BAB 3: Suasana

518 10 0
                                    

Penggera dari telefon pintar berbunyi. Bermula dengan perlahan, semakin lama semakin kuat. Tetapi belum sempat bunyi itu sampai ke tahap tertinggi, telefon pintar itu telah disambar oleh Wasim. Dengan mata yang masih sukar untuk dibuka secara keseluruhan, dia berjaya mematikan penggera tersebut.

Wasim kaku sebentar, dengan tubuh terlentang, wajah menghadap siling. Gelap. Dia menarik nafas sebentar. Sebahagian kemahuannya mahu dia terus berbaring, menutup mata dan menikmati lazatnya lena. Namun sebahagian lagi mahu dirinya bangkit, mengingatkan dia akan misinnya berada di sini.

Selepas beberapa ketika, tubuhnya dikerah bangkit. Wasim