Tiada Tuhan Melainkan Allah.

40 0 0
                                    

Muhammad Sallallahu 'alayhi wasallam pernah menyeru di celahan pasar 'Ukaz seraya menyatakan:

"Wahai Manusia, katakanlah La Ilaha Illallah, nescaya kalian berjaya!"

Namun mereka semua itu termasuk dalam golongan yang mana,

"Mereka itu apabila dikatakan kepada mereka La Ilaha Illallah, lantas mereka meninggi diri [berpaling dan tidak mahu menerimanya]."

Para Nabi tidak dibangkitkan hanya untuk mengatakan bahawa "Tuhan kalian Allah", "kalian harus mengenal Allah", "kalian harus mencintai Allah" sahaja. Kenal dan cinta memang suatu rukun, sekadar itu namun ia bukan syarat sah. Sekiranya kenal Allah sahaja sudah melayakkan dan menandakan seseorang itu sudah Muslim, nescaya tidaklah Muhammad Sallallahu 'alayhi wasallam mendakwahi Abu Talib, Abu Jahal, Abu Lahab yang beragama Abdul Muttalib [agama paganisme: menyembah berhala], yang mana Abdul Muttalib yang sama menamakan anak bongsunya yang jua bapa kepada cucunya iaitu Abdullah (Hamba kepada Allah).

Kalau perasaan cinta sahaja sudah menandakan seseorang itu Muslim, nescaya cintanya kaum Nasrani dan tindakan mereka terhadap Isa anak Maryam itu wajar dipuji. Nescaya tindakan kaum Musyrikin yang "berasa malu" kepada Tuhan yang di atas atas dosa mereka yang banyak; lantas membuatkan mereka menggunakan perantaraan patung patung untuk memohon ampun, melaksanakan hajat, memohon tuah dan perlindungan. Kerana cinta pasti menatijahkan pengagungan, dan pengagungan menatijahkan sifat malu. "Namun adakah itu cinta yang sebenar?"

Malangnya, Nuh yang dipinggirkan kaumnya hinggalah Muhammad yang diperangi kabilahnya sendiri, tidaklah membawa mesej ala kadar itu. Kerana kaumnya sendiri sudah menyatakan seperti itu!

"Sekiranya kalian tanyakan kepada mereka, siapa yang menciptakan langit dan bumi; mereka akan menjawab; Allah [yang menciptakan langit dan bumi.."

Sekiranya hanya itu, maka dakwah mereka akan dipandang baik. 

Adakah hanya itu? Adakah hanya sebab laungan itu Nuh dipinggir dan diperolok? Tentu sekali tidak!

Mereka ditentang kerana membawa idea rebellious, menentang arus, berhaluan kiri bak kata sarjana. Menentang kebiasaan yang beragamakan pagan, memuja patung patung, mendewakan batu, kayu dan pohonan, mempercayai animisme pada bahan bahan tertentu, sekalipun masyarakat kebiasaan marhaen pada waktu itu mengenal Allah dan tahu bahawa Dialah yang menciptakan langit dan bumi.

Tujuan para Nabi diutuskan bukanlah menegakkan Tauhid Rububiyyah semata mata. Abdul Muttalib dalam kisah yang masyhur ketikamana Abrahah ingin merobohkan Ka'bah di Makkah, Abrahah telah merampas sejumlah besar unta unta beliau, lantas Abdul Muttalib pergi menuntut unta beliau kepada Abrahah tanpa membangkitkan isu Abrahah hendak merobohkan Ka'bah. Abrahah hairan lantas berkata:

"Aku hendak merobohkan Rumah Tuhan kalian, mengapa unta unta ini yang kau risaukan?"

Abdul Muttalib lantas menjawab: Unta unta ini milikku, aku yang menjaganya. Ka'bah itu milik Tuhan, Tuhan pasti menjaganya.

Abdul Muttalib yang sama berpegang teguh atas ajaran yang diserap Amru bin Luhay, individu yang bertanggungjawab merosakkan agama Ibrahim yang lurus; dengan membawa patung patung berhala daripada Syam untuk diletakkan di Ka'bah dan menganggap itu perantaraan untuk "menghubungi" Allah, Tuhan yang Agung. 

Namun, mereka kenal Allah. Demikianlah yang disebut para ulama' aqidah, bahawa kaum Musyrikin zaman Rasulullah bukannya tidak mengenal Allah, namun mereka menyangka bahawa mereka menyembah Allah bersama patung patung tersebut untuk lebih dekat kepada Allah. Ini yang disebut sebagai Syirik. Sekalipun mereka kenal Allah.

Mereka beriman kepada Rububiyyah, namun mengingkari dakwah para Rasul yang menfokuskan berkenaan Uluhiyyah Allah ta'ala.

Para Anbiya' menyebut RububiyyahNya sebagai pembuktian atas perkara yang masyarakat sudah ketahui, untuk mengajak mereka kembali kepada suatu skop Tauhid yang kerananya Allah membangkitkan sekalian Rasul, iaitu Uluhiyyah. Tauhid Peng-Ibadahan. Mengembalikan segala jenis dan bentuk penyerahan diri, pengabdian, ritual baik rohani dan emosi, kembali kepada Allah sahaja, bertujuan kerana Allah, dengan cara yang ditetapkan Allah, dan mengingkari segala jenis sesuatu yang selain Allah; untuk diberikan semua perkara tersebut!

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Nov 06, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Jalan Ini Sumpah Panjang.Where stories live. Discover now