BAB 3

330 32 0
                                    

"ALIM, mama dengan papa nak bertolak lepas Zuhur nanti."

Alim yang ketika itu sedang menarik gril pagar jadi pegun di tempatnya berdiri. Lima saat, masa yang diambil untuk dia mencerna maklumat yang baru diterima. Oh, ya! Mama Lia dengan Papa Bir nak balik ke kampung.

Dia sudah ingat.

"Okey, mama."

"Nanti Alim panaskanlah apa-apa lauk dalam peti tu, jangan tak makan pula."

Alim tarik sapu tangan berwarna putih yang tersangkut di lehernya lalu kain dibawa menyapu muka. Berkilat kulitnya yang bertona kuning langsat itu akibat berlumur dengan peluh. "Makan, mama jangan risau. Pandai-pandailah Alim nanti isi perut."

"Mama awak ni Alim, risau sungguh nak balik kampung lama tinggalkan awak dekat sini." Tak pasti dah berapa lama Papa Bir menelinga perbualan mereka, tiba-tiba saja dia muncul dari dapur sambil bawa bekas berisi air.

Mungkin hendak dijadikan bekal sepanjang pemanduan pulang ke kampung nanti.

"Mana tak risau? Tinggal seminggu ni agaknya seminggu juga dia pergi meragut rumput dekat kebun dia tu macam kambing!"

Alim rasa air liurnya tergumpal dekat tekak hingga dia yang sedang meneguk air jadi tersedak. Dalam batuknya dia ketawa. Mama Lia samakan Alim dengan kambing? Meragut rumput?!

"Mama..." Sengaja Alim leretkan suaranya. Jelas suara dia bergetar menahan gelak. Mak orang lain punyalah risau anak-anak mereka tak makan sayur. Sampai dekat Mama Lia, ada ke patut panggil anak sendiri kambing sebab suka makan sayur.

"Lia ni, lain ke lain. Tak adalah teruk sangat sampai jadi kambing si Alim ni." Papa Bir bela nasib Alim seadilnya. Gaya dia seperti menahan tawa tapi nadanya serius. Mungkin Papa Bir nak gelak sekali tapi bimbang pula isteri naik hantu.

Berlakon itu perlu.

"Dah kalau setiap hari kerjanya makan sayur, sayur, sayur!"

Alim tersengih lagi. "Alim okey. Mama jangan risau. Have fun dekat kampung."

Lengannya terasa dipaut manja oleh Mama Lia. Alim biarkan sahaja, dah biasa. "Alim... jomlah balik sekali ikut mama dengan papa?"

Mata tua yang berhias dengan kedutan itu dia tatap bersama senyum tawarnya. Rasanya tak perlu menyoal lagi, Mama Lia tahu jawapan dia. "Hari panas sekarang. Nanti mati pula pokok-pokok dekat luar tu tak bersiram." Halus dia beralasan.

"Tak apa, nanti mama minta tolong dengan jiran kita untuk siramkan."

Alim menggeleng. "Tak payah la mama, menyusahkan orang pula. Lagipun Alim ada kerja nak kena buat. Nanti mama sampai dekat kampung, kirimkan salam dekat Aki Alang ya?"

Mama Lia seperti mahu membantah keputusan anak muda itu. Cepat-cepat Papa Bir mencuit bahunya dan buat isyarat agar dia hentikan pujukannya setakat itu sahaja.

"Dah la tu Lia. Alim tu sibuk. Jangan kacau dia. Jom gerak, kita dah lambat ni. Pukul berapa pula nak sampai kampung nanti kalau lambat sangat bertolak. Nanti sesak pula nak masuk KL tu."

Kendur air muka Mama Lia. Mata itu berubah sayu. Lemah dia lepaskan pautan tangannya di lengan Alim kemudian digantikan dengan pelukan erat. "Mama gerak dulu, ya? Alim jangan lupa makan. Kalau tak nak masak, beli ajelah makanan luar. Jangan sampai tak tidur buat kerja."

Alim balas pelukan hangat itu. Dia tepuk belakang badan Mama Lia penuh sayang. Sebaik pelukan dilepaskan, dia tundukkan kepala supaya dapat dilagakan pipinya dengan Mama Lia. "Okey, mama. Jangan risau."



MAMA LIA betulkan duduknya sebaik kelibat Alim hilang dari pandangan. Senyum yang tadi ditampal kini perlahan-lahan jadi kendur.

Cerita Kita (Bakal Terbit)Where stories live. Discover now