Seolah-Olah Hüzün

3.2K 40 10
                                    

(untuk Syafiq Ghazali)

DARI tempat duduknya di dalam pesawat Turkish Airlines, Pelancong itu sungguh teruja dan sungguh terpesona kerana di antara jutaan manusia di dunia ini, di saat ini, dia antara yang bertuah, atau satu-satunya yang bertuah untuk melihat Hagia Sophia bangun dan berjalan di tengah kota Istanbul. Pelancong itu mengambil foto dirinya dan dia memeluk leher orang Turki di sebelahnya dan dia mengambil foto mereka berdua dan dia ketawa dan dia rasa awan di luar adalah gumpalan turkish delight dan langit adalah hamparan Laut Marmara dan dia rasa ada dua ekor angsa sedang berlari-lari dalam jam tangannya dan dia terketawa dengan sangat kuat apabila Hagia Sophia jatuh tergelincir di atas anak tangga Taman Gezi Taksim. Pelancong itu berkata dalam bahasa Melayu kepada orang Turki di sebelahnya: "Kawe berahi tengok Istanbul."

Hari Pertama

Pelancong itu berdiri di luar Lapangan Terbang Atatürk bersama sepuluh buah bagasi, satu sangkar burung ketitir, dan satu rebana ibu. Segerombolan orang Taiwan sedang beratur di pintu sebuah bas untuk menunggu segerombolan orang Taiwan turun dan segerombolan orang Taiwan di luar kaunter imigresen sedang mengambil barang mereka dan sedang mengikut arahan si pemegang bendera dan segerombolan orang Taiwan ini akan menggantikan tempat beratur segerombolan orang Taiwan yang sudah berada di dalam bas dan sedang tidur memeluk kamera masing-masing. Pelancong itu menyalakan rokok dan menghembuskan asap dan asap itu menjad bentuk wau bulan. Di dalam teksi Pelancong itu cuba berbual dengan pak cik pemandu, tetapi dia asyik ketawa, kerana setiap kali pak cik pemandu itu mula bercakap, dia hanya mendengar semboyan kapal berdengung keluar dari mulutnya. Pelancong itu membuka tingkap dan terkinja-kinja merasai lidah angin Bosphorus melingkar di lehernya. Sebuah tembok tua dari zaman Bizantium menguap dan menggeliat dan melintas jalan raya Atakӧy untuk merendamkan kaki di laut. Pelancong itu mendongak dan terpandang di langit frasa Arab yang tergantung dan membeku seperti bongkah ais:

الله أكبر

Lampu isyarat merah. Seekor burung albatros mendarat turun ke tingkap teksi sambil kedua-dua kakinya memegang dulang minuman. "Tesekkuler," kata pak cik pemandu membayar satu lira dan mengambil secawan teh.

Di Eminönü Pelancong itu tertidur dan berdengkur dan dia rasa ada malaikat sedang berpesta di dalam mulutnya. Tanpa pengetahuan Pelancong itu, teksi yang dinaikinya sedang berpusing-pusing di sekitar Beyoglu, mencari apartmen di Cukurcuma yang alamatnya telah ditulis oleh Pelancong itu di atas kertas. Teksi masuk Karabas dan membelok ke Örtme Altı dan berselisih dengan sebuah kereta Hyundai berhampiran Tophane-i Amire dan nyaris terlanggar dan kedua-dua pemandu bertengkar melalui tingkap dan orang-orang tua di kedai kopi mula keluar dan kucing-kucing di balkoni dan bumbung rumah melompat turun dan ikut mendengar dan semua orang bersurai apabila seorang perempuan tua di rumah tingkat empat memaki-hamun dan melempar pasu bunganya ke atas jalan dan kini teksi itu memecut di Boğazkesen dan berhenti tiba-tiba di depan sebuah restoran doner dan pak cik pemandu berlari keluar dan berbual selama minit dengan tukang masak di belakang kaunter dan Pelancong itu masih tidur dan menikmati pesta malaikat di dalam mulutnya dan pak cik pemandu kembali ke kereta dan menendang pedal minyak dan teksi memanjat jalan di Yeni Çarşı dan pak cik pemandu membunyikan hon dan melambai kepada seorang perempuan yang sedang menjual bunga di tepi mesin ATM dan teksi terhenti di depan Hard Rock Café dan hon kereta bersahut-sahutan kerana ada sebuah lori sedang menurunkan barang-barang perabot dan teksi kemudian membelok ke Meşrutiyet dan melintas Hotel The Pera Hill dan melintas Cokcok Thai dan melintas sebuah poster gergasi Ahmet Davutoğlu yang mengucapkan "Assalamualaikum" dan teksi masuk ke Asmalı Mescit dan pak cik pemandu menurunkan tingkap dan menempik sebuah kereta Nissan yang menukar lorong secara mengejut dan sekali lagi teksi melintas Tophane-i Amire dan memanjat jalan Boğazkesen dan pak cik pemandu membuat pusingan tajam masuk ke Cukurcuma dan segera menekankan pedal brek sebaik sahaja alamat dan apartmen yang dicari-cari dari tadi ditemui. Pelancong itu tersentap bangun.

Seolah-Olah Hüzün - sebuah cerpen oleh Wan Nor Azriqजहाँ कहानियाँ रहती हैं। अभी खोजें