☆ 5

329 33 0
                                    

"Angah!"

Lena Qaisaraa terganggu apabila wad yang tadinya sunyi bertukar riuh dalam sekelip mata. Tidak perlu Qaisaraa berpaling untuk mengetahui empunya suara nyaring itu.

"Bisinglah, Laila. Tengok, angah dah bangun." Berkerut muka Luqman memarahi kembarnya itu.

Tapi seperti biasa Laila hanya mengabaikan kata-kata lelaki yang lebih tua tujuh minit daripadanya itu. Sebaliknya dia terus menerpa ke arah kakaknya yang sudah duduk bersandar di kepala katil.

Qaisaraa hanya mampu tersenyum. Sudah masak dengan kerenah kembar itu.

"Korang buat apa dekat sini? Bukan ke sepatutnya korang pergi asrama hari ni?" Kata Qaisaraa sebaik sahaja dia bebas daripada pelukan Laila.

"Diorang ni lah. Rindu sangat dekat angah dia katanya."

Perhatian Qaisaraa teralih apabila ada suara garau yang menyampuk. Tahulah dia macam mana Luqman dan Laila boleh tiba-tiba tercengak dekat hospital ini.

"Lepas tu suruh Abang Ikmal yang hantar? Ni driver angah tau? Bukan driver korang." Qaisaraa bersuara tegas. Namun dia tidak dapat menahan diri daripada tersenyum. Terharu dengan keprihatinan adik-adiknya.

Tetapi dia tidak mahu mereka risau akan dirinya. Perkara terakhir yang dia mahukan ialah membuat adik-adiknya risau. Dia tahu sebenarnya Luqman dan Laila takut. Takut kehilangan dirinya. Takut kehilangan satu lagi tempat bergantung.

Qaisaraa mengerling Ikmal yang sedari tadi hanya membatukan diri. Saat mata mereka berlaga, cepat-cepat lelaki itu melarikan pandangannya. Takutlah tu!

"Luqman, tolong belikan angah dua botol air mineral dekat kedai runcit kat bawah. Bawa Laila sekali. Lepas tu korang belilah apa yang korang nak." Qaisaraa menghulurkan beberapa keping wang kertas kepada adik lelakinya.

Sebenarnya dia cuma mahu adik-adiknya meninggalkan dia dan Ikmal. Ada perkara yang perlu dia bicarakan dengan lelaki itu.

Sebaik sahaja kembar itu melangkah keluar, Qaisaraa memandang tajam pemandunya. Tangannya disilangkan di dada.

"Jangan tengok aku macam tu." Tanpa rasa bersalah Ikmal mendekati majikannya.

"Ikmal, jangan ikutkan sangat cakap dua orang tu. Diorang dah nak SPM tahun ni. Diorang kena pergi sekolah."

"Ya, aku tahu. Tapi aku tak sampai hati bila diorang beria-ria nak melawat kau. Lagi-lagi si Laila tu. Kau pun tahu bab-bab muka kesian ni dia memang pro." Bukannya dia sengaja tidak mahu menghantar kembar itu ke asrama. Tapi hati lelakinya juga mudah cair apabila dua orang remaja itu seolah-olah merayu ingin mengunjungi kakak mereka.

Qaisaraa hanya mampu mengeluh. Dia sudah faham sangat dengan perangai adiknya yang pandai membodek. Dia sendiri pun sering kalah dengan muka kesian itu.

"Tapi esok kau kena hantar diorang pergi asrama. Dah tak ada alasan."

"Baik, bos!" Ikmal tersengih menunjukkan barisan giginya. Dia tahu amarah majikannya tidak lama.

"Kak Wani tak datang ke hari ni?" Soal Qaisaraa apabila menyedari batang hidung pengurusnya pun dia belum nampak hari ini.

"Sebab tu aku yang ada depan mata kau sekarang ni. Kak Wani ada hal. Katanya malam ni baru dia datang untuk teman kau."

Qaisaraa sekadar mengangguk. Tidak lama sebelum dia menundukkan kepala dan bermain-main dengan jarinya.

"Ada benda yang tak kena ke?" Ikmal yang perasan akan perubahan emosi wanita itu pantas bertanya. Mungkin dia tidak dapat menjalankan tugas sebagai pemandu peribadi memandangkan wanita itu terkandas di hospital ini. Tetapi sekarang ini dia masih boleh menjalankan tugas sebagai seorang rakan.

Tainted Love [OG]Where stories live. Discover now