Prolog

5 2 0
                                    

Hari ke-100

BUNYI deru ombak seakan tenggelam di pendengaran. Angin dingin yang menampar kulit, memberi rasa hangat walhal salji sudah bergelimpangan di tanah.

Dia, yang membuat musim sejuk terasa hangat.

Dia, bersama kot labuhnya, tertawa riang bersama kepulan kabus dingin yang keluar dari celahan bibirnya.

Langkah dibawa perlahan. Sedikit demi sedikit cuba merapati si dia.

Tapi entah kenapa, figura itu, semakin menghilang.

Jantung semakin laju mengepam oksigen, dada semakin perit bagaikan terjerat dek sembilu. Nafas semakin tidak teratur, langkah yang tadi perlahan berubah laju, mengejar tubuh yang semakin lama memudar.

Dia memandang bersama senyuman. Senyum manisnya seakan memberitahu yang ini, pertemuan terakhir buat mereka.

Tangan cuba mencapai bayangan dia yang kian pudar.

Dia tadi, hanyalah bayangan, hanyalah khayalan.

Namun, bayangan tadi berubah menjadi sekumpulan rerama yang juga terbang pergi.

Lutut terasa lembik, kaki tidak lagi terdaya untuk melangkah. Perlahan lutut tersembam bertemu tanah yang putih dek salju.

Pipi terasa sejuk. Air mata mula berjuraian jatuh tapi tiada suara yang mampu terluah.

Perit di dada, membuatkan tangan mencengkam baju di bahagian dada kiri.

Pandangan yang berbalam, kabur namun jelas memberitahu tiada lagi senyum manis tadi. Hangat yang tadi merangkul tubuh, juga lesap bergantikan dingin.

Ombak yang memukul pantai, kian kedengaran di halwa telinga.

Bersama air mata, senyum terlorek di bibir. Pahit.

Tangan memukul dada, dadanya yang tiada henti memberi rasa perit. Pukulan daripada perlahan, berubah rentak menjadi semakin laju dan semakin kuat.

Lagi.

Lagi.

Lagi.

Lagi.

Akhirnya, jeritan sekuat hati terlafaz, meluahkan rasa yang tidak akan terubat.

Mulut yang masih terbuka, tercungap, mencari nafas. Rambut dicengkam, bersama jeritan nyaring yang lebih kuat.

Tanah bersalju, ditumbuk berkali-kali.

Dan, tubuh direbahkan ke atas lapisan salji yang kian menebal.

Tidak langsung ada daya untuk melakukan apa pun. Jiwanya seakan terikut terbang bersama sekumpulan rerama tadi, membawa pergi upaya untuk berdiri.

Cinta.

Bahagia.

Rindu.

Ya, rindu.

Kalau perlu sentiasa terseksa begini, rela diri ini andai dengan itu, dapat sentiasa merindui dia. Kalau perlu menelan hempedu untuk dia sentiasa kekal di dalam hati, biarlah begitu.

Biarlah terseksa merindu, asalkan dia sentiasa tersemat di fikiran.

Biarlah kaki dirantai derita.

Biarlah cinta ternoktah di sini.

Biarlah hilang separuh jiwanya.

Biarlah.

Kerana diri ini, teramat perlukan dia....

Missing You (full version)Where stories live. Discover now