Nara adalah anak kepada ketua Desa Pageran, Dumung. Merupakan anak bongsu daripada 7 adik beradik, Nara dilahirkan dalam keadaan cacat sehingga menyebabkannya tidak boleh berjalan. Dia bukan sahaja dicemuh oleh orang sekeliling bahkan ibunya dan adik beradik yang lain. Hanya abang sulungnya Andika yang menyayanginya sehingga sering digendong ke mana sahaja. Andika adalah perwira Dumung yang mengepalai kepimpinan tertinggi wilayah Dumung setelah ayahnya turun takhta. Kekuatannya tiada tolok banding ditambah lagi dengan sifat terpuji dan budi pekerti yang tinggi. Perkara ini memikat Puteri Kirana dari wilayah Dandi saat pertama baginda melihatnya. Walau bagaimanapun Andika menolak pinangan Puteri Kirana kerana mencintai seorang gadis desa. Rasa terhina dan malu, Raja wilayah Dandi lantas mengerakkan kuasa ketenteraan untuk menyerang dan meranapkan Desa Pageran, Dumung. Apakah nasib yang bakal dihadapi oleh Andika? Apakah keputusan yang diambil oleh Andika untuk menolak pinangan Puteri Kirana bakal melenyapkan Desa Pageran, wilayah Dumung dari muka bumi?