Akta Rahsia Rasmi Resepi Nasi Lemak

34 3 2
                                    


Satu hari Abu Lenovo makan nasi lemak paling sedap di Kuala Lumpur. Kemudian sambil-sambil makan dia pun ceritakan tentang resepi sambal yang digunakan oleh kebanyakan peniaga kepada Haji Dell. Sampaikan bahan paling rahsia pun dia ceritakan. Katanya, "Kalau orang tahu rahsia ini, boleh bungkus semua kedai nasi lemak. Tapi sebab nasi lemak ini sedap, saya pun malas nak bongkarkan rahsia itu. Bahaya pun bahayalah."

          Kadang-kadang kata-kata Abu Lenovo ini dengar boleh, percaya jangan sekali. Kena tapis dulu. Haji Dell layankan saja sambil mengasingkan telur kuning daripada telur rebus yang dibelah dua dalam pinggannya. Tambah Abu Lenovo lagi, "Resepi itu sebenarnya disimpan dalam peti besi bawah tanah sebuah bank yang terletak di tepi Sungai Klang. "

          Sebaik saja dia menyuap sebutir nasi yang terakhir, Abu Lenovo dihampiri oleh beberapa orang berpakaian apron lengkap bersenjata automatik menggari tangannya. "Anda mempunyai hak untuk berdiam diri dan tidak menjawab soalan. Apa sahaja yang anda katakan boleh digunakan terhadap anda di mahkamah undang-undang tubuh nasi lemak. Anda mempunyai hak untuk mendapatkan peguam sebelum bercakap dengan pihak polis."

          Haji Dell yang masih terkejut melihat Abu Lenovo disumbat dalam kenderaan putih itu tidak berhenti menyedut straw walaupun teh o aisnya sudah habis. Hanya tinggal ais saja.

          Sementara itu, tauke kedai nasi lemak itu hanya tersenyum mengira duit di belakang kaunter. "Berani dia nak tutup kedai nasi lemak aku."

          Abu Lenovo telah ditahan di bawah akta rahsia rasmi resepi nasi lemak sebelum sempat basuh tangan selepas makan.

***

BORAKWhere stories live. Discover now