Bab 17

113 3 0
                                    

PIPI yang tak gatal, Qaseh garu dengan perlahan. Mata masih tidak berganjak dari melihat rumah banglo di hadapannya itu. Air liur ditelan.

Inikah rumah rakan uminya itu? Kaya sangat ini.

“Umi tak salah bagi alamatkan? Cuba umi periksa semula alamat tu. Kutlah mata umi salah tengok ke,” pintanya tatkala memandang sang ibu yang berdiri di sisi. Wanita itu tersenyum senang.

Qaseh pula yang tak senang berdiri. Paluan jantung dia tak macam kebiasaannya. Terasa jantung itu nak tercabut dari badan.

“Apa pula yang salahnya? Betullah ini rumahnya. Qaseh tak pernah datang sini ke?” soal Puan Khadijah dengan pelik.

Takkan sebelum ini Affan tak bawa Qaseh jumpa Puan Amena? Haih, peliklah dua orang ini.

Kepala digelengkan. Dia tak kenal pun siapa pemilik rumah ini. Jangankan pemilik, jalan menuju ke rumah itu pun Qaseh tak tahu kewujudannya.

Kaki mengikuti sang ibu. Sempat juga dia titipkan dalam hati bahawa semuanya akan baik-baik saja. Tak perlu kusutkan kepala dengan fikiran yang bukan-bukan.

“Assalamualaikum. Ya Allah, lama tak jumpa.”

Qaseh yang sedang memerhati sekeliling itu terus melihat ke arah uminya. Wajah dikerutkan. Macam pernah tengok rupa wanita yang Puan Khadijah sapa itu?

Dekat mana, ya?

“Waalaikumussalam, itulah tu. Lama sangat kita tak jumpa. Asyik berbual dalam telefon saja,” balas wanita itu sebelum melirik ke arah Qaseh. Dia tersenyum lebar. Inilah orangnya.

Pandang si anak, Puan Khadijah menyiku perlahan Qaseh. Gadis itu masih lagi terkebil-kebil melihat rumah tersebut. Sedangkan si tuan rumah sedang menyambut mereka.

Bersama dengan kerutan, Qaseh pandang uminya. Sebelum mata terarah kepada seorang wanita yang nampak begitu awet muda.

Perhatikan lama-lama, dia seakan dapat mengingat wajah itu. Membulat matanya tatkala teringat siapa wanita itu.

“Comellah anak kau ni, Dijah,” ucap wanita itu dengan tawa kecil. Lucu melihat wajah terkejut Qaseh.

Malu Qaseh jadinya. Tak sangka wanita itu adalah Puan Amena, mama Affan. Dia ingat pun sebab pernah melihat gambar wanita itu dalam telefon uminya.

“Eh, masuklah dalam. Berdiri pula kita dekat sini. Jom, masuk.”

Mereka masuk ke dalam rumah itu. Sebahagian kawasan di ruang tamu, sudah dipenuhi dengan sanak-saudara Puan Amena.

Qaseh jalan dengan kepala menunduk. Sedang memikirkan sesuatu.

Kalau ini rumah Puan Amena, maksudnya...

Affan pun ada sekali!

Nak saja dia pulang sekarang. Dia tak mahu bertemu dengan lelaki itu buat masa sekarang. Biarlah hati dia tenang sedikit, barulah dia ada kekuatan untuk bertemu.

“Dijah, kau duduklah sini dulu. Aku nak ambil air dekat dapur.”

“Susahkan kau aje, Mena.”

“Alaaa, tak susah pun.”

Puan Amena berlalu pergi. Sempat dia berikan senyuman kepada Qaseh yang dari tadi hanya mendiamkan diri.

Melihat tuan rumah itu sudah menjauhkan diri, Qaseh mengajukan soalan kepada uminya. Wajah cemberut ditayangkan.

“Umi tak cakap pun ini rumah Aunty Mena,” bisik Qaseh. Tak mahu orang lain mendengar bisikannya itu.

Tergeleng-geleng Puan Khadijah.

SEPARUH NYAWAKU PERGI - OGWhere stories live. Discover now