Ajar Aku Ram

158 9 1
                                    


        Cahaya matahari yang terbias di kaki langit, kelihatan merah kejinggaan. Warna cahaya itu melimpahi ke merata langit. Burung-burung mula berterbangan pulang ke sarang. Penduduk kampung kelihatan sedang bertebaran mencari destinasi mutlak.

Ramsa dan Eisah meninggalkan aku yang terkulat-kulat di kawasan tong air. Aku tahu mereka enggan melayan kegilaan yang aku cuba ajukan sebentar tadi. Aku buang lidi pisang bakar yang berada di tangan dan segera menghampiri mereka berdua.

Aku paut bahu Ramsa. Dia menarik nafas panjang.

"Kalau iya pun ndak mahu intip rumah Pak Cik Majid, janganlah kasi tinggal aku sendiri bha..."

Eisah hanya diam tidak berkutik. Mereka berdua terus senyap tanpa bicara.

"Kadang-kadang kau bukan boleh dilayan sangat Liu. Bikin sakit hati seja!" tutur Ramsa.

"Alah aku bergurau seja bha tadi tu. Jadi, kita mahu pergi mana sekarang ni?" tanyaku berbasa-basi. Padahal aku sudah tahu destinasi yang bakal mereka tujui.

Kedengaran lagi hembusan nafas berat melingkari bibir mereka berdua.

"Hurmm, jom kita pergi hujung kampung. Tengok matahari terbenam." Ajakku.

"Mahu Maghrib sudah ni Liu. Aku mahu balik." Balas Ramsa.

"Haah, aku pun sama. Aku mahu mandi. Mamaku dari tadi asyik limpas-limpas seja di kawasan tong air. Matanya ndak pandai berhenti menjeling sama aku," tutur Eisah.

Aku mengeluh lemah. Ternyata waktu untuk kami bergembira pada hari ini telah pun tamat.

"Ram, malam ni kau belajarkah?"

Matanya memicing tajam ke arahku.

"Aku mesti belajar. Kalau ndak, cikgu di sekolah tu macam tahi kucing seja. Asyik-asyik mahu marah, mahu mencubit dan tarik telinga murid-murid sekolah. Jadi janganlah kau tanya soalan mantap begitu Liu. Malas aku mahu menjawab."

Aku tersengih-sengih mendengar jawapannya. Eisah sudah masuk ke laluan untuk ke rumahnya. Meninggalkan aku berduaan dengan Ramsa.

"Bolehkah kalau malam ni aku datang pergi rumahmu?"

"Buat?" tanyanya.

"Belajar. Macam tempohari."

Dia tergelak kecil.

"Aku fikir kau sudah putus-asa Liu. Kau kan selalu hangat-hangat tahi manuk!"

Budak Ramsa ni kadang-kala apa yang dia cuba tuturkan agak menyakitkan hati. Ayat makan dalam.

"Ok, jumpa malam nanti."

Aku terus lari meninggalkan lelaki itu berseorangan. Aku tahu kalau aku tetap di situ, pasti banyak lagi yang dia akan cuba tuturkan. Mulut si Ramsa ni, bukan boleh percaya sangat.

***

Malam itu, aku datang ke rumah Ramsa selepas habis makan malam bersama mak. Bapa, kakak dan abang sudah pergi ke kerja sedari pukul 5 setengah petang lagi. Mereka bertiga kerja shift malam di kilang kayu yang terletak di kawasan Sinora, Batu Sapi.

Aku duduk di sebelah Ramsa yang sedang berkerut dahi melihat buku yang berada di atas meja makan. Mak cik Sainah yang berada di ruang tamu, sedang tekun menonton cerita Hindustan yang terpampang di kaca televisyen.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 19, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Sekolah Bernama Kehidupan Where stories live. Discover now