MARIE

20 6 0
                                    

Matahari yang memancar indah tidak mampu menyinari hati yang kelam. Siulan riang burung-burung yang berterbangan tidak dapat menenggelamkan suara tangisan.

Hari ini, sekali lagi aku berdiri di atas rumput hijau dengan binaan batu nisan di atasnya. Menjadi saksi kepada detik terakhir seorang sahabat di atas tanah, sebelum menjadi penghuni dunia di alam sana.

"Sumpahan Camille." Liza berbisik di sebelahku. Aku mengetap bibir.

Sumpahan Camille.

Ia sebuah legenda yang terkenal di Sekolah Tinggi Verra. 'Sumpahan Camille' ini mula meniti di bibir para pelajar enam tahun yang lalu. Tiga orang pelajar membunuh diri dengan terjun dari tingkat lima bangunan sekolah. Khabar angin mengatakan, hantu Camille Verra, anak bongsu pengasas sekolah tinggi yang ditemui mati tergantung di atas pokok belakang sekolah, menjadi penyebab ketiga-tiga pelajar itu membunuh diri.

"Camille dah sumpah kita semua." Masha bersuara. Di bawah matanya terlihat lingkaran hitam yang jelas, menandakan sudah beberapa hari dia tidak tidur lena. "Layla, Bel, Irene ... siapa lagi lepas ni?"

Soalan Masha menimbul cuak di hatiku. Layla, Belinda, dan Irene, kesemua mereka meninggal akibat 'kemalangan' di sekolah. Lemas di tasik, jatuh dari tangga, tergelincir dari tingkat lima semasa membersihkan tingkap bilik, kematian mereka bertiga sungguh tidak masuk akal bagiku.

***

"Argh!"

Nyaring jeritan itu mengejutkan aku. Aku bingkas bangun dari katil lalu menghidupkan lampu bilik. Kulihat Masha sedang meracau dalam tidur. Jeritan Masha tadi turut membangunkan dua lagi rakan bilikku. Bergegas kami mendapatkan Masha.

"Masha!" panggil Liza sambil menggoncang-goncng tubuh Masha.

"Pergi! Pergi Camille!" Jerit Masha lagi. Kakinya menendang-nendang di udara.

"Bangun, Masha!" Agnes mengejutkan. Tidak lama kemudian Masha membuka matanya dengan nafas yang tercungap-cungap.

"Masha!" Serentak kami bertiga memanggil. Agnes memeluk tubuh Masha yang kelihatan penat. Di tubir mata Masha, aku lihat ada air yang mengalir. Pastinya Masha melihat Camille di dalam mimpi.

Namun benarkah sumpahan itu wujud?

***

Suasana di dalam kelas sunyi walaupun dengan ketiadaan guru. Masing-masing memilih untuk berdiam diri, merenung apa-apa yang bisa dijadikan bahan untuk mengalih perhatian daripada 'Sumpahan Camille'.

Semalam kami bertiga menghantar Masha ke rumah warden asrama merangkap guru kaunseling sekolah, Cikgu Robert, untuk menenangkannya. Isteri Cikgu Robert, Cikgu Suzanne, menyambut Masha dengan tangan terbuka. Masha bakal diberikan kaunseling berterusan sehinggalah semangatnya kembali pulih.

Histeria Masha mengganggu fikiranku. Mungkinkah Masha hanya tertekan akan semua yang terjadi hingga terbawa-bawa ketakutannya itu ke dalam mimpi?

Sambil mengeluh kecil, aku mengeluarkan sebuah buku nota lalu mula menyenaraikan persamaan di antara Layla, Belinda, dan Irene. Jika benar sumpahan itu wujud, mengapa rakan-rakanku dijadikan sasaran?

Petang itu selepas kelas berakhir, aku tidak terus pulang ke asrama. Sengaja aku naik ke atas bukit belakang sekolah untuk menyaksikan pemandangan pekan dari atas.

Aku melabuh punggung di bawah sebatang pohon rimbun, cuba mengelak diri daripada cahaya matahari petang. Buku nota aku keluarkan. Hanya ada tiga persamaan yang jelas di antara Layla, Belinda, dan Irene. Mereka bertiga sama-sama berasal dari pekan Azurro, menggemari warna kuning, dan ahli kelab memasak sekolah. Bercakap mengenai tiga-tiga persamaan itu, Agnes turut berasal dari pekan Azurro. Tiada di antara kami berempat yang menggemari warna kuning.

MARIEWhere stories live. Discover now