15 | TRUST ME!

263 22 1
                                    

Puan Atikah menerjah masuk ke dalam bilik Adam. Adam yang sedang elok berbaring sambil membaca buku, terperanjat apabila pintu biliknya tiba-tiba saja dirempuh dari luar. Pintunya itu sudahlah usang, dibuka pula kuat seperti itu mahu terbelah dua nanti.

Adam bangun dan menangkap riak wajah keruh emaknya. Lagi dia pelik kerana emak selalunya akan mengetuk terlebih dahulu.

"Kenapa, mak?" Tanya dia aneh dengan kelakuan Puan Atikah. Dari riak wajahnya pun, Adam sudah tahu ada sesuatu yang membuatkan emaknya ini marah. Jarang dia mahu melihat emaknya marah.

Puan Atikah menunjukkan sekeping gambar kepadanya.

"Apa ni, Adam? Boleh terangkan pada mak apa yang Adam buat dengan perempuan dalam gambar ni?"

Adam menyambut gambar itu dan dilihat.

Ah! Gambar dia dan Tiara lagi! Tak ada benda lain ke? Tetapi kali ini agak melampau. Gambarnya diambil ketika dia memakaikan jaketnya pada bahu Tiara. Oleh kerana ia diambil dari sudut belakang, mereka kelihatan seperti berpelukan.

Lebih 'membantu' lagi, Tiara pun sedang merenungnya dalam gambar ini.

Pastinya yang tukang mengambil, Harum Kasturi. Tiba-tiba rasa menyesal pula percayakan lelaki itu.

"Apa tu, Adam? Sanggup Adam buat mak macam ni? Selama ni mak percayakan Adam tapi ini yang Adam buat dekat sekolah?"

Mata Adam teralih memandang emaknya. Adam terus berdiri lalu meraih lembut kedua-dua tangan Puan Atikah.

"Mak, dengar dulu apa yang Adam nak cakap ni, mak."

"Apa? Adam nak cakap apa? Adam suka perempuan ni sangat sampai sanggup tidur dengan dia? Sanggup keluar masuk hotel? Adam sedar tak apa yang Adam buat tu berdosa besar? Mak tak pernah ajar Adam jadi macam ni." Tangan Adam ditepis dan air matanya yang bergenang dilap.

Adam terkedu. Adakah sekarang emaknya tak percayakan dia? Sama seperti dulu?

"Mak, mak tuduh Adam ke? Semua ni fitnahlah, mak. Adam tak buat benda-benda macam tu," nafi Adam bersungguh.

Tidak sanggup dia dituduh emaknya sendiri. Jika emak tidak percayakannya, siapa lagi yang boleh menaikkan semangatnya untuk hidup?

"Habis tu, apa lagi? Mak kecewalah dengan Adam." Puan Atikah melirih kecil. Air matanya diseka dengan hujung lengan baju.

Adam terpana melihat air mata Puan Atikah menitis satu persatu. Kerana dia, emaknya menangis. Kerana sesuatu yang bukan terletak pada salahnya.

Dia terus terduduk di atas tilam dan meraup muka dan rambutnya kusut. Satu-satunya yang membuat dia kuat adalah kepercayaan emaknya. Sekarang, jika emak sudah tidak percayakannya, apa lagi yang dia ada?

"Mak, tolonglah. Adam tertekanlah kalau hari-hari macam ni," gumam Adam perlahan.

"Benda-benda macam ni buatkan Adam rasa nak lari, tahu tak?"

Melihat Adam yang menunduk, Puan Atikah terus saja diserang rasa sedar. Mungkinkah dia melampau dalam meminta penjelasan Adam? Seolah-olah dia juga turut menuduh Adam.

"Adam tak peduli pasal ni sebab Adam ingatkan mak ada untuk percayakan Adam," katanya sayu. Tapi, ternyata emaknya sama sahaja seperti Encik Azmi. Tidak mahu percayakannya dan menuduh membuta tuli. Sama seperti kes dahulu.

Puan Atikah terdiam. Kata-kata Adam menyedarkannya. Lantas, tempat di sebelah Adam segera diambil. Rasa bersalah timbul dalam dada. Mungkin dia terlalu tegas. Dia sepatutnya mendengar penjelasan Adam dahulu. Dia tak boleh mempercayai kata mereka selagi tiada bukti yang kukuh yang menunjukkan Adam berkelakuan tidak senonoh.

【C】SABAR SEORANG LELAKIWhere stories live. Discover now