Bab 1

1.3K 81 11
                                    

WAJAH Lan tetap tenang. Dia tahu mak dan ayah sedang terkejut besar dengan apa yang dia suarakan sebentar tadi. Malam tadi Lan cuma beritahu yang dia nak kenalkan seseorang pada mak dan ayah. Langsung tak menjawab bila mak tanya siapa dan untuk apa perkenalan itu. Hanya senyuman diberikan. Bukan apa, dia tidak mahu menjawab soalan mak di waktu malam. Dia kenal sangat dengan mak. Mak tidak akan lepaskan dia sebelum mendapat jawapan yang benar-benar memuaskan hatinya. Sebelum malam yang tenang bertukar kecoh, lebih baik dia kunci mulut dahulu.

Tapi sekarang...

Bukan hanya mak dan ayah yang tekejut, Pia juga sama. Katakanlah apa saja, Lan sebenarnya sudah tekad. Andai kata mak dan ayah menentang, dia akan berusaha sehabis daya mendapatkan persetujuan dan restu kedua mereka.

Ramadan hanya tinggal sebulan saja lagi. Lan rasa masa yang singkat ini sudah cukup untuk menyelesaikan segalanya. Tambahan pula, dia punya alasan yang begitu kukuh jika ditanya mengapa seperti tergesa-gesa.

Ramadan. Dia nak mulakan segalanya di bulan yang mulia itu.

"Lan jangan main-main ya. Mak tak suka. Lagi satu. Mana Lan kenal dia? Anak siapa? Kenapa mak tak kenal pun dia. Dulu tu, waktu Lan dengan Maya, Lan pernah juga bawa jumpa mak sebelum kamu kata nak bertunang. Tapi kali ini tiba-tiba aje. Ataupun Lan ada buat benda tak senonoh dekat budak perempuan ni?" Mak Jah menyoal laju. Risau sungguh dengan anak yang ini. Ada saja masalahnya.

"Jah..." Pak Hamid menegur.

Lan nampak wajah ayah sama seperti mak. Semestinya tertanya-tanya dengan apa yang sedang berlaku. Malah ada terselit kecewa pada riak wajahnya. Namun untuk mak dan ayah tahu, Lan bersedia menerima segala jenis soalan. Malah dia cukup berlapang dada untuk menjelaskan segalanya. Lebih-lebih lagi setelah dia perkenalkan Lani dan meminta izin untuk mengahwini gadis itu dalam masa terdekat ini. Sebelum bulan puasa!

"Lan dah lama kenal dia mak. Mak pun kenal. Lan dah pernah bawa dia datang ke sini raya lepas. Mungkin mak tak ingat. Untuk pengetahuan mak, Lan kenal Lani lebih lama dari Lan kenal Maya. Mak kenal Lut kan? Lani ni kakak kepada Lut."

"Yang dulu kerja dekat kedai makan sebelum dia kerja dengan Lan tu ke? Budak lelaki yang selalu ke sini tu?"

Lan angguk. Mak mula kenal Lut sebagai perkerja kedai makan di pekan Parit Raja sana. Lut berhenti kerja di kedai makan tu pun atas desakan dia. Dia nak Lut tumpukan perhatian sepenuhnya pada pelajaran. Dia nak Lut berjaya. Dia juga yang ambil Lut bekerja dengannya. Kerja yang lebih berbaloi berbanding dengan kerja dahulu. Lama juga Lut bekerja dengan dia selepas tamat belajar di UTHM. Sekarang ini Lut dah dapat kerja lain. Tapi itu la... Kerja Lut bukan di sini. Tapi di seberang laut sana. Di bumi Sarawak. Dia tak benarkan Lut bawa Lani bersama. Dia takut Lani tak betah tinggal di tempat baru yang begitu asing baginya.

"Jadinya kenapa tiba-tiba nak kawin? Dah tak menyempat sangat gayanya tu. Atau kamu nak jadi pak sanggup?"

"Astagfirullah al azim, Jah. Bawa mengucap sikit." Keras suara Pak Hamid menegur. Mak Jah tersentak lalu terdiam. Mungkin tidak menyangka yang dia boleh mengeluarkan tuduhan serupa itu.

Mak Jah mengucap dan beristigfar perlahan. Tidak lagi mahu membiarkan emosi menguasai diri.

Lan tarik nafas panjang. Dia perlu sentiasa tenang walau diasak dengan dituduh dengan segala benda. Dia tak boleh cepat melatah. Niatnya baik. Lan yakin yang mak dan ayah akan nampak keikhlasan dan kesungguhan dia.

"Mak..." Dia menyeru lembut. Memberikan senyuman manis buat mak.

"Mak lebih kenal Lan dari diri Lan kenal diri Lan sendiri. Lan tahu, Lan anak yang degil. Tapi mak dan ayah dah beri didikan yang cukup pada Lan. Untuk mak tahu, tak pernah sedetik pun terlintas di hati Lan untuk lukakan mak atau ayah. Apatah lagi dengan buat perkara tak senonoh pada mana-mana perempuan. Lan sayang diri Lan. Lan sayang mak dan ayah. Maruah mak dan ayah adalah keutamaan Lan." Tenang saja dia menjawab pertuduhan mak sebentar tadi. Tidak. Dia tidak berkecil hati dengan mak. Dia tahu mak tidak sengaja.

JANJI TERIKAT SETIA (e-book) Where stories live. Discover now