HAYYAN menutup fail di atas meja dengan perlahan, seakan-akan berat untuk menerima hakikat yang sedang menghambat fikirannya. Sambil mengeluh, dia memusingkan kerusi ke belakang dan menghadap cermin kaca besar yang memantulkan pemandangan kota dari kejauhan.
Deretan bangunan tinggi dan kesibukan jalan raya di bawah sana tidak mampu menenangkan gelora yang bersarang di dada. Dalam keheningan, fikirannya melayang jauh, merenung perancangan Puan Sri Haila yang begitu gigih untuk menyatukan dia dengan pilihan keluarga. Hayyan memejamkan mata seketika, berusaha mencari ketenangan dalam keresahan yang semakin menghimpit.
"Kenapa harus dia?" bisik Hayyan dalam hati, merenung kosong pada langit yang kelihatan buram oleh kabus.
Tiba-tiba, suara lembut Puan Sri Haila memecah kesunyian, membuatkan Hayyan terkejut.
"Jauh anak mama termenung."
Hayyan berpaling dan menatap ibunya yang berdiri di ambang pintu. "Ma? Mama buat apa dekat sini?" Soalnya, sedikit terperanjat.
Puan Sri Haila tersenyum sinis. "Haih, mama tak boleh ada dekat syarikat anak sendiri ke?"
Hayyan menarik nafas panjang, merasai perasaan tidak senang yang semakin menyelubungi dirinya. "Bukannya macam itu. Mama selalu datang kalau ada nak minta sesuatu aje."
"Tepat sekali! Mama memang datang dengan hajat pun. Jadi macam mana dengan perempuan semalam? Berkenan tak?" tanya Puan Sri Haila, wajahnya penuh harapan.
"Mama tak rasa terlalu cepat ke untuk minta jawapan?" Hayyan cuba mengelak, bimbang dengan apa yang akan terjadi.
"Kenapa pula? Perempuan yang mama cadangkan tu lagi elok daripada perempuan tomboy yang kamu bercinta dulu. Cantik pun cantik. Ada kerjaya, ada masa depan. Setaraf dengan Hayyan! Apa lagi nak difikir?" jawab Puan Sri Haila, seolah memberi hujah yang kukuh.
"Bukan masalah tu ma. Tapi tak boleh ke cari yang lain? Perempuan tu..." suara Hayyan terhenti, seolah malas untuk terus berbicara.
"Mama kenal keluarga dia dan mama pasti dia sahaja yang sesuai dengan Hayyan. Kenapa nak kena cari yang lain pula? Atau kamu sengaja nak lambatkan supaya boleh jumpa dengan Jina?" Puan Sri Haila menyoal dengan nada mendalam.
"Enough lah ma, Jina dah tak ada kena mengena dengan hidup Hayyan. Jangan kaitkan dia lagi." Jawapan Hayyan keluar dengan sedikit kemarahan.
"Mama ungkit sebab Hayyan masih fikirkan tentang dia. Kalau Hayyan lupakan dia, mama pun tak ingin sebut nama perempuan tu lagi. Susah sangat ke nak cari pengganti? Mama dah tolong pun kamu masih lagi beri banyak alasan."
Hayyan menundukkan wajahnya, menggigit bibir menahan perasaan. "Hayyan janji Hayyan akan berkahwin dengan sesiapa sahaja pilihan mama, tapi bukan yang semalam. Tolonglah... cakap yang Hayyan tak sudi jadi suami dia. Please..."
"No! Mama suka dengan perempuan tu!" Puan Sri Haila memberi jawapan tegas.
"Ya Tuhan, kenapa mama susah sangat nak dengar cakap Hayyan? Hayyan pun ada hak tentukan siapa bakal isteri Hayyan!" Hayyan menahan emosi, wajahnya penuh keletihan.
"Perempuan tu dah cukup sempurna. Apa lagi yang tak kena dengan kamu?"
"Dia kawan baik Jina. Itu masalahnya sekarang!" Hayyan menjawab dengan nada yang sedikit lebih keras.
Puan Sri Haila terdiam, seolah mempertimbangkan kata-kata anaknya itu.
"Jihan tu satu-satunya kawan yang Jina ada. Kalau dia tahu Jihan bakal kahwin dengan Hayyan, dia akan lagi kecewa..." Hayyan menyambung dengan nada perlahan, suaranya penuh dengan perasaan yang tidak dapat ditahan.

ANDA SEDANG MEMBACA
AZEL [BAD MAGICIAN]
Fantasy"Tak guna punya jantan!" KEPERCAYAAN Jina punah serta-merta apabila hubungannya bersama Tengku Hayyan diputuskan atas pemakaiannya pada malam itu. Rasa dirinya seolah-olah sengaja diperkotak-katikkan oleh lelaki berlagak kaya itu. Kalau dah tahu di...