Nyamannya Engelberg

87 1 0
                                    

Suasana di stesyen keretapi Engelberg agak sunyi. Musim cuti warga Eropah masih belum bermula. Engelberg terkenal seantero Eropah sebagai pekan pelancongan yang santai,indah dan nyaman. Kebanyakan pelancong akan datang pada musim sejuk. Waktu itu kawasan ini akan dipenuhi peminat sukan musim sejuk. Melihat penumpang bas membawa papan luncur dan ski bukanlah perkara yang asing disini.

Bas disini percuma. Aku dan Yuyu menempah penginapan melalui AirBnb. 15 min di atas bas, kami tiba di kawasan pekan. Whatsapp dihantar kepada host kami. Dia menunggu kami di hentian bas.

Kami menegur seorang wanita berambut perang di hentian bas. Dia seperti mencari sesuatu.

"Excuse me. Are you Anna?"

"Ain? Yes yes. I am your host. Anna."

Anna seorang wanita yang kelihatan seperti sudah berusia lewat 40an. Wajahnya sering mengukirkan senyuman ketika berbicara. Sangat ramah. Dia menawarkan lotengnya sebagai tempat penginapan untuk mereka yang berpoket nipis. Seperti yang diiklankan di Airbnb, bilik Anna disewa dengan kadar 40Eu untuk satu malam. Separuh daripada harga pasaran hotel disini. Kami mengambil masa dalam 5 minit untuk berjalan ke rumah Anna.

Setibanya kami di rumahnya, kami disambut oleh seorang lelaki mat saleh yang kami anggarkan sebaya dengan Anna. Dia menghulurkan tangannya untuk membantu kami mengangkat beg ke tempat istirehat kami.

"Do you want anything to eat dear?" Tanya Anna.

Tanpa berfikir panjang kami menjawab ya. Hidangan lengkap terakhir kami adalah sarapan di Venice. Onion ring dan kentang goreng hanyalah snek! Bukanlah makanan lengkap.

"I will make some pasta for you. No worries it is on me. Stefan is preparing dinner."

Dia seperti tahu apa yang ada difikiran ku.Aku dan Yuyu menerangkan tentang special request untuk makanan kami. Anna yang sudah membaca permintaan kami dari tempahan Airbnb mengangguk faham. Jangan risau katanya. Pasta yang dia sediakan vegetarian dan salad yang diletakkan salmon salai sebagai hidangan sampingan.

Beg terus dicampak di atas.Walaupun hanya loteng, bilik yang tersedia bersih, lapang dan lengkap. Satu katil single di belah kiri dan satu lagi disebelah kanan. Dua buah almari kecil disetiap kaki katil dan sinki berserta cermin di sebelah kanan. Ada sebuah tingkap yang menghadap pintu masuk. Walaupun dalam pekat malam, pantulan salji di Gunung Titlis dapat dilihat. Bayangan rupa bentuknya juga jelas. Kamar mandi tersedia di bawah.

Makan malam yang ringkas dan enak yang dilengkapi teh dan coklat gelap. Coklat adalah salah satu produk kebangaan rakyat Swiss. Anna bekerja di ski resort Gunung Titlis di dalam bahagian admin. Manakala suaminya yang sudah 50an menguruskan rumahtangga. Makanan yang tersedia adalah daripada air tangan Stefan. Anak-anak mereka sudah mempunyai keluarga sendiri. Hanya khabar dikirimkan sekali setiap bulan. Kalau beruntung 2 kali setiap bulan. Menjenguk orang tua bukanlah suatu kebiasaan atau kewajipan. Kalau datang dikira bagus, kalau tidak pula tidak mengapa.

Menjadi budaya orang Swiss untuk fokus kepada keluarga sendiri. Ibu bapa sudah dianggap sebagai extended family jika sudah berkahwin dan mempunyai anak sendiri. Kalau di Malaysia, sudah boleh dicop sebagai anak tidak mengenang budi. Tetapi tidak disini. Mereka mengajar anak mereka untuk berdikari apabila sudah sampai usia tertentu. Terlalu berdikari pada pendapat aku.

