52 Berjumpa

3.1K 264 36
                                    

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

QS Ar-Rum: 21

Satu wajah yang pernah dibenci. Satu nama yang terpahat di atas tembok dendam. Insan berkenaan melangkah ke rumah, dalam raut yang bersih dan tenang bagai air di kali.

Khairul yang terduduk di atas kerusi ruang tamu sekadar memandang. Beberapa orang lelaki hadir keesokan hari, seperti yang dijanjikan Haji Daud. Tak dapat dibayangkan bagaimana hendak melalui hari-hari berikutnya. Setiap saat rasa sakit menyucuk tiap-tiap pembuluh darah.

Haji Daud bangkit menyambut tetamu, sedang dia menahan kesakitan selagi termampu.

Namun, pada pagi itu seorang insan yang pernah menjadi seteru datang sebagai salah seorang yang akan memberikan rawatan syifa.

"Ustaz Mahfuz, jemputlah duduk," ujar Haji Daud. Senyuman terpamer di wajah, menyambut tetamu undangan yang berjubah putih itu.

Mahfuz.

"Mana menantu imam?"

"Ini, ustaz. Khairul namanya. Semalam teruk sangat dah sampai muntah banyak darah hitam."

Betapa rasa segan menghempap jiwa, untuk menerima bantuan lelaki yang pernah diperlakukan berbagai perbuatan khianat. Pandangan mereka saling bertemu, yakin Mahfuz mengenalinya namun musuhnya itu berlaku biasa. Tidak terkejut atau membenci.

Berbaringlah Khairul seperti yang diminta. Tubuhnya yang tidak berbaju dialaskan dengan sehelai kain pelikat. Banyak kesan lebam dan cakaran terpeta di atas kulit dada.

Anak mata tidak mampu melihat wajah Mahfuz. Dia sering berpaling ke arah lain. Memuncak rasa malu dan kerdil. Kecil sahaja dunia ini. Pusing ke arah mana pun, jika Allah mentakdirkan Mahfuz untuk bertemunya maka akan bersua juga.

Kedua-dua belah tangan kaki dipegang mereka. Sentuhan biasa sedemikian pun sudah meninggalkan rasa sakit pada Khairul. Kedengaran ayat-ayat suci Alquran beralun ke atmosfera, diamati setiap kalimah dalam keadaan berbaring. Dadanya yang berombak normal semakin mengencang apabila tiba di beberapa ayat Alquran tertentu.

Rawatan itu menjemput rasa sakit bertubi-tubi. Diikutkan hati hendak menolak tepi mereka yang memegang anggotanya dan melarikan diri. Malangnya mereka mengetatkan pegangan pada kedua-dua pergelangan tangan dan kaki. Tiada jalan tuk melarikan diri. Dia harus bertahan sepanjang rawatan dijalankan.

Jeritan Khairul tidak henti kedengaran. Meringkuk kesakitan setelah mereka melepaskan pegangan. Banyak bisa buluh dikeluarkan daripada tubuh. Setiap satu umpama belati menyiat isi daging kulitnya.

Lelaki tidak berbaju itu mengiringkan badan bertemankan bantuan orang berdekatan. Dia memuntahkan beberapa batang paku berkarat yang dipenuhi lendiran darah kehitaman. Untaian rambut panjang berselirat seperti semalam turut dimuntahkan sekali.

Desahan berat disusuli. Bahkan matanya tidak mampu mencelik lama sebelum jatuh ke alam luar sedar.

***

TUAN KHAIRUL ✓  [C] Where stories live. Discover now