MENGEJAR.KESEMPURNAAN.SOLAT

306 14 0
                                    




"Antara nak sempurnakan cara solat (contohnya : sujud sampai hidung sentuh sejadah, kelepet jari kaki waktu duduk iftirasy, dan lain-lain) dengan nak dapatkan khusyuk dalam solat, mana satu yang patut diutamakan?"

Segala puji bagi Allah SWT dan selawat serta salam diucapkan buat Rasulullah SAW, kekasih kita di dunia dan di akhirat. Solat kita mengandungi tiga rukun iaitu : Rukun qalbi, Rukun Qauli, dan Rukun Fi'li.

Rukun qalbi ialah niat, Rukun Qauli ialah bacaan solat dan Rukun Fi'li ialah perbuatan solat. Satu lagi elemen terpenting dan tertinggi dalam solat ialah Khusyuk.

Namun, oleh kerana khusyuk jarang disentuh sewaktu kita memepelajari solat, kita menganggap ia tidak penting. Ketahuilah, khusyuk inlah yang menentukan solat kita diterima Allah atau tidak.

Khusyuk umpama 'khasiat' di dalam makanan. Jika makanan cantik dan sedap sekalipun tetapi tidak berkhasiat,ia tidak bagus dimakan. Begitulah halnya khusyuk dalam solat.

Oleh itu, yang mana lebih penting?

Berusaha untuk rukuk dan sujud dengan betul atau berusaha untuk menghadirkan Khusyuk di dalam hati?

Jawapannya..

Semua sama penting, khusyuk tidak boleh bersaing dengan tiga rukun yang kita sebutkan terdahulu. Tetapi khusyuk ialah matlamat yang mesti kita capai dengan melakukan ketiga-tiga rukun tadi.

Para ulamak menghuraikan dengan panjang lebar tentang usaha yang boleh kita lakukan demi mencapai khusyuk dalam solat yang sempurna.

Almarhum syeikh Dr.Wahbah Zuhayli dalam kitab beliau yang berjudul al-Fiqhul Islami wa Adillatuh telah membuat satu tajuk kecil yang khusus tentang cara mendapatkan solat sempurna.

Untuk memperolehnya, almarhum Syeikh Wahbah menyusun perkara yang perlu diberi perhatian seperti berikut:

-Solat yang sempurna itu bermula dengan persediaan yang dilakukan sebelum solat. Ia meliputi menutup aurat dengan sempurna dan memastikan kebersihan tubuh, pakaian dan tempat solat itu dilaksanakan.

Ramai umat islam yang bersungguh-sungguh menjaga segala pergerakan solat tetapi sambil lewa ketika bersuci, bersifat pengotor serta tidak menjaga kebersihan.

-Menyempurnakan wuduk dengan melaksanakan rukunnya dan ditambah dengan sunat wuduk setakat yang mampu dilakukan.

-Melaksanakan semua rukun solat berdasarkan apa yang telah disusun oleh para ulamak. Walaupun para ulamak mempunyai pelbagai pandangan dan kalfiat dalam rukun atau pergerakan solat, tetapi pada akhirnya cara dan kalfiat yang berbeza ini semuanya kembali kepada yang diajarkan Nabi SAW.

-Bersolat dengan tenang dan menjaga tuma'ninah dalam rukun solat. Ulamak berpendapat bahawa tuma'ninah juga komponen penting yang wajib dipelihara untuk memastikan solat kita sah. Ini juga pandangan rasmi sebahagian ulamak mazhab syafi'e.

-Berusaha sepenuh kemampuan untuk melaksanakan perkara sunat ketika solat samaada berbentuk perbuatan ataupun bacaan.

Amat rugi apabila kita hanya mementingkan sunat berbentuk perbuatan sahaja,tetapi mengabaikan amalan sunat yang berbentuk bacaan.

-Menjauhkan diri daripada perkara makruh, terutamanya yang menyebabkan batalnya solat.

Sempurnanya solat itu bukan sekadar dengan melaksanakan rukun dan sunat,kita juga kenalah tinggalkan perkara yang membatalkan solat serta perkara makruh.

Hasil melakukan semua tuntutan ini adalah kejayaan menghadirkan khusyuk ketika bersolat. Khusyuk itulah roh solat yang akan memelihara kita daripada maksiat di luar solat. Tanpa khusyuk, solat kita umpama kain buruk yang tidak berharga.

Sahabat sekalian, apa agaknya nilai solat kita jika khusyuk ini diabaikan, sedangkan ia adalah ciri orang beriman yang berjaya? AllahSWT berfirman, mafhumnya: "Sungguh,telah berjayalah orang beriman (iaitu) mereka yang khusyuk di dalam solat." (al-mukminun: 1-2)

Demikian secara ringkas apa yang dapat saya kongsikan.Utamakanlah perkara yang telah disepakati oleh para ulamak, dalam masa yang sama kita berlapang dada terhadap perkara kecil yang diperselisihkan oleh mereka kerana ia masih lagi dalam ruang lingkup syariat.

Wattpad : fthysn

JUST A TARBIYAHWhere stories live. Discover now