Slurrpppp!
Jina menyedut air Vanilla Latte dengan penuh kepuasan, bunyi sedutannya bergema dalam ruang itu. Habis semuanya, tiada yang tertinggal kecuali ketulan ais yang masih utuh. Dengan senyuman puas, dia terus membuka penutup bekasnya dan mula mengunyah ais batu itu, langsung tidak peduli dengan pandangan pelik Azel yang duduk di hadapannya.
Suasana di kafe itu hanya jelas terdengar bunyi ais batu yang sedang dikunyah.
Azel hanya dapat menggelengkan kepala, matanya tetap terarah pada Jina yang sibuk mengorek ais batu dalam bekas minumannya.
"Haih, kenapalah dalam banyak-banyak manusia dalam dunia ni, dia juga yang aku pilih?" keluh Azel di dalam hati, rasa keletihan mencengkamnya.
"Betul kata Axel, aku sepatutnya cari yang lain sahaja untuk buat permintaan. Perempuan ni makin lama makin menakutkan aku."Walaupun kata-kata itu meluncur laju di dalam fikirannya, matanya tidak pernah lepas memerhatikan Jina.
Biarpun tingkah laku wanita itu agak pelik, ada sesuatu yang membuatkan Azel tak dapat menahan diri daripada terus memandang. Mungkin ia hanya satu perasaan yang tidak dapat dijelaskan, atau mungkin kerana di sebalik semua keanehan itu, ada kecomelan yang hanya Jina yang punya.
Azel melepaskan nafas pendek, dia berpaling ke arah beg kertas yang berisi pakaian yang diletakkan di kerusi sebelahnya. Dia mencapai, banyak juga baju yang wanita itu belikan untuknya. Termasuk pakaian yang dipakainya sekarang, sejujurnya agak panas apabila mengenakan jaket kulit hitam ini. Tetapi dia tahan sahaja kerana mengikut permintaan Jina.
"Berapa aku kena bayar kau?" soal Azel, suaranya penuh kehairanan.
Jina yang sedang menikmati kunyahan ais, mengangkat wajahnya dan memandang Azel dengan ekspresi bingung.
"Hmm?"
"Baju-baju ni. Berapa harganya?" Azel menyoal dengan nada yang lebih jelas, memandang Jina dengan serius.
Jina menoleh ke arah beg kertas yang dipegang oleh Azel, dan barulah dia faham apa yang dimaksudkan. Jina berdecik kecil.
"Tak apa. Kan aku kata aku belanja kau. Lagipun..." Jina mendekat sedikit, seakan ingin berbisik perlahan pada lelaki itu. Siap memandang ke kiri dsn ke kanan, seolah-olah hendak memberitahu ratu rahsia tergempar. Azel turut mendekat, ingin mendengar dengan penuh perhatian. Senyuman nakal terukir di bibir Jina dengan jelas.
"Kau kan kekasih aku," sambung Jina, kemudian tergelak kecil, masih teringat kejadian tadi.
Azel ternganga. Pada masa yang sama, dia rasa geram. Bayangkan, Jina sanggup menipu staf kedai baju semata-mata untuk mendapatkan diskaun. Gila!
"Aku tak sangka kau sanggup cakap macam tu hanya untuk dapatkan diskaun. Tak pernah seumur hidup aku jadi kekasih paksa rela macam tadi!" Azel berkata dengan nada tidak puas hati, sambil merampas air americano yang tinggal separuh di atas meja dan disedut dengan rakus, cuba menyejukkan hatinya yang panas akibat perbuatan Jina.
Jina ketawa lagi tanpa rasa bersalah.
"Aku guna kau sekejap aje. Takkan itu pun tak boleh?"
Azel menjeling menyampah, kelihatan tidak senang. "Tak kisah sekejap atau lama. Jangan pernah sebut aku kekasih kau lagi. Ingat, tugas kau cuma bagitahu aku apa permintaan kau." Azel memberi peringatan tegas kepada Jina tentang hubungan mereka yang sebenar.
Jina mengangguk tanda mengalah.
"Yalah, aku takkan cakap macam tu lagi. Aku tahulah, siapa aje yang bangga dapat perempuan macam aku? Kasar, tak cantik pulak tu. Tengku Hayyan pun malu nak akui aku girlfriend dia," kata Jina sambil mengacau ais dalam cawannya. Kata-katanya terdengar tenang, namun Azel dapat melihat kesedihan yang cuba disembunyikan di laman wajah wanita itu.

YOU ARE READING
AZEL [BAD MAGICIAN]
Fantasy"Tak guna punya jantan!" KEPERCAYAAN Jina punah serta-merta apabila hubungannya bersama Tengku Hayyan diputuskan atas pemakaiannya pada malam itu. Rasa dirinya seolah-olah sengaja diperkotak-katikkan oleh lelaki berlagak kaya itu. Kalau dah tahu di...