Bab 4

24.4K 162 6
                                    

"Tiara, tu..." Muncung Reena sudah terhala ke arah satu sudut. Serentak itu juga, Tiara kalihkan wajah lalu memandang apa yang sedang diperhatikan oleh rakan baiknya itu.

"Mamat tu handsome, kan?" giat Reena sambil tersenyum-senyum.

"La... Itu aje yang kau nak cakap? Aku ingatkan apalah tadi." Dengan senyuman manis, Tiara menggeleng perlahan. Pinggan yang sudah dicuci, dilap sehingga kering sambil melayan bual bicara rakan serumahnya itu.

Reena memang begitu, pantang melihat lelaki kacak. Mudah cair dan jatuh suka. Tapi, dalam mudah cair Reena, rakannya itu masih belum berpunya. Masih solo dan kata Reena lagi, dia belum bersedia untuk bercinta dan dicintai.

"Tapi kan Tiara... Dari tadi lagi aku tengok mamat tu asyik termenung. Muka dia serabut," komen Reena sambil mencuri pandang wajah pelanggan yang duduk di sudut restoran paling hujung.

"Entahlah, Reena. Mungkin dia ada masalah dengan kerja. Tak pun, dia tengah bergaduh dengan girlfriend. Siapa tau?" Tiara meneka masalah yang melanda jejaka berkening lebat itu.

"Aku rasa tekaan kau memang betul. Kalau bukan sebab kerja, mesti sebab perempuan. Yalah, lelaki handsome macam mamat tu, takkanlah tak ada girlfriend. Ya tak?"

"Ya, Reena. Betul aku setuju," gumam Tiara seraya memanggung wajah lalu mengukir senyuman manis.

Sesekali dia memerhatikan figura lelaki yang menjadi topik perbualan mereka lewat tengah hari itu. Berkemeja dengan lengan disingsing ke hujung siku serta rambut yang kemas bersisir. Hati kecilnya turut mengakui kekacakan lelaki yang disebut-sebut Reena.

"Tiara, kamu dengan Reena tak habis-habis bergosip?" sergah seseorang memeranjatkan mereka yang sedang rancak berbual.

"Sorry, Kak Zah," balas Reena, perlahan.

"Dari tadi lagi Kak Zah perhatikan perangai kamu berdua. Tak habis-habis bersembang, kerja buat cara kerja! Jangan mencuri tulang!"

Tiara dan Reena senyap membisu. Sarang tebuan jangan dijolok, karang mereka juga yang kena sengat. Biarlah Kak Zah mahu membebel, yang penting mereka dapat terus bekerja demi menampung kos hidup yang tinggi di bandar raya ini.

"Ni, tolong hantar pada customer."

"Biar saya hantarkan," tawar Reena yang bekerja sebagai pelayan disambut dengan wajah kelat Kak Zah.

"Tak perlu! Kak Zah mahu Tiara yang hantar pesanan ni."

Reena terdiam seraya memerhatikan Tiara yang terpinga-pinga. Pembantu dapur diminta menghantar pesanan kepada pelanggan. Di mana logiknya?!

"Pergilah cepat!" tekan Kak Zah sedikit tinggi.

Tiara menoleh sejenak.

"Baiklah, Tiara hantar sekarang!" Kerja mengelap ditinggalkan. Lalu dulang yang tersusun pinggan berisi mi rebus disentuh cermat.

Kak Zah yang sedang bercekak pinggan dikerling melalui hujung mata. Ah, hari ni sahaja sudah dua hingga ke tiga kali menjadi mangsa buli wanita itu. Entah apa yang tidak kena, dia sendiri tidak pasti.

"Hah, menonong aje! Kau tahu ke pesanan tu untuk siapa?" Sekali lagi disergah. Tiara terdiam, langkah terhenti manakala Reena yang mendengar, sekadar mampu menelan liur.

"Maaf, Kak Zah. Saya terlupa."

"Cuai! Macam manalah bos boleh ambil kau bekerja, hah? Menyusahkan!" cemuh Kak Zah dengan riak wajah menjengkelkan.

"Maaf, Kak Zah." Tiara memohon maaf. Enggan memanjangkan cerita.

"Sudah, pergi hantar pesanan ni ke meja 16. Cepat, jangan lembab sangat. Jangan nak makan gaji buta!" herdiknya menyakitkan hati Tiara yang mendengar.

Pujaan Hati KandaWhere stories live. Discover now