𝐇 𝐀 𝐌 𝐈 𝐑 𝐀 | 𝐁𝐀𝐁 𝟐

1.6K 68 0
                                        

DI HADAPAN RUMAH BANGLO DATO' HARITH.

Hati Amira berdegup kencang sebaik sahaja kakinya menjejakkan diri di hadapan pintu banglo besar yang megah itu. Rumah yang besar dan bergaya, dihiasi dengan landskap yang terjaga rapi, memberi gambaran yang jelas tentang status pemiliknya. Amira menarik nafas panjang. Kau boleh buat ni, Amira. Just relax.

Pintu utama terbuka perlahan-lahan, dan seorang wanita dalam pakaian formal memandangnya dengan senyuman yang mesra. "Selamat datang, Amira. Saya Nisa, pembantu peribadi Dato' Harith. Silakan masuk," ujar wanita itu, dengan suara lembut dan penuh sopan.

Amira mengangguk, mengatur langkah masuk ke dalam rumah yang luas itu. Hiasan dalaman yang moden dan elegan jelas menunjukkan kemewahan, namun ada sesuatu yang menenangkan di dalam rumah ini. Mungkin kerana susun atur yang kemas, atau mungkin juga kerana pemandangan indah ke taman yang terbentang di luar.

Nisa memimpin Amira ke ruang tamu yang lebih besar daripada yang pernah dia bayangkan. Di situ, duduk seorang lelaki yang kelihatan begitu tenang, walaupun wajahnya sedikit serius. Dato' Harith. Lelaki yang akan menentukan nasibnya. "Amira, ini Dato' Harith," kata Nisa, memperkenalkan mereka berdua.

Amira menundukkan sedikit kepala sebagai tanda hormat. "Assalamualaikum, Dato'." Suaranya sedikit bergetar, tetapi dia cuba mengawal perasaan. Dato' Harith hanya membalas dengan anggukan kecil, matanya memandang tajam, namun tidak berkelip. "Waalaikummussalam, Amira. Duduk."

Amira menarik nafas dalam-dalam dan duduk di hadapan Dato' Harith. Jantungnya berdegup kencang, terasa seperti setiap pergerakannya diperhatikan, namun dia cuba menenangkan diri. Kau datang sini untuk bekerja, Amira. Kau boleh buat ni.

"Jadi, Amira, kenapa kamu nak kerja dengan saya?" Dato' Harith memulakan perbincangan, suaranya tenang namun serius. Amira cuba tersenyum meskipun terasa sedikit gugup. "Sebab saya suka kanak-kanak, Dato'. Saya rasa, menjaga anak kecil ni… macam saya dapat beri kasih sayang yang tulus kepada mereka. Saya juga nak cari sesuatu yang lebih stabil dalam hidup saya."

Dato' Harith memerhatikan Amira tanpa berkata apa-apa, hanya mengangguk perlahan. Amira berasa seolah-olah dia sedang menilai setiap perkataan yang keluar dari mulutnya.

"Saya ada seorang anak perempuan. Namanya Arya Katrina," Dato' Harith berkata dengan nada yang lebih lembut, seakan bercerita tentang sesuatu yang sangat berharga baginya. "Dia berumur lima tahun, dan dia agak manja. Saya perlukan seseorang yang boleh memberikan perhatian penuh dan mendidiknya dengan cara yang baik. Bukan hanya sekadar menjaga, tapi menjadi sebahagian dari kehidupannya."

Amira mendengar dengan penuh perhatian. "Saya faham, Dato'. Saya… saya rasa saya boleh beri yang terbaik untuk anak Dato'."

Dia terdiam sejenak, memikirkan kembali bagaimana dia mula mencari kerja ini. Memang niatnya hanya untuk membantu keluarga, tetapi sekarang, ada rasa tanggungjawab yang lebih besar.. terutama kepada Arya yang tak pernah dilihatnya. Wajah kecil itu muncul di benaknya. Kalau dia sebaik ini, pasti jadi satu pengalaman yang indah untuk saya.

"Saya akan beri peluang kepada kamu, Amira," kata Dato' Harith selepas beberapa ketika, suaranya rendah dan serius. "Tapi saya nak pastikan kamu benar-benar sedia untuk tanggungjawab ini. Menjaga anak saya bukan mudah, Amira." Amira mengangguk penuh keyakinan, walaupun jantungnya masih berdebar-debar. "Saya sedia, Dato'. Saya akan buat sebaik mungkin."

Dato' Harith tidak memberi apa-apa reaksi pada mulanya, tetapi akhirnya dia mengangguk perlahan. "Baiklah. Saya akan beri kamu ujian percubaan. Mulai minggu depan, kamu akan mula menjaga Arya. Kalau kamu berjaya, kita akan teruskan."

𝑴𝒚 𝑺𝒐𝒖𝒍𝒎𝒂𝒕𝒆 𝑰𝒔 𝑨 𝑩𝒂𝒃𝒚𝒔𝒊𝒕𝒕𝒆𝒓 Where stories live. Discover now