12. Pembalasan Mulut Celupar

248 5 0
                                    

Simah telah menceritakan bagaimana makhluk besar itu benar-benar telah memenuhi cabaran yang dibuat oleh Singah supaya datang ke rumah mereka. Makhluk itu datang ke rumah Singah, sebuah rumah buruk peninggalan arwah ayahnya. Ketika kejadian itu berlaku, tidak seorang pun penduduk kampung yang mengetahuinya kerana jarak rumah Singah dengan rumah jiran-jirannya memanglah agak jauh.

Ketika Tok Empat Sitam, Pak Semaun dan Ketua Kampung Lompat sampai, Simah masih duduk terkulai lemah di atas lantai rumahnya sambil dikelilingi oleh anak-anaknya yang sedang menangis teresak-esak. Ketika kejadian, Singah dan keluarganya pergi ke rumah majikannya untuk membantu majikannya yang akan
mengadakan kenduri doa selamat untuk mengkhatankan cucunya.

Anak-anaknya yang pulang ke rumah pada sebelah pagi mendapati Simah dalam keadaan yang amat menyedihkan sama seperti yang dilihat oleh Tok Empat Sitam dan rakan-rakannya. Simah duduk terkulai di atas lantai sambil bersandar pada dinding dengan tubuhnya yang lemah dan matanya yang liar sementara mukanya kelihatan begitu pucat.

Ketika Ketua Kampung Lompat mengusap belakang Simah sambil membaca beberapa potongan ayat penguat semangat, Tok Empat Sitam mengambil kesempatan untuk bertanya-tanya kepada anak-anak Simah.

"Ayah kamu pergi ke mana?"
"Tak tahu!" Balas anak Simah yang paling tua. "Ketika kami sampai, ayah sudah tiada di rumah. Hanya emak yang ada, itu pun..." anak itu memandang ibunya sambil menangis teresak-esak.

Kedua-dua anak Símah itu kemudian dihantar oleh Ketua Kampung Lompat ke rumah majikan Singah dan meminta supaya anak itu menetap sementara di rumah majikan bapanya itu sehingga keadaan ibunya kembali pulih.

"Apa yang telah berlaku? Adakah bantuan daripada ku diperlukan?" Tanya majikan Singah dalam keadaan bimbang.

"Apa yang terjadi masih belum dapat dipastikan dengan tepat," ujar ketua kampung, "kalau ingin membantu, tolonglah jaga anak-anak itu untuk
sementara waktu sementara masalah ibu mereka biarlah kami yang menyelesaikannya.

Ketika ketua kampung Lompat sampai di rumah yang agak terpencil itu, dia mendapati Simah sudah pun boleh bercakap tetapi dia masih memerlukan masa untuk menceritakan kejadian yang telah menimpa dirinya.

"...aku pulang bersama suamiku dari rumah majikannya," Simah memulakan ceritanya dengan begitu tenang. Hanya matanya sahaja yang sesekali terbelalak liar memandang ke arah pintu masuk. "Ketika kami hendak melelapkan mata tiba-tiba terdengar bunyi pintu rumah dicakar-cakar dari luar."

Oleh kerana Singah terlalu mengantuk setelah penat bekerja di rumah majikannya siang tadi sedangkan bunyi cakaran pada pintu masuk terus bergema semakin kuat sambil diikuti oleh bunyi daun pintu dihentak sesuatu akhirnya Singah bangun juga lalu dia meluru ke arah pintu.

"Setan laknat!" Singah mulai marah, "ku ajar kau nanti!"

Simah memang tidak tahu apa dan siapa yang mencakar dan menghentak pintu rumahnya itu. Dia hanya mendengar suaminya membuka pintu lalu meluahkan kata-kata marah dan maki hamun. Kemudian keadaan kembali sepi. Sunyi bagaikan tiada apa yang berlaku.

Simah menjadi bingung tetapi tiba-tiba terperanjat apabila dia ternampak suaminya masuk semula ke rumah dan berjalan mundar mandir tanpa berkata apa-apa. Suaminya yang sebelum itu amat gagah dan berani kelihatan pucat lesi seolah-olah dia telah dikuasai oleh kuasa ghaib.

Tidak lama kemudian dia ternampak ada sesuatu. yang mengikut suaminya masuk ke dalam rumah. Satu lembaga besar paras pinggang suaminya dengan berkaki empat amat menjijikan kerana tubuhnya yang berlumuran dengan darah dan lumpur.

Singah kelihatan seolah-olah memberi jalan. kepada makhluk besar tanpa kepala yang menjijikkan itu. Di bahagian lehernya masih kelihatan bekas lehernya dipenggal. Makhluk itu terus menuju ke arah Simah yang seolah-olah sedang terpukau.

Lembah PuakaWhere stories live. Discover now