Bab 39

227 19 2
                                    

SENGAT. Anan membuntang dengan juring mata berkaca kala pinggangnya ditarik merapat. Berkerunyut dahi menahan sakit. Bibir digigit resah, simpan esakan yang bakal meletus jikalau tidak tertahan lagi. Setitik, manik ratna menitis sebelum deria pendengaran dijamah suara serak Syaf menggumam sesuatu.

Anan dongak kepala. Sengal tubuh tidak diendahkan. Yang menjadi perhatian Anan kini ialah tepi mata Syaf yang mulai mengalirkan air mata lesu. Rawan sukma berteriak agar menghentikan cecair jernih itu terus keluar. Bagai dicarik sekeping hati dipertontonkan versi Syaf yang dilanda rindu.

"Jangan pergi, tolong."

Berderai. Telapak tangan Anan menyentuh pipi Syaf, menyeka butir sahmura itu dengan jari halusnya. Bibir koyak senyum tawar. Diperhatikan Syaf redup sebelum menyelak juntaian rambut suaminya. Membelai rambut itu perlahan dengan penuh kasih. "Anan ada. Anan sayang abang..."

Cukup magis sentuhan Anan, Syaf tenang dipulas lena kembali. Bibir tipis Syaf lorek senyum segaris seraya spontan menggosok belakang Anan. Anan mengeras. Terkejut.

Tubuh Anan menggeletar tak sudah. Haba menjalar seluruh jasad, epidermis dibungkus dingin dan bahang dalam satu masa. Bekali kepekatan malam membelah sekujur jasad, namun hati lompong dibaluti hangat Syaf.

"Anan cintakan abang..." Sebait kata yang meniti di bibir, melahirkan rasa hati yang tersimpan rapi. Saat dia ujarkan, dia benar-benar memaknainya. Sejujurnya, Anan masih letakkan harapan dan hasrat agar Syaf membalas sama.

Merepek. Apa yang diimpikan bagai menanti bulan jatuh ke riba. Kenapa dia rasa jauh, kendatipun seseorang itu begitu dekat dengannya. Tangan kecil ini terlalu sukar menggapai yang tinggi, seakan dihempap kenyataan berat bahawasanya menambat suami sendiri pun tidak mampu lagi.

Mengapa angan-angan itu bagai terlalu halus dan nipis sekali? Seperti mengait bebenang jahitan yang rapuh dan cuba digenggam erat. Mungkin juga dahan yang tidak utuh untuk dipaut seperti ranting lemah bisa dipijak lantas terbelah dua.

"Kenapa abang? Salah ke cara Anan ni abang?" soal Anan. Lebih kepada diri sendiri yang masih keliru dan buntu mencari jawapan.

"Anan tak patut terlanjur sayangkan abang ke?" Mata bundar meneliti raut Syaf yang walang dan lelah. Dengkuran meluncur dari bibir tipis itu cukup menyakinkan. Syaf benar-benar lena.

Lega. Dia pun tidak rela mendengar balasan Syaf, risau hati menjadi galang ganti. Remuk-rendam jadinya jikalau dihidang sesuatu yang dia tak mampu terima.

Dan-dan Anan hela nafas panjang. Dada berombak letih, pincang tangkai hati dihentak persoalan dari fikirannya tika ini. Sudah dilumat sebati dengan janji, dia tetap pilih untuk mempercayai. Walaupun sebahagian hati hadir rasa ragu-ragu, tapi Anan mahu impian itu ditunaikan waima sekecil hama sekalipun.

"Abang? Tapi awak tak pernah gelarkan diri awak macam tu..." rendah nada Anan. Berkelip-kelip ruas mata. Linangan air mata yang berkumpul akhirnya gugur ke bumi. Tamakkah permintaan dia? Adakah dia tidak bersyukur dengan nikmat yang diberi?

Dia cuma pinta Syaf membalas walaupun naluri kuat mengatakan biarpun hati jadi taruhan. Sudah dikatakan, Anan serahkan segala jasad, jiwa dan hati pada si arjuna.

Ironinya, Anan seperti buah catur dalam permainan. Hanya corak strategi yang strategik menentukan kemenangan. Mengikut aturan yang ditentukan, maka dia akur dengan kehendak tersebut. Nak-nak iris hitam Syaf pekat dan misteri, menyimpan sesuatu yang tidak kasat mata daripadanya. Sejak dahulu, dia lemas dan hanyut dalam renungan Syaf. Dia jatuh tenggelam dalam sirna, semakin jauh sehingga tiada yang mampu bawanya keluar kembali.

Melainkan diri sendiri. Syaf ada tapi mengapa terlalu berbisa. Duri tajam menghiris kulit, darah merah likat menyirami. Menyiat sedikit demi sedikit tanpa sedar.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now