Aku pernah terbaca di internet. Norway dan Switzerland adalah negara yang kaya. Namun begitu, kesenangan hidup rakyat mereka mendatangkan masalah mental. Terutama sekali kepada orang tua yang hidup sendirian. Kes bunuh adalah sesuatu yang memang jarang didengar. Tetapi kes bunuh diri dikalangan warga emas bukanlah perkara asing. Ini adalah bukti yang wang itu tidak dapat memberikan segalanya.

Mungkin Stefan dan Anna menjadi host Airbnb untuk mengisi masa dan ruang kosong di dalam hidup mereka. Rumah yang dulunya bergema dengan hilai tawa anak-anak menjadi sunyi sepi.

Anna menceritakan serba sedikit tentang Switzerland. Negara ini tidak lagi berada di dalam Europe Union. Switzerland terbahagi kepada 3 kawasan. Yang bersempadan dengan Jerman, yang bersempadan dengan Itali dan yang bersempadan dengan Perancis. Dalam setiap kawasan mempunyai bahasa perantaraan yang berbeza. Bergantung kepada negara sempadan. Loghatnya akan sedikit berbeza daripada bahasa asli. Sebahagian besar orang Swiss menggunakan bahasa Jerman sebagai bahasa pertama. Mereka pandai berbahasa Inggeris. Mata wang di sini adalah Swiss Franc. Nilainya adalah dalam anggaran RM3 untuk 1 Swiss Franc. Manakala 1 Euro nilainya adalah dalam RM4.2. Euro cuma diterima di kawasan sempadan. Tidak di Engelberg. Sebarang urusniaga haruslah dalam Swiss Franc. Aku dan Yuyu masing-masing berbekalkan 100 Swiss Franc untuk perbelanjaan kami. Pertukaran matawang dibuat di automatic money changer di stesyen keretapi Luzern. Mekanismanya sama seperti automatic cash deposit machine di bank. Wang disuapkan ke dalam mesin dan matawang yang dikehendaki akan dikeluarkan di bawah.

Usai makan, kami membantu Anna dan Stefan mengemas dapur. Walaupun disuruh Anna untuk berehat berkali-kali, kami degil. Kami mahu membantu kerana Anna dan Stefan telah menyediakan makan malam tanpa meminta apapun balasan.

******

Aku dan Yuyu berbaring selepas membersihkan diri. Angin yang kuat menghasilkan bunyi siulan yang mengerikan. Yuyu bingkas bangun untuk merapatkan langsir. Supaya tidak terbayang cerita-cerita seram.

Kami ingin ke Gunung Titlis esok. Untuk mengembalikan tenaga yang sudah semakin kurang, kami membuat keutusan untuk tidur awal.

"Ain mai sini tengok!"

Aku meyelak selimut ketepi dan berjengket ke tingkap. Aku lihat serpihan berwarna putih berguguran. Indah sekali. Kami menguak tingkap cermin dan menghulurkan tangan ke luar. Terasa dingin apabila serpihan kecil itu bersentuhan dengan tangan kami.

Suasana itu seperti magis.Berlatarkan Gunung Titlis. Ini menandakan musim sejuk sudah semakin hampir. Kalau kami beruntung, pekan ini mungkin akan diselimuti salji esok hari. Pasti indah. Dan akan memberikan kami pengalaman yang berbeza dibandingkan dengan Rome.

Usai menikmati salji yang turun, aku dan Yuyu menutup semula daun tingkap. Kami kembali ke tempat tidur. Berehat sebelum hari esok tiba.

Oh. Apakah yang bakal kami hadapi esok? Yang pasti kenyamanan Engelberg akan kami nikmati tanpa mensia-siakan satu saat pun.





Destinasi Si JalangWo Geschichten leben. Entdecke jetzt