Bab 12

23.3K 119 1
                                    

"Rara dah tidur... Mama Rara tak nak tidur lagi?" soal Danny sewaktu bersidai di balkoni tangga. Dari air muka gadis itu, dia tahu Tiara sedang dihambat resah.

"Belum mengantuk!" jawab Tiara, pendek. Selepas menidurkan Rara, dia keluar semula dan duduk di atas anak tangga paling atas memandang belakang tubuh lelaki itu.

"Kenapa ni?" Suara lembut Danny menyapa hati kecil Tiara yang sedang dipagut bimbang. Dia yang berdiri membelakangi, segera berpusing lalu menyandar belakang tubuh ke penghadang besi. Sesekali dia menjenguk ke arah daun pintu yang terbuka. Cuba memasang telinga kalau-kalau Rara menangis di dalam sana.

"Cakaplah pada abang, at least boleh ringankan kepala Tiara tu."

Mendengar kata-kata pujukan Danny, Tiara memanggung wajah lalu menghela nafas.

"Tiara risau! Mesti Pali akan buat sesuatu yang Tiara tak suka."

"Contohnya?"

"Tiara takut dia ceritakan semua perkara tak betul ni pada keluarga kat kampung! Matilah Tiara."

Danny tersenyum nipis. Dia faham dengan keadaan dan situasi yang terpaksa ditanggung oleh gadis ini. Dia sendiri telah merasa keperitan tersebut hingga terpaksa menanggung aib yang berpanjangan.

"Abang faham keadaan Tiara. Tentang hal tu, nanti abang cuba selesaikan. Kalau famili Tiara salah faham, abang boleh perbetulkan salah faham tu dengan syarat bawa abang berjumpa dengan famili Tiara. Bila-bila pun abang tak kesah!"

"Buat masa ni Tiara memang tak sempat nak balik kampung, bang. Mungkin lepas habis exam."

Danny mengangguk. Lepas Tiara habis peperiksaan, maka berakhirlah tugas gadis itu menjaga Rara dan ketika itu jugalah dia harus bertemu dengan keluarga Tiara untuk berterus terang sebelum Pali merosakkan segalanya.

"Tak apalah, kita tunggu sampai Tiara habis exam. Lepas tu abang hantar Tiara balik. Boleh?"

"Eh, takkan abang nak hantar Tiara balik?" soal Tiara dengan wajah yang sudah bertukar ceria namun jelas riak tidak percayanya itu terpampang di raut wajah. Selamatlah dirinya daripada menumpang kereta Pali.

"Yalah... Abang nak hantar mama Rara balik! At least, bila Rara rindu pada mamanya, tahulah di mana abang nak cari Tiara nanti."

"Nanti mesti Tiara sedih bila nak berpisah dengan Rara." Sayu suara itu sudah menyapa halwa telinga Danny.

"Nak buat macam mana, mama Rara masih berstatus anak dara. Takkan anak dara dah ada anak kut? Karang, kecoh satu kampung!" duga Danny dalam senyuman.

Dia tahu, khidmat Tiara tidak lama. Namun dia tetap bersyukur kerana Allah Yang Maha Besar telah menghadirkan seseorang pada saat dia kebuntuan.

"Ikutkan hati ni, teringin sangat rasanya nak jaga dan besarkan Rara. Tapi apakan daya, pasti keluarga Tiara tak setuju. Mereka lebih suka kalau Tiara bekerja dan jawat jawatan besar," luah Tiara tentang kehendak keluarganya.

"Semua ibu bapa harapkan perkara yang sama. Jangan mengeluh, ikutkan saja kehendak mereka. Mudah-mudahan, laluan Tiara untuk kejar impian dan cita-cita akan jadi lebih mudah," komen Danny dengan nada mendatar.

"Terima kasih, abang. Tenang sikit hati Tiara bila dengar abang cakap macam tu."

"Abang pernah berada di tempat Tiara, abang dah rasa semua tu. Tipikal orang kita, habis saja belajar wajib bekerja makan gaji dan beli kereta. Itu normal! Tapi tak mengapalah... Yang penting Tiara selesa dan keluarga setuju, apa salahnya kita mengalah. Ya, kan?" Tawa halus Danny kedengaran bersahaja.

"Hanya abang yang faham keadaan Tiara, tapi keluarga Tiara tak macam tu," adu Tiara, perlahan. Dibesarkan sebagai anak bongsu yang dihantar belajar hingga ke menara gading, ia cukup memberikan tekanan buat Tiara.

Pujaan Hati KandaWhere stories live. Discover now