6

70 2 0
                                    

1992

"Ini je yang kau masak? Hei, Fatimah! Aku ni dah muak makan makanan yang sama hari-hari tau tak? Kau tau masak nasi, telur, ikan bilis. Lepas tu, kau tuang kicap je!" jerkah Malik. Pinggan yang dihidangkan nasi dan lauk-lauk tadi ditepis jauh darinya.

"Abang, upah menjahit Fatimah tak banyak sejak bulan lepas. Fatimah tak ada duit nak beli lauk mahal untuk kita," ujar Fatimah lembut. Dia berusaha memujuk suaminya biarpun hatinya tersiat melihatkan makanan yang dia masak buat suaminya sudah bertaburan di atas lantai.

Inilah keadaan mereka sejak tahun lepas. Malik masih tak dapat kerja. Dia pula, kadang kala menerima upah menjahit yang sedikit disebabkan permintaan yang berkurang.

"Aku penatlah hidup macam ni! Kalau aku dengar cakap mak dan abah aku dulu, hidup aku tak susah macam ni!" kata Malik.

"Abang!" panggil Fatimah menyedarkan suaminya itu. Tergamak lelaki itu mengungkit sedangkan dia tak pernah sekali pun memaksa Malik menikahi dia.

"Sudahlah. Baik aku keluar. Aku rimas kau tau?" Jaket yang tersangkut di belakang pintu dicapai lalu dia keluar dari rumah kayu yang kecil itu.

Fatimah yang sedang mendukung Zafran menangis teresak-esak. Janganlah mak dengar apa yang dia dan Malik gaduhkan tadi. Tak terbayang betapa kecilnya hati mak yang sudah tua itu apabila mendengar baris kata hina yang keluar dari bibir Malik tadi.



"Abah...Mak...," Malik mencium kekura tangan Majid dan Zahrah. Dia rindu kepada kedua-dua orang tuanya itu. Mak dan abah hanya memandang dia dingin.

Hari ini, dia tekad untuk memujuk mak dan abahnya agar menerima dia, Fatimah dan Zafran kembali. Puas Maria memujuk dia, akhirnya dia mengalah gara-gara kesempitan hidup yang tak mampu dia lalui.

"Aunty, uncle, Maria dah bawa Malik pulang," sapa Maria yang berdiri disebelah Malik.

"Kenapa kau datang sini, Malik?" soal Majid. Dia tahu, tapi sengaja buat tak tahu. Dia nak tengok sejauh mana Malik sanggup merayu.

"Malik minta ampun, abah, mak. Tolong terima Malik semula. Malik anak derhaka," rayu Malik. Dia mendekati Zahrah lalu menyembamkan wajah pada kedua-dua lutut Zahrah, syurganya.

"Kau sanggup buat apa saja yang mak dan abah minta pada kau, Malik?" soal Zahrah.

"Apa dia, mak?" soal Malik keliru. Bukankah mak dan abah pernah cakap pada dia dulu, yang mereka akan terima dia semula seperti tiada apa yang berlaku?

"Mak dan abah nak kau kahwin dengan Maria. Tinggalkan Fatimah. Abah dan mak tak tahu kalau kau ada anak atau tidak. Kalau anak lelaki, kau bawa dia. Mak dan abah akan terima budak tu. Kau perlukan pewaris harta kau nanti. Kalau anak perempuan, tak perlu bawa. Biar dia tinggal saja dengan mak dia. Budak tu tak akan bawa apa-apa untung dalam keluarga kita pun," kata Majid.

"Tapi, abah, saya tak..sanggup tinggalkan Fatimah...," balas Malik. Sanggup ke dia memisahkan diri dari Fatimah dan memisahkan Fatimah dari anaknya sendiri?

"Abah tak kisah. Itu aje abah minta. Suka hati kau nak ambil masa berapa lama pun. Yang penting, kau kahwin dengan Maria dulu. Maria budak baik. Abah dan mak pun dah kenal keluarga dia lama dah," tegas Majid lagi.

Selain Maria yang datang dari keluarga yang setaraf dengan keluarga mereka, keluarga Maria juga punya perniagaan yang maju. Itu boleh menaikkan lagi kemajuan syarikat Majid sendiri. Bukankah itu tujuan hidup orang kaya seperti dia? Menambahkan kemajuan dan kesenangan hidup sendiri?

"B..baik, abah," balas Malik lalu memandang wajah cantik Maria. Maria sedang tersenyum padanya.

Dia lelaki yang tamak. Dalam pada dia mengasihi Fatimah sebagai isteri, dia juga mengharapkan kembali cinta Maria buat dirinya.

Yang dia tak tahu, ada bala menanti dia suatu hari nanti. Dan bala itu datang dari kalangan dia juga.

Akan tiba saatnya nanti apabila dia mengakui kebodohan dirinya sendiri. Merayu dan melutut demi sebuah keampunan. Menyesali segala yang terjadi hari ini biarpun semuanya selamat terkubur dengan...

Dendam.

RANIA(OG)Where stories live. Discover now