Bab 5

5.1K 108 11
                                    

"SAYANG, rindulah!" kata Hairiz sebaik sahaja aku masuk ke dalam keretanya.

Hairiz mula buat perangai. Sejak dia termula panggil aku sayang, semakin galak dia panggil aku sayang lagi. Tak kesahlah. Selagi panggilan itu tak membawa apa-apa makna, suka hatilah nak sebut apa.

"Ini yang gila nak ajak saya tengok wayang?" soalku. Dua hari lepas dia ajak aku menonton wayang. Aku setujukan saja kerana hari Ahad memang waktu untuk aku bercuti.

"Awak bukan ke peminat setia Shah Rukh Khan?" Hairiz ketawa perlahan. Tahulah tu jenis ketawa nak mengenakan saja.

Aku pandang muka dia yang nampak sangat segak ketika dia mula memandu. Seingat aku kali terakhir aku tengok cerita Hindustan, Hairiz berdengkur dari mula sampai habis. Tak naklah tengok lagi. Buat malu. Lagipun aku dah janji nak tengok dengan Ekin. Tengok dengan Ekin lagi seronok sebab kami memang suka menonton filem Hindustan.

"Tak ada mood la nak tengok wayang. Kita makan-makan ajelah," cadangku. Perut pun semacam saja ni.

"Lagi okey. Memang nak ajak awak keluar makan pun. Tu pasal saya tak makan apa-apa dari pagi tadi."

Aku dah tahu, tu cara Hairiz nak mengelak dari tengok cerita Hindustan. Tadi tu sekadar ajak-ajak ayam saja.

"Kita nak makan kat mana?" soalku.

"Sayang, makan kat mulut." Hairiz ketawa.

"Ngeee..." Aku cubit lengan dia. Buat lawak pula dia.

"Dah tu tanya makan kat mana..."

Aku malas nak layan. Nanti lagi macam-macam. Tengok gaya memang hari ni hari mengenakan akulah nampaknya. Kalau itu mampu membahagiakan dia, aku rela kena sakat sampai petang. Siapa aje pun yang hendak menyakat aku kalau bukan Hairiz.

Hairiz bawa aku di restoran kegemaran kami berdua. Restoran De'Chiang Mai yang terletak di Sungai Buloh. Antara faktor utama kami suka makan di sini ialah tempatnya sangat tenang. Makanan pula memang kena dengan selera kami. Paling sedap ialah tomyam dan juga kerabu mangga. Kerabu mangga memang paling Hairiz suka. Untuk hidangan medium sahaja dia boleh habiskan. Selain itu ayam pandan juga menjadi identiti De'Chiang Mai tapi aku kurang sikit ayam pandan. Hanya Hairiz yang selalu pesan.

Disebabkan tengah hari, dan aku pula tak makan apa-apa sejak pagi tadi, memang aku makan bersungguh-sungguhlah. Nampak sangat kelaparannya. Tanpa aku sedar, Hairiz sedang pandang aku rupanya.

"Makan, jangan nak pandang orang. Tahulah nak cakap saya nampak kebulur sangat." Aku tegur Hairiz.

"Comellah..." balas Hairiz sepatah.

"Sengetnya. Tengok sepupu kebulur pun comel?" soalku. Selepas itu aku hirup tomyam. Pergh, memang sedap gila. Pekat dan pedas. Memang lain dari kedai makan biasa.

"Serius ni. Awak memang comel."

"Yalah, yalah. Saya tahu saya comel, tak payah cakap pun saya tahu. Comel saya pun, tak boleh kenyangkan perut awak melainkan awak makan nasi juga."

"Huh! Puji pun tak boleh."

Aku sambung makan. Petua untuk orang belanja kita lagi ialah, makan dengan bersungguh dan habiskan semua makanan. Baru orang seronok nak belanja kita makan. Rasa tak sia-sia duit yang dikeluarkan.

"Oh, awak nak cakap saya dah gemuk, kan?" Baru aku sedar. Hairiz memang nak cakap sekarang ini aku dah gemuk. Jadi, dia perli dengan perkataan comel.

"Hesy, mana ada..."

"Tak payah nak sorok. Itu yang awak nak cakap."

"Sayang, tak adalah. Awak kurus ke, awak gemuk ke, tak ada hal buat saya. Saya tetap akan sayang awak juga."

Saya Kan AdaWhere stories live. Discover now