Bab 3

6.7K 101 0
                                    

LEPAS solat subuh, aku sambung tidur. Penat semalam masih berbaki. Waktu ini aku teringatkan keadaan rumah mak long. Pasti sudah mula sibuk dan pasti saja kelam-kabut. Tapi tanpa aku dan Hairiz pun majlis akan berlangsung dengan gah. Dan tentu saja berbakul sumpah seranah daripada mak-mak saudaraku atas kejadian malam tadi. Biarlah, malas nak ingat lagi. Baik aku sambung tidur.

Tersedar bila telefon berbunyi. Siapa pula ni, takkan mak long nak maki hamun aku pagi-pagi buta? Dia kan tak menang tangan. Perlahan aku pandang skrin telefon bimbit. Oh, Hairiz rupanya. Dia dah nak bertolak balik ke Kuala Lumpur ke? Awalnya.

"Awak, jom kita naik Cameron nak?"

Eh, merepek pula Hairiz ni. Telefon aku pagi-pagi ni semata-mata nak ajak aku pergi Cameron Highlands? Sedar ke tengah mengigau?

"Tiba-tiba aje ajak naik Cameron Highlands, awak tengah mimpi ke?" soalku.

"Sayang, serius ni. Jomlah..."

Aduhai, tak sudah lagi dengan sayang dia.

"Hesy, tak nak la..." Aku tolak pelawanya. Ada apa di Cameron Highlands tu. Sudahlah hari ini hari Ahad. Sah-sah sesak dengan orang yang bercuti di sana. Buat serabut kepala saja.

"Jom la..." Hairiz merayu.

"Saya kan tak suka kesesakan..." Giliran aku pula merayu.

"Jom la..." Hairiz merayu lagi. Manjanya suara. Serupa bukan suara sepupu yang aku kenal saja.

"Awak tak reti penat ke? Malam tadi sudahlah tidur pukul berapa. Nak naik Cameron Highlands lagi. Awak ingat senang ke nak pergi sana? Dah sah-sah hari ni ramai orang. Tak naklah. Pergi lain kalilah..." Berusaha pujuk dia walaupun aku tahu pasti saja usaha aku tidak akan berhasil. Hairiz punya perangai, kalau dia nak dia akan usaha sampai dapat. Dia tidak peduli sesiapa pun.

"Tak penat langsung. Asal awak ada, saya takkan rasa penat. Jomlah..."

"Tak payahlah. Kita balik KL teruslah. Esok awak dah nak kerja." Aku pula merayu pada dia. Anak nombor tiga dan anak lelaki kedua mak lang ni sebenarnya degil sikit. Kalau dia nak, mana boleh orang lain kata tidak. Mak lang sendiri pun kalah. Bukannya aku tak tahu. Ini mungkin disebabkan dia antara anak mak lang yang paling pandai dan juga bergaji lumayan. Kakak Hairiz, Kak Yati hanya seorang suri rumah tangga dan abang Hairiz pula hanya seorang penyelia di salah sebuah kilang elektronik. Hairiz saja nampak sedikit mewah.

"Saya teringin nak makan aiskrim strawberry. Dah lama saya tak makan. Terakhir hari tu empat tahun lepas."

Kesian pula dengar dia merayu begitu. Buatnya kalau dia kempunan macam mana? Aduhai, Hairiz. Jangan kata mak lang, aku pun memang terpaksa mengaku kalah dengan lelaki seorang ini. Pandai betul dia merayu.

"Awak, janganlah merayu macam ni. Buat saya serba salah saja." Tak tahu nak cakap apa lagi. Pandai betul Hairiz menguasai perasaanku.

"Kalau macam tu awak ikut saja cakap saya. Habis cerita."

"Okey, boleh. Tapi dengan syarat. Masa pergi, saya pandu kereta, balik awak pandu." Aku letak syarat. Mana tahu mampu mengubah keputusan Hairiz.

"Eh, tak naklah macam tu. Awak kan penat."

"Kalau tak setuju syarat saya, kita tak payah pergi." Aku berkeras. Dengan Hairiz kena main ugut-ugut. Baru dia setuju. Mana boleh mengalah macam tu saja.

"Okey, okey. Kita sarapan dulu. Jumpa kat lobi pukul tujuh setengah. Lepas tu kita check out." Hairiz keluarkan arahan. Mesti ada perkara yang sedang dia rancangkan. Kalau tidak, takkanlah bersungguh ajak aku ke Cameron Highlands. Mana ada lelaki yang suka-suka nak pergi tempat begitu. Setakat nak makan aiskrim strawberry, KL pun banyak.

Saya Kan AdaWhere stories live. Discover now