BAB 6

245 30 1
                                    

"TERIMA KASIH, encik." Ucap Jasmin kepada pemandu kereta yang disewanya sebelum pintu ditutup rapat. Dia hanya pandang kereta MyVi berwarna biru itu berlalu pergi barulah kakinya dibawa melangkah ke halaman rumah uminya.

Selangkah, Jasmin berhenti bergerak. Dia pusingkan badannya semula menghadap kawasan depan rumah yang berhadapan dengan tasik.

Lama dia tenung air yang tenang itu. Patut ke?

Dia picit butang kecil di telefon bimbitnya. Skrin menyala menampakkan angka-angka mewakili waktu semasa. Pukul 6.59 petang.

Belum malam, tapi hampir senja.

"Nanti ajelah." Jasmin putuskan untuk tidak ke tepi tasik walaupun dia sangat teringin melepaskan perasaan di tepian air. Aktiviti yang dia paling suka buat ketika hati sedang gundah gulana.

Tak seronok pula rasanya kalau dapat duduk sekejap aje. Esoklah pagi-pagi dia turun pergi bersila dekat atas rumput bawa buku notanya. Malam ni Jasmin bertenggek dekat balkoni aje macam biasa.

Setelah diputuskan niatnya, Jasmin pun berpusing untuk masuk ke dalam rumah. Dia sudahpun tanggalkan kasutnya, tinggal hendak ditolak aje pintu dan masuk ketika telinganya menangkap satu bunyi. Datang dari rumah sebelah.

Terjuling matanya semata hendak mengenal pasti. "Bunyi macam orang menyanyi?"

Riaknya bertukar pelik dengan andaian sendiri. Dia picingkan telinga lagi. "Betul la. Bunyi orang menyanyi." Lepas tu Jasmin yang termanggu dengan pernyataan sendiri. "Siapa siut yang menyanyi senja-senja macam ni?"

Kalah dengan rasa ingin tahunya, Jasmin jalan terjengket-jengket pergi ke tepi rimbunan pokok yang dijadikan sempadan antara rumahnya dengan rumah sebelah.

Nak panjangkan leher mengintai ke sebelah dia takut ketahuan, makanya Jasmin putuskan untuk mencangkung dan tilik dari bahagian bawah. Kebetulan ada sebahagian rimbunan itu yang daunnya tak berapa nak ada, nampaklah pemandangan halaman rumah jiran uminya.

Tepat seperti sangkaan Jasmin. Ada seorang lelaki sedang menyanyi kecil sambil memetik buah tomato ceri dari pokoknya. Mukanya Jasmin tak nampak, tapi dia yakin lelaki itu adalah kelibat yang sama yang dia lihat berkebun beberapa hari kebelakangan ini.

"Vibe... bila-bila masa boleh petik dekat pokok. Best juga macam ni, bosan-bosan lepas pencen tak tahu nak buat apa, berkebun," fikir Jasmin di dalam hati. Nanti Jasmin nak usulkan hal itu dekat Abi Johan.

Penat bertinggung, Jasmin tongkat tangan untuk bangun. Hilang terus susuk lelaki itu dari pandangan. Nanti-nantilah dia berkenalan.



ALIM berhenti memetik tomato ceri apabila dia terasa bulu tengkuknya meremang tiba-tiba. Sepantas kilat dia berpusing ke belakang untuk melihat kut-kut ada orang sedang perhatikan dia.

Kosong. Alim tak nampak sesiapa melainkan pokok hiasan yang dijadikan pagar sempadan dengan jiran sebelah.

Hal itu berjaya membuat mukanya berubah, pucat lesi.

Bukan sekali, bukan juga dua kali, tetapi berkali-kali romanya menegak tanpa amaran seperti sekarang. Kuat firasat Alim kata memang ada mata yang memandang dia. Cuma pemilik mata itu bukan dari alam manusia ini tapi dari alam yang satu lagi.

Ragunya langsung tidak bertepi.

Rumah sebelah memang ada hantu!



"PAGI ni awak masak apa, Min?"

Jasmin tak perlu menoleh ke belakang hatta menjeling ke tepi pun untuk mengetahui siapakah gerangan yang melontarkan soalan itu. Siapa lagi kalau bukan Umi Wafa?

Cerita Kita (Bakal Terbit)Where stories live. Discover now