BAB 9

6.8K 113 3
                                    

16 Oktober

Hampir setiap malam mereka berborak di Facebook Messenger. Bagaikan kenalan yang sudah lama mengenali antara satu sama lain.

Masing-masing sibuk dengan kerja. Apabila pulang ke rumah, mereka akan berborak sehinggalah sama-sama tertidur. Perniagaan James semakin dikenali dan syarikatnya juga sudah mengambil seorang pekerja sukarelawan dari JobStreet. Manakala Irina pula sibuk dengan jurnal saintifik yang perlu dihantar pada awal bulan November.

Dia merancang untuk siapkan seminggu sebelum tarikh akhir supaya dia dapat menyemak artikel tersebut sekali lagi. Sudah dua hari Irina tidak ke pejabat dan bekerja dari rumah sahaja. Cuaca yang semakin sejuk membuatkan dia kurang sihat.

Namun, dalam keadaan batuk dan demam macam tu, dia masih lagi tekun menelaah. Biliknya tidak luas, cukup memuatkan satu katil bujang, almari dan dua meja kerja. Dalam keadaan sejuk begitu dia bersyukur dapat bilik sempit, tak adalah sejuk sangat bila tiba musim dingin.

Kalau di Malaysia, bolehlah bermanja dengan mak waktu-waktu sakit macam ni. Tadi pun dia ada menelefon keluarganya. Sempatlah berbual dengan umi, ayah dan adik-adiknya.

Suka pula dia apabila mengetahui yang perniagaan keluarganya semakin laku. Ubat jamu yang umi keluarkan semakin mendapat hati dalam kalangan pengguna.

Balik nanti dia memang merancang untuk dapatkan bekalan jamu uminya. Terutamanya jamu anak dara untuk kesihatan badan secara keseluruhan.

Orang kita sibuk dengan pil-pil dari luar negara, tetapi di luar negara, mereka pula yang sibuk tergilakan-gilakan herba dari hutan tropika.

Air kelapa di sini dijual dengan harga GBP2.50 satu botol. Pil menguruskan badan di sini rata-rata kandungannya menggunakan asam gelugor.

Kunyit pula dibuat pil untuk membuang toksik badan. Minyak kelapa dara pula tak usah dicakaplah, dah jadi macam bahan wajib untuk perempuan-perempuan dan lelaki-lelaki yang menjadi ikon 'kehidupan sihat' di Eropah, Australia dan Amerika Syarikat tapi orang kita tetap banggakan barangan luar negara. Kita jarang menghargai apa yang kita ada tetapi lebih senang mengagungkan benda yang kita tiada.

Penat bekerja, Irina mula menutup laptopnya. Dia menggeliat sambil mengurut lehernya perlahan. Apabila dia mula berbaring hendak tidur, pelbagai persoalan kehidupan mula menerjah mindanya. Walaupun matanya sudah ditutup, mindanya masih lagi bekerja keras. Dia mengiring ke kiri tak kena, ke kanan pun tak kena. Dia perhatikan siling biliknya. Kemudiannya, dia memerhatikan langit gelap di luar jendela.

Bintang-bintang yang berkelipan dari jauh... Buat dia berfikir lagi... Tentang Tuhan. Tentang manusia dan alam... Tentang kehidupan... Manusia dilahirkan ke dunia. Mengikut norma kehidupan. Menurut apa yang manusia majoritinya lakukan. Lahir, ke sekolah, bekerja, kahwin, beranak, dapat cucu kemudian tua dan meninggal. Itulah putaran kehidupan.

Seratus tahun lalu, perempuan tugasnya di dapur dan lelaki mencari nafkah. Seusia 12 tahun sudahpun berkahwin kemudian beranak, mendapat cucu, dan tua dan sakit sebelum ajal.

Sejak empat puluh tahun lalu, apabila penjajah mula datang, dogma itu berubah. Persekolahan diperkenalkan, undang-undang diperketatkan. Perempuan dan lelaki sama-sama ke sekolah. Sama-sama bekerja. Usia golongan muda yang berkahwin menginjak dari belasan ke awal dua puluhan.

Dan zaman berubah lagi, kini lelaki dan perempuan sama. Usia perkahwinan rata-rata sudah menginjak ke 25 hingga 35 tahun untuk lelaki dan perempuan. Malah rata-rata perempuan selesa membujang dan lelaki juga sama. Cuma, tekanan masyarakat kepada lelaki mengenai perkahwinan tidak sekuat tekanan yang mereka berikan kepada golongan perempuan.

SUAMIKU SI MATA BIRUTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang