Habis Madu Sepah Dibuang

173 0 0
                                    



'Habis Madu Sepah Dibuang', sebuah peribahasa yang paling sesuai menggambarkan watak utama dalam cerpen SN Usman Awang, Matinya Seorang Perempuan. Cerpen ini mengangkat watak seorang janda bernama Minah yang ditindas oleh lelaki yang mempergunakannya. Tambah menariknya, naratif cerpen ini diceritakan melalui kaca mata seorang anak lelaki kepada penindas Minah. Nama anak kecil itu ialah Majid.

Cerpen ini termuat dalam Antologi 'Ini Saya Punya Kerja' yang menghimpunkan cerpen-cerpen Usman Awang sepanjang kariernya sebagai penulis. Dalam kata pengatar antologi ini, cerpen ini disifatkan sebagai sebuah kritikan sosial terhadap ketidakadilan, kerakusan dan kekejaman hidup golongan berharta dan berpengaruh yang mengeksploitasikan status dan kekuasaannya untuk kepentingan diri serta menafikan hak insan lain sama sekali.

Sebelum cerpen ini bermula, ada sebaris ayat pendahuluan yang menerangkan cerpen ini secara keseluruhannya iaitu 'Engkau kubenci- tetapi aku bersimpati'. Minah digambarkan sebagai seorang janda yang tidak segan silu berkata-kata kesat dan lucah. Sikapnya ini jelas menunjukkan penentangannya terhadap pandangan serong masyarakat kepadanya, walhal, dia insan yang teraniaya.

Selain itu, cerpen ini juga tidak kurang dengan beberapa mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat secara jelas dan juga secara tersirat.

Mendidik Anak Lelaki Menghormati Orang Perempuan

Dek kerana kekasaran yang ditonjolkan oleh Minah, dia ditakuti oleh Majid yang selalu memerhatikannya. Majid mengadu pada emaknya perihal Minah yang tidak ditakutinya. Walaupun Minah sering dipandang negatif oleh orang sekeliling, namun, ibu Majid tetap mendidiknya supaya menghormati semua orang, walaupun orang seperti Minah.

"Dia bukan hantu, Jid. Bukan, dia macam mak juga. Dia perempuan macam mak juga. Mengapa kau takut padanya?"

"Kalau dia macam mak, mengapa dia begitu?"

"Bukan, Jid. Bukan kerana dia janda maka mesti begitu."

"Habis mengapa, mak?"

"Kau tidak boleh tahu, kau masih anak-anak. Pergilah bermain-main"

Babak ini jelas turut menegur sikap masyarakat yang memberi satu pandangan secara generalisasi terhadap golongan bergelar janda. Entah mengapa, dalam masyarakat kita, menjadi seorang janda itu seakan-akan satu dosa besar kerana sering dikaitkan dengan 'perangai merampas suami orang'.

Di babak yang lain pula, Majid tetap bersimpati dengan nasib Minah yang sudah gila. Dia memandang Minah sebagai perempuan yang juga seperti ibunya. Katanya;

"Perasaan takut saya telah berubah, sudah bertukar kepada belas kasihan. Tetapi, ukuran belas kasihan ini semata-mata kerana dia seorang perempuan seperti ibu. Dan saya cinta benar kepada ibu. Kadangkala tergambar dalam khayal saya bahawa ibulah yang menjadi Minah dan ibulah yang gila sekarang. Ah, seluruh jiawa saya menjerit dan gemanya menggegarkan dada."

Harta dan Status Melahirkan Penindas

Seperti yang dipetik dalam kata pengatar antologi cerpen ini, Usman Awang tidak berselindung lagi dalam mengkritik golongan atasan yang sering menindas kaum yang lemah. Ayah Majid, Cik Leman, dipaparkan sebagi 'orang senang', berharta dan punya pengaruh serta kedudukan di sisi masyarakat. Walaubagaimanapun, sisi gelapnya begitu jijik untuk diceritakan.

Cik Leman bukan saja mengkhianati rumah tangganya dengan melakukan hubungan sulit dengan Minah, malah, Minah ditinggalkan setelah mengandungkan anak hasil dari benihnya! Lebih menyayatkan hati, anaknya mati sebelum sempat dia menumpahkan kasih sayang seorang ibu. Kemudian, Minah dianiaya lagi apabila cuba mendedahkan perilaku jahat Cik Leman. Desas-desus yang didengari oleh Majid mengatakan bahawa ayahnya telah mengupah sekumpulan pemuda untuk memperkosa Minah secara beramai-ramai sebelum ditemui orang dalam keadaan pengsan dan penuh aib.

Dek kerana tekanan yang dihadapi oleh Minah, dia akhirnya menjadi gila dan semakin tidak siuman. Seperti orang gila yang biasa kita lihat di jalanan, begitulah juga keadaan Minah. Mulutnya tidak berhenti berkata-kata perkara yang janggal. Malah, Minah tidak pernah melupakan penindasan Cik Leman.

Akhirnya, Minah dikhabarkan mati lemas! Pengakhirannya yang tragik ini bukan suatu kemalangan akan tetapi Cik Lemanlah yang menjadi dalang yang membunuhnya! 

Karma Dosa Sang Penindas

Bagaikan sebuah karma, dua tahun kemudian, kakak Majid keguguran dan bayinya disemadikan di tanah perkuburan yang sama dengan Minah. Pada saat itulah agaknya, Cik Leman menginsafi perbuatannya yang pulang semula pada keluarganya.

"Saya lihat ayah tunduk saja di kuburan cucunya. Tentu dia tahu letak kuburan Minah. Dan dalam hatinya pun tentu berkocak dengan peristiwa Minah.

Sampai sekarang, segala peristiwa ini tidak pernah saya lupakan, meskipun kedudukan ayah semakin tinggi dan terhormat di mata orang. Malah, semakin tinggi kedudukan ayah dan semakin tinggi pandangan orang kepada ayah, semakin banyak pula kenang-kenangan saya kepada Minah, perempuan janda yang berjuang bersenjatakan mulutnya untuk menentang kebuasan Cik Leman, ayahku yang terhormat itu."

Himpunan Artikel Tentang WanitaWo Geschichten leben. Entdecke jetzt