Angin sepoi-sepoi dari pantai menyapa lembut pipi Aniq. Terasa nyaman, seolah-olah ia ingin menyapu segala beban yang menghimpit hatinya. Tempat ini, persisiran pantai yang sering menjadi saksi kepada kisah hidupnya.
Dia memejamkan mata seketika, membiarkan bunyi ombak yang menghempas pantai membawa ingatannya kembali ke waktu-waktu dulu. Disinilah segalanya bermula, perasaan yang disimpan sekian lama akhirnya diluahkan di sini, di pantai yang menjadi tempat rahsia mereka berdua. Segalanya terasa sempurna.
Dengan perlahan, Aniq membuka matanya dan melihat ke arah laut. "Aku rindu kau, Taufiq. Aku rindu kau sangat," bisiknya perlahan, hampir tak kedengaran. Angin pantai seolah-olah membawa pesanannya itu jauh ke laut, mungkin sampai kepada orang yang paling dirinduinya.
Dia menghela nafas panjang, dan senyuman kecil mekar di bibirnya. Dia masih ingat...
2015
Waktu hening petang menjelma, Aniq sedang duduk di pangkin depan masjid kampungnya. Suasana sepi, hanya ditemani bunyi cengkerik dan desiran angin yang lembut menyapa daun-daun kering di sekelilingnya. Buku-buku terbentang di hadapannya, tangannya pula ligat menulis, mencatat nota. Sesekali dia akan berhenti sejenak, merenung ke arah langit yang mulai jingga.
Dia mengeluh perlahan, matanya sesekali melirik ke arah jalan kecil yang menghubungkan masjid dengan jalan itu. "Mana la dia ni... kata nak datang awal."
Hampir sepuluh minit berlalu, dan masih lagi tiada tanda-tanda kelibat Taufiq. Dengan geram, Aniq menutup buku di hadapannya dengan sedikit kasar, kertas-kertas di atas pangkin hampir berterbangan.
Dia menggigit bibir, menahan rasa geram yang semakin memuncak dalam dadanya. Mana taknya, sudah satu jam dia menunggu di sini, tetapi kelibat Taufiq masih belum kelihatan.
Tiba-tiba, deruman enjin motor memecah keheningan. Aniq segera mengangkat kepalanya, dan di saat itu, kelibat Taufiq muncul dari selekoh dengan motosikalnya.
Taufiq meluncur ke arah Aniq, motornya berhenti dengan perlahan di hadapan pangkin. Dia membuka helmet, senyuman lebar terukir di wajahnya yang tampan. Rambutnya dirapikan dengan jari, sebelum dia melangkah turun dari motor.
Dia menggaru belakang kepala. "Sorry, Aniq. Aku tak sengaja. Ada hal tadi."
Aniq mencebik. Tak sengaja? "Aku tunggu kau sejam. Kau boleh cakap tak sengaja?"
Taufiq tidak berkata apa-apa, sudah lali dengan perangai Aniq yang kuat merajuk. Nasib baik comel, kalau tak, jangan harap dia nak layan. Dia meletakkan helmetnya di atas kayu pangkin lalu memanjatnya dan duduk bersebelahan Aniq. Dengan cepat, tangannya mencapai buku yang baru saja ditelaah oleh kawannya yang seorang itu.
"Eh, jangan kacau buku aku," kata Aniq sambil cuba merampas buku itu. Taufiq mengangkat tangannya, jauh daripada capaian Aniq.
Hanat, mentang-mentang tinggi, kau nak budak-budakkan aku macam tu je.
"Taufiq!"
Taufiq ketawa, menyembunyikan buku di belakangnya. "Kau ni, asyik merajuk je. Sabar sikit, aku just nak tengok notes kau."
Dia membelek buku itu, tulisan Aniq yang kemas dam tersusun jelas kelihatan. Siap ada penanda lagi! "Uish, warna-warni. Rajin betul kawan aku yang seorang ni."
Aniq mencebik.
"SPM nak dekat kan. Kenalah rajin. Kalau tak, macam mana nak sambung belajar."
Kali ini, giliran Taufiq pula untuk mencebik. Mungkin terasa dengan kata-kata Aniq.
Taufiq dan Aniq bagai langit dengan bumi. Nama sahaja kawan baik, tetapi perangai mereka jauh berbeza. Taufiq sering memonteng kelas, budak bermasalah bak kata cikgu disiplin manakala Aniq pula merupakan antara pelajar cemerlang di sekolah mereka. Kalau Taufiq suka menghabiskan masa di padang bola, Aniq pula lebih gemar menghabiskan masa di perpustakaan, tenggelam dalam buku-buku rujukan tebal.
YOU ARE READING
Suatu Hari Nanti
RomanceTaufiq Nuwair dan Aniq Lathif merupakan kawan baik, mungkin juga kekasih, sebelum Taufiq dipanggil untuk melanjutkan pelajaran dan mengecapi impian kerjayanya. Demi untuk menunaikan impiannya, Taufiq memaksa diri dia untuk pergi, berjanji dengan Ani...