Kiamat Zack Naga

149 7 1
                                    

"Bukan akulah! Aku cakap bukan... Bukanlah!" Berang sungguh wajah Zack Naga sehingga timbul urat-urat geram di kepala.

Penduduk kampung yang mengelilingi hanya memerhati di dalam radius zon selamat. Jarak yang cukup jauh daripada menjadi mangsa amukan Zack Naga. Namun cukup dekat untuk membaca jenama selipar Asadi yang dipakai olehnya.

Hanya Jamal yang berani bertentang mata dengan lelaki berwajah bengis itu. Sekali lagi Jamal cuba memujuk. "Mengaku sahajalah Zack. Selesai masalah...."

"Jangan sampai aku tumbuk muka kau! Itu bukan aku punya!"

"Zack, kami nampak benda ini jatuh dari poket seluar kau. Cuba tanya orang-orang kampung ini."

"Jahanam! Ini semua fitnah!"

Objek di tangan Jamal menjadi perhatian semua termasuk Zack Naga. Untuk pertama kali, dia langsung tidak dapat melepaskan diri lagi.

Man Tiger...

Ya, ini pasti kerja dia! Bukan kali pertama lelaki itu cuba menganiaya. Tuduhan seludup wang palsu, menculik budak, merompak bank... Kesemuanya berjaya lelaki itu tudingkan pada dirinya. Imej diri sebagai Zack Naga si penjaga Kampung Keranda terus bertukar hitam sehitam-hitamnya!

Namun, kali ini tuduhan yang diterima lebih keji... Man Tiger berani meletakkan objek ini di dalam koceknya supaya dapat dipertontonkan pada semua. Ini sudah terlalu melampaui batas!

"Zack, kami semua tak..."

"Jangan, Jamal... Jangan kau cakap benda itu aku punya! Jangan..."

Si Jamal hanya mengeluh lemah. Objek itu kemudian diletakkan semula di atas tanah, betul-betul di tempat ia jatuh dari poket Zack Naga tadi.

"Baiklah Zack... Aku letak semula di sini. Jika ia hilang, bukan salah aku lagi. Aku sudah cuba untuk pulangkan tetapi kau..."

Zack Naga mendengus kasar. Jamal pula terus terputus kata. Dia memandang ke arah penduduk kampung yang sedari tadi menjadi penonton setia.

"Semua di sini menjadi saksi ya. Saya sudah letak semula di sini. Jadi jangan ada sesiapa yang ambil! Dompet Hello Kitty ini Zack Naga yang punya!"

"BUKAN AKULAH!"

-end-

Cerita Satu ChapterWhere stories live. Discover now