayaan ini adalah karut sebenarnya. Tidak wajar diterapkan dalam pemikiran anak-anak kerana ianya menyalahi hukum agama.

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa dan pokok ara depan asrama mula mengeluarkan bunyi yang semacam. Menyeramkan. Bunyi seakan suara bisikan sesuatu.Oleh kerana ketika itu  malam dan kebetulan suasana asrama agak sunyi maka  jelas dipendengaran mereka  bunyi yang pelik dan menyeramkan  yang datangnya dari pokok ara tersebut.Jam menghampiri detik 12 malam. Lampu dorm semua sudah dimatikan dan keadaan dalam asrama samar-samar.Hanya lampu beranda yang menyala. Itu adalah situasi yang sama untuk setiap asrama dimana-mana sekolah ketika itu.Biasanya untuk pelajar asrama lampu dorm dibenarkan menyala hanya sehingga jam 10.30 hingga jam11 malam.Hanya lampu beranda  dinyalakan. Penggunaan lampu dikawasan lain seperti bilik air, tandas,bilik lobi atau pantry dan bilik study adalah mengikut keperluan pelajar yang menggunakannya.

Kalau siang tadi mereka riuh sakan bergelak tawa, mengilai mengekek mengusik sesama mereka.Malam itu tanpa disangka ketika jarum jam menghampiri detik 12 malam dikala angin bertiup manja tiba-tiba...... GEDEBUKKKKK!!!! Berat dan padat. Seperti ada guni berisi tanah dilempar ke dalam dorm yang diduduki abang dan rakan-rakannya. Serentak itu kedengaran bunyi kaca dari tingkap dorm yang diperbuat dari kaca nako berdenting. Seolah dilanggar sesuatu dan pecah berderai.

Dalam samar-samar cahaya dari beranda dorm abang ku dan rakan-rakanya terdengar bunyi sesuatu seperti benda jatuh dari luar tingkap ke dalam dorm mereka. Mungkin semua ahli dorm terkejut tetapi tiada siapa yang berani bersuara. Aneh. Mana hilangnya riuh dan keberanian masing- masing di siang tadi tatkala membuat gurauan menggunakan cadar yang  berwarna putih mengajuk perbuatan si ksin putih.Suasana sunyi....

Hendak bersuara bagaimana jikalau semua penghuni dorm yang baru ingin melelapkan mata masing-masing dan mungkin ada yang sudah tidur lena disapa oleh sesosok lembaga putih berbungkus kain putih. Makhluk itu menjenguk dan membongkok 'menyapa tanpa suara' setiap ahli dorm. Terlompat-lompat dari satu katil ke katil lainnya didorm abang ku.

Tidak ada sesiapa yang terkecuali. Mungkin dia cuba munculkan diri sebab berasa marah dengan tindakan pelajar-pelajar siang tadi.Anehnya tidak pula kedengaran jeritan ketakutan atau terkejut walau seorangpun dari kalangan mereka. Suara masing- masing seolah-olah terkunci dan dikunci mati. Hanya setelah setiap ahli dorm disapanya barulah makhluk itu hilang dari pandangan secara tiba-tiba.

Maka hari esoknya,gempar la mereka... Menurut abang ku, ekoran kejadian itu ada antara mereka yang terpaksa bercuti sakit selama beberapa hari kerana terkejut atau mungkin juga dipaksa bercuti dan berehat di rumah buat sementara waktu untuk mengelak sesuatu yang lebih buruk berlaku. Ringkasnya pelajar tersebut terpaksa  menjalani perubatan tradisional atau rawatan secara Islamik untuk memulihkan semangat. Orang tua kata disampuk hantu pocong!

Apapun,setiap makhluk dan setiap kejadian alam pasti bersebab.Sudah tertulis didalam Al Quran penciptaan makhluk selain manusia. Tetapi sebagai hambaNya, janganlah taksub dengan benda-,benda yang mistik sebegini hingga menyalahi hukum agama dan melanggar norma-norma kemanusiaan.Hanya  padaNya tempat kita berlindung dan memohon pertolongan.

Wallahu aklam bisawak.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jun 01, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Kisah Benar. Seram!Where stories live. Discover now