Kisah Budak Pinggiran

237 10 5
                                    


Kg. Karamunting Laut/ Kampung Shell.
Sandakan. Tahun 90-an.

"Yeah, aku dapat ketam besar. Marilah lawan siapa yang berani!" Jerit seorang budak perempuan kecil yang berada di bawah kolong rumah.

Rambutnya kuning dan mengerbang. Mukanya comot akibat bekas hingus yang hanya dikesat dengan belakang tangannya.

Perempuan itu kelihatan sangat teruja walaupun kakinya dipenuhi dengan selut dan kotoran. Namanya Eisah. Seorang budak perempuan yang lebih gemar bergaul dengan budak-budak lelaki, berbanding dengan budak perempuan yang lain. Katanya, dia tidak suka dengan cara bermain budak perempuan yang sangat lembut. Mereka hanya tahu bermain anak patung, lompat getah dan main masak-masak di hujung beranda rumah. Semua itu adalah aktiviti yang langsung tidak mencabar jiwanya.

Semua mata menoleh sekilas ke bawah jambatan, melihat Eisah dengan ketamnya yang agak besar di hujung lidi. Eisah tersenyum lebar apabila ketam yang baru ditangkapnya itu menjadi tumpuan ramai buat sejenak. Namun perhatian yang hanya diberikan beberapa saat itu, tertumpu semula pada pertarungan ketam yang sedang berlangsung di atas jambatan.

Perempuan itu mendengus.

"Kamu semua memang penakut. Semua macam pondan!" Jerit Eisah apabila tiada seorang pun yang ingin menerima pelawaannya untuk bertarung.

Eisah mendengus lalu melepaskan semula ketam yang ditangkapnya itu. Dia cuba mencari ketam yang lebih sesuai untuk dilagakan. Aku tersenyum melihat muncung Eisah yang berubah panjang. Terkial-kial dia naik semula ke atas jambatan.

Ramsa yang berada di tepiku, tergelak kecil. Ramsa adalah salah seorang yang rapat denganku selain Eisah. Dia budak yang bersekolah kerajaan. Satu-satunya budak di bahagian kampung ini yang pergi ke sekolah. Tapi rasanya dia lebih gemar untuk ponteng. Katanya, sekolah itu langsung tidak menggembirakannya. Aku tidak tahu kenapa dia berkata sedemikian.

Kami semua ini adalah budak-budak pinggiran. Tinggal di sebuah kawasan setinggan atas laut yang terlalu padat dengan penduduk. Rumah-rumah yang berada di kawasan ini, hampir semuanya rapat antara satu sama lain sehinggakan pergaduhan suami-isteri sebelah rumah pun kau boleh dengar.

Kampung ini, boleh aku katakan wujud pembahagi halus sempadan kampung yang memisahkan beberapa suku bangsa. Di kawasan kanan, kebanyakannya didominasi oleh suku kaum Bajau. Sebut saja Bajau apa yang kau mahu tahu; di sana, kau akan temui bermacam suku Bajau dan adat-istiadat kehidupan mereka yang dibawa dari kampung. Manakala di sebelah kiri kampung ini pula, penduduk yang akan kau temui adalah orang-orang yang punyai rumah-rumah yang besar, bercakap dalam bahasa Melayu dan dalam kalangan mereka ini adalah orang-orang yang selalu menjadi tumpuan pihak kerajaan yang memerintah jikalau ada pemberian bantuan sewaktu hari pengundian sedang berlangsung. Mereka ini adalah orang-orang tempatan di Sandakan dan kebanyakannya, mereka ini sangat sombong. Budak-budaknya di sana, enggan berkawan dengan budak-budak di kawasan kami dan di kawasan suku Bajau. Mereka kata, kami ini adalah pendatang haram. Bahaya untuk digauli. Pelikkan bunyinya? Tapi tidak mengapa, di kawasan tengah setinggan ini saja pun, budak-budaknya sudah cukup memeriahkan suasana dengan upacara-upacara permainan yang menghiburkan.

Setiap rumah di sini, dibina dengan tiang yang kukuh dan disambungkan dengan jambatan kayu yang bersimpang-siur. Ada sebahagian jambatan yang dibina akan bersambung dengan jambatan yang lain. Pendek kata, orang kampung ini lebih gemar untuk membina jambatan kayu berbanding memperbaiki rumah mereka sendiri yang dah kelihatan macam reban ayam. Tapi apa yang pasti, setinggan ini tidak akan menjadi tapak sejarah atau tapak peringatan orang di masa hadapan kelak melainkan hanya dihapus jejak oleh pihak kerajaan. Sebabnya? Hanya orang yang tinggal di sini saja yang akan tahu kenapa aku memperkatakannya sebegitu.

Sekolah Bernama Kehidupan Where stories live. Discover now