#1 Takdir Yang Tertulis

11 2 0
                                    

Desa Pageran, Wilayah Dumung

Hujan renyai-renyai membasahi bumi. Titis-titis rahmat jatuh menimpa kepala manusia yang berlari-lari mencari tempat berteduh.

Dedaunan pohon-pohon yang terpasak melambai gembira tatkala disirami air oleh kerajaan langit. Desiran sungai yang mengalir deras melemaskan suasana hening di Desa Pageran, Wilayah Dumung.

Tiada kedengaran bunyi burung berkicauan mahupun celotehan orang keramaian. Hanya deru angin bertiup lembut menyapa sekujur tubuh yang sedang beristirehat di beranda rumah kayu yang terletak berhampiran muara menghala ke lautan biru.

Asap berkepul-kepul keluar dari mulut Sukma tatkala menungannya menerobos 7 lapis langit. Fikirannya kusut, hatinya pilu.

Dup..dap..dup..dap

Sesekali Sukma memegang dada kiri. "Laju sungguh jantungku berdegup," bisiknya sambil mencucuh mati puntung rokok ke dalam bekas abu.

"Ayah?" Cuitan lembut di bahu kanan membuatkan Sukma tersentak. Kelihatan anak sulungnya, Andika sedang berdiri membongkok di belakang sambil memegang secangkir kopi.

"Oh, Andika. Terima kasih." Sukma lantas menyambut air yang dihulur. Kopi itu dikacau perlahan.

Rambut beruban Sukma beralun ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Usianya kini sudah mencecah 5 dekad. Tubuh badannya kurus tidak bermaya.

"Ayah, tidakkah engkau merasa lapar? Sudah 3 hari tidak menjamah sebarang juadah, hanya minum secangkir dua." Suara Andika kembali menceroboh ruangan peribadi ayahnya.

Sukma hanya tersenyum tawar.

"Tidak mengapa Andika, aku sudah tua. Biasalah badan lemah," seloroh Sukma sambil menggulung pucuk enau. Matanya meliar mencari anak-anaknya yang lain sambil tangan memegang pelocok gobek api.

"Di mana Arjuna dan Jentayu?" soal Sukma seraya memandang Andika. Anak sulungnya itu hanya menjungkitkan bahu.

"Mungkin mereka pergi ke pesta keramaian di Desa Pawang," tebak Andika.

Sukma menghela nafas pendek. Sememangnya kedua-dua anak itu rapat macam belangkas. Ke mana sahaja mereka pergi, pasti berdua.

Suasana sunyi dikejutkan dengan bunyi teriakan bayi yang jelas kedengaran di seluruh pelosok rumah.

BAM!!!

Bunyi hentakan kuat pada pintu bilik mengejutkan dua beranak itu. Andika lantas berlari untuk melihat apa yang terjadi.

Daun pintu bilik ditolak.

"Ibu!," jerit Andika terkejut. Keadaan bilik bersepah, cadar tilam tertanggal, kekabu bantal terburai keluar dari sarungnya dan sisa makanan berselerak bersama pinggan yang tercampak jatuh ke lantai.

Di atas katil, kelihatan seorang wanita kusut sedang meraung. Kejora memandang Andika dengan roman yang bengis. Sepertinya, wanita itu sudah hilang akal.

"Kejora, apa yang sedang engkau lakukan?" Sukma segera memeriksa bayi yang sedang menangis di dalam buaian.

Digendong bayi itu sambil badannya terenjut-enjut dengan harapan tangisan terlerai. "Barangkali bayi ini lapar," bisik Sukma.

Andika duduk di birai katil. Cuba disentuh Kejora namun tangannya ditepis.

Rambutnya kusut masai, matanya bengkak terbeliak besar. Kejora memandang atas, kiri dan kanan. Anak matanya mencari sesuatu. Tubuhnya menggigil.

Sikap Kejora persis perempuan gila.

"Ibu, apa yang berlaku?" suara Andika bergetar cuba mengawal emosi. Sedih jiwanya melihat keadaan Kejora yang tidak keruan. Linangan air mata di pipi ibunya membuatkan hati Andika bertambah sakit.

"Itu bukan anak aku! Itu Dajjal! Dajjal!" teriak Kejora sambil menuding jari telunjuk ke arah bayi yang sedang digendong penuh kasih sayang oleh Sukma.

3 hari yang lalu, Kejora telah melahirkan seorang putera yang diberi nama Nara. Nama itu telah diberikan kepadanya sejak dia di dalam kandungan lagi.

Nara bermaksud perwira agung.

Nama itu jelas menunjukkan apa yang diharapkan oleh kedua-dua pasangan itu. Walaupun begitu, takdir Tuhan tidak semestinya bertepatan dengan kemahuan hambanya.

"Kenapa? Kenapa bayi yang aku kandungkan cacat? Kenapa Allah mengujiku sebegini?" Kejora menangis seraya menekup muka.

Luluh hati Sukma mendengar rintihan itu. Ditenung kedua belah kaki bayinya yang tidak bergerak.

Nara dilahirkan serba kekurangan. Kedua-dua belah kakinya lumpuh, mata belah kanan buta manakala mata kirinya diselaputi oleh cecair putih.

Rambut Nara kerinting, kulitnya kemerah-merahan; sememangnya bayi itu persis Al-Masih Ad Dajjal seperti ramalan yang tertulis di dalam kitab-kitab Hadis.

Mata Nara melilau-lilau cuba melihat dunia. Pun begitu, Sukma yakin, apa yang disaksikan oleh bayi itu hanyalah dunia gelap gelita.

Tangisan Nara akhirnya terhenti selepas didodoi oleh Sukma. Lidahnya sibuk bergerak ke kanan ke kiri saat pipinya disentuh dengan jari. Ternyata bayi itu lapar.

Sukma memandang sayu raut wajah Kejora yang sedang menangis.

"Kenapa Allah mengujiku begini!" rintih Kejora.

Sukma menghelakan nafas panjang. "Kejora.."

"Kita sudah dikurniakan 5 putera dan 1 puteri yang sempurna. Allah telah menjaga mereka sehingga ke saat ini," pujuk Sukma.

Diserahkan Nara kepada Andika yang memerhati lalu didekati isterinya yang duduk memeluk lutut di bahu katil.

"Allah telah mengurniakan kita bahtera kekeluargaan yang belum pernah karam walau dihempas selebu." Kepala Kejora diusap lembut. Rambut yang terurai kusut dikuis ke belakang telinga.

Kedua belah pipinya dipegang rapi.

"Hidup kita memang akan sentiasa diuji. Namun, aku percaya Kejora, Nara bukan satu ujian, tetapi rahmat." Mata Kejora ditenung lalu satu senyuman terukir di bibir Sukma.

Air mata Kejora bergenang. Tubuh Sukma dirangkul perlahan. Perasaan sedih, marah dan kecewa tenggelam perlahan-lahan, lemas di dalam pelukan Sukma.

Belakang badan Kejora diusap lembut.

"Aku percaya Kejora, ada sebab kenapa Nara dilahirkan sedemikian rupa." Kejora menangis teresak-esak. Segala kekecewaannya terluah dengan air mata yang berjujuran jatuh membasahi baju Sukma.

Andika merapati pasangan suami isteri itu. Perlahan-lahan Nara dihulurkan kepada Kejora.

Ibunya mengerling dengan mata kemerahan dan berair. Entah kenapa, di dalam pelukan Sukma semua perkara tampak mudah.

Kejora mengambil Nara lalu digendong. Senyuman terukir pada raut wajah ibunya. Melihat keadaan itu, Andika segera beredar. Masa untuk Nara melampiaskan nafsu lapar.

Pelbagai halangan, dugaan dan cabaran telah ditempuh oleh kedua-dua pasangan suami isteri itu. InsyaAllah, mereka akan kekal teguh.

Penguasa Dumung; Dendam Paling BerbisaOpowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz