Suasana di ruang makan sepi. Hanya bunyi kipas dan penghawa dingin yang kedengaran. Maira tersenyum bahagia apabila dilayan baik oleh sang suami. Sesekali matanya mengerling sekilas ke arah Naura serta ibu dan bapa mentuanya.
Bibirnya mengulum senyuman sinis apabila melihat wajah Naura yang tidak bermaya.
'Mengada! Baru hadap situasi macam tu pun sampai demam. Aku pun demam juga tapi tak adalah mengada macam ni,' getus hati kecil Maira.
"Kenapa senyap je Naura? Biasanya mesti ada je topik yang Naura buka." Sengaja Maira bertanya seperti itu.
Puas hati dia apabila melihat sikap Naura yang berubah pasif.
"Err... tak ada apa yang Naura nak cerita."
Naura kembali menundukkan pandangan.
"Alah, Naura ni. Tak akanlah baru hari tu Naura hadap situasi macam tu. Macam tak biasa pula."
"Maira!" tegur Fakhrul perlahan. Walaupun perlahan, nada yang digunakan lelaki itu tetap tegas di pendengaran Maira.
Serentak itu, Maira mencebirkan bibir."Maksud akak?"
Fakhrul mengertap rahangnya.
"Kamu ada masalah apa dengan Naura ya? Mama perasan, sejak dua menjak ni kamu suka sangat cari fasal dengan Naura. Jangan kamu ingat bila kamu dah jadi menantu dalam rumah ni, kamu boleh buat sesedap rasa je dekat sini! Tak matang!"
Tersentak Maira apabila disembur sebegitu oleh Datin Durrahtul. Pandangan tajam dari wanita itu turut membuatkan dia berasa kecut perut. Tidak pernah lagi dia melihat sisi sebegini dari ibu mentuanya. Nasi kembali disuap ke mulut.
"Dahlah tu. Makan! Depan rezeki tak baik bergaduh." Kali ini barulah Dato' Malik bersuara apabila dapat merasakan ketegangan dalam suasana makan mereka.
Maira tersenyum kelat. Namun, dalam hatinya berbakul sumpahan dilemparkan buat Naura. Sakit hatinya apabila keadaan lebih berpihak kepada gadis itu.
"Biy, tolong ambilkan ayam kicap tu." Suara sengaja dilunakkan.
Terhenti tangan Naura mahu mencedok lauk ayam kicap yang hanya tinggal seketul.
Dalam diam Fakhrul mendengus. Tebal mukanya di hadapan Dato' Malik dan juga Datin Durrahtul kerana tingkah Maira yang terang-terangan mencari fasal dengan Naura.
"Ayam tu tinggal seketul je. I ambilkan lauk lain ya?"
"No! I nak lauk tu juga. Naura dah makan seketul tadikan?"
Dengan riak selamba, dia mencapai gelas suaminya.
"Lauk tu memang mama masak untuk Naura. Bukan ke Maira tak suka makan makanan berkicap. Manis katanya! Kenapa? Ke sebab Maira mengidam?"
Tersedak Maira apabila mendengar soalan dari Datin Durrahtul. Segera Fakhrul menepuk-nepuk belakang isterinya. Bibirnya mengulum senyum melihat Datin Durrahtul yang selamba mencedokkan lauk ayam kicap tadi ke pinggan Naura. Bukan Fakhrul tidak tahu bahawa isu anak amat sensitif bagi seorang Maira Hanessa. Wanita itu sudah menegaskan kepadanya bahawa dia tidak mahu mempunyai anak dalam waktu terdekat kerana sayang akan kerjayanya sebagai model.
"Eh tak adalah, ma. Tak ada rezeki lagi." Nada suaranya sengaja disayukan untuk mendapat simpati dari kedua-dua orang mentuanya.
Fakhrul pula hanya selamba menyambung suapannya yang tergendala. Tiada masa dia ingin mengambil bahagian dalam cerita dongeng yang dikarang oleh sang isteri. Dia juga sudah muak ingin membangkitkan isu ini kepada wanita itu.
"Mama, babah."
"Ya, sayang. Naura ada nak apa-apa lagi ke?" soal Datin Durrahtul lembut.
"Sekejap lagi, kawan Naura nak datang. Naura dah cakap yang Naura cuma tak sihat sikit je tapi dia tak percaya. Jadi, boleh ke kalau dia nak datang?"
YOU ARE READING
Tawanan Cinta Dia (EBOOK)
RomanceNaura Insyirah. Gadis yang tumbuh menjadi bunga yang indah dalam jagaan keluarga angkatnya. Hidupnya bahagia di samping keluarga itu. Dia ditatang bagai minyak yang penuh. Namun, terdetik juga rasa rimas kerana hidupnya tidak seperti gadis seumurann...