Prolog

1.9K 147 0
                                    

SAAT ini, dia sepatutnya gembira. Menangis memeluk bayi yang baru keluar. Tapi apa dia rasa, hanya kosong. Kosong.

Nafasnya tercungap. Mengah selepas meneran. Suara doktor mengucap hamdalah jelas terdengar berselang dengan tangisan bayi itu. Jururawat membalut bayi itu selepas dibersihkan.

"Puan, Alhamdulillah.. Anak puan lelaki. Sihat." Doktor mengucap penuh syukur. Menyua bayi itu pada sang ibu.

Tapi sang ibu itu sedikit pun tidak melihatnya. Air matanya merembas. Bukan air mata gembira. Tapi air mata benci. Terlalu benci. Dia rasa marah, kenapa bayi itu dilahirkan sihat. Kenapa bayi itu masih hidup.

Berkali-kali dia cuba bunuh bayi itu. Dia nak bayi itu mati dalam perutnya. Dia tak mahu bayi itu keluar.

Kenapa bayi itu keluar juga?

"Puan.." Suara doktor mengendur.

"Puan tak mahu lihat anak puan?"

Air matanya masih mengalir. Dia bukan anak aku. Aku tak pernah mahukan anak.

Doktor dan jururawat berpandangan. Keliru dengan apa jadi.

Sang ibu pula setia memandang ke arah lain. Sedikit pun tak mahu memandang ke arah bayi. Bayi? Tidak, itu bukan bayi. Itu cuma sampah yang terhasil daripada jantan sampah.

Dia pejam mata. Masih bernafas mengah. Dia mahu lari dari realiti ini. Kalaulah dia mati sekarang, mesti dia sangat bahagia.

Seketika kemudian, suara sekeliling sunyi. Cuma terdengar rengekan bayi merah itu.

"Encik," Suara doktor kedengaran menyapa seseorang. Ada orang baru masuk selepas dipanggil jururawat.

"Doktor.." Suara familiar membalas.

Mereka berbual entah apa.

"Nurul.."

Akhirnya suara familiar itu menegur sang ibu. Merapati katil sambil mendukung bayi.

"Nurul tengok anak Nurul." Dia bersuara. "Sama mukanya macam Nurul."

Sang ibu diam. Tak mahu langsung melihat.

Beberapa jenak, lelaki itu beralih ke arah sini. Cuba bawakan bayi itu di depan sang ibu. Sang ibu terus memandang ke arah lain.

"Nurul.." Suara lelaki itu mengendur.

"Aku tak nak tengok dia." Sang ibu balas dingin.

"Bawa dia pergi jauh-jauh." Sambungnya.

Lelaki itu diam. Menghela nafas berat. Seperti dah menjangka itu yang akan keluar dari mulut sang ibu.

"Isteri saya penat, doktor." Lelaki itu bersuara kemudiannya. "Saya azankan dulu anak saya, nanti doktor boleh bawa anak saya turun ke kubikel. Biarkan isteri saya berehat dulu."

"Baik, encik." Doktor dan jururawat mengerti.

Sedang sang ibu tersenyum sinis mendengar. Anak saya? Dia pejam mata penat, sebelum akhirnya dia sendiri terlena tanpa sedar.

Sufi Untuk Mama (Terbit Ebook)Wo Geschichten leben. Entdecke jetzt