BAB 1

47.4K 412 10
                                    

PROLOG


Air mata jatuh menjamah pipi. Ngilunya terasa hingga ke lubuk hati. Sepanjang hayatnya, tak pernah dia rasa selemah ini. Nikmat sabar bagai direntap pergi.

"Kalaulah saya tahu semua ni dari awal lagi, saya tak akan sesekali bersetuju untuk berkahwin dengan awak." Lengannya memeluk tubuh sendiri yang menggigil. Berat sungguh dugaan Allah kali ini.

"Tak baik mempertikaikan takdir, Pia."

"Hakikatnya, perkahwinan ini adalah satu kesilapan. Saya tak sepatutnya berkahwin dengan awak!" tutur Afia lagi. Kali ini lebih keras.

"Apa yang awak cakap ni?"

"Go... Jangan dekat dengan saya," larang Afia apabila suaminya cuba mendekatinya.

"Afia Awliya..." Lembut namanya diseru oleh si suami.

"Afia Awliya bermaksud tenaga kekuatan kekasih. Awak terlalu kuat untuk mengalah, sayang." Si dia masih tenang memujuk.

"Tapi tidak untuk kali ini..." Wajah suaminya dipandang. Kabur dek air mata yang membanjiri kelopak mata.

"Afia..."

"Pergilah. Saya tak nampak arah untuk jodoh kita terus bersama."

"Perpisahan bukan penyelesaian untuk semua masalah." Dia masih tenang mengemudi perbualan. Wajah pucat isterinya direnung.

"Mungkin apa yang berlaku ini adalah tanda bahawa saya tak cukup sayangkan awak sepertimana saya sayangkan dia..." Afia memprovokasi. Dikerling suaminya dari hujung matanya. Tidak terkesankah lelaki itu dengan pengakuan secara tiba-tiba ini?

Raut wajah suaminya sedikit berubah.

"Tolong pergi..." Air mata, berhentilah dari terus menakluki pipi.

"Pia, cinta saya pada Allah adalah kerana saya ini ciptaan-Nya. Cinta saya terhadap awak adalah kerana perasaan yang diciptakan-Nya. Apa pun yang berlaku, tak pernah sekali pun saya menyesal memperisteri awak. Demi Allah. Ruang penyesalan tak pernah wujud dalam kanvas hati saya."

Perlahan-lahan nafas ditarik. Memandang raut wajah isteri yang pucat, lesu dan langsung tidak bermaya. Namun, kasih sayangnya tidak berkurang sedikit pun.

Bukan cinta kalau tak bersiramkan air mata.

Bukan kasih jika tak bersulamkan parut luka.

Bukan rindu andai tak berbiratkan pedih duka.

Bukan ikhlas andai belum mampu melepaskan.

"Saya pernah berjanji untuk memberi tiap apa yang awak mahu. Tapi perpisahan ini..." Jeda seketika. Mata dipejam rapat. Kuatkah dia untuk melepaskan Afia?

Adakah benar hanya setakat ini sahaja jodoh mereka?


BAB 1

Telefon yang berdering tanpa henti itu memaksa Afia mendapatkan beg tangan yang diletakkan di bawah tempat duduknya. Lupa nak keluarkan tadi.

"Pia!" jerit Nur di corong telefon.

"Kau apa hal terjerit terlolong ni?" Hesy, tak berkenan betul kalau Nur buat perangai tak siap dia tu. Sebab bila Nur begitu, dia pun akan dua kali lima tak siap melayankan Si Nur.

"Server problem la. Web tak boleh nak masuk... Tension aku! Dahlah tengah rajin nak upload design baru," bebel Nur geram.

"Telefon aku buat apa? Telefonlah orang IT. Suruh dia datang tengok."

TIADA ARAH JODOH KITAWhere stories live. Discover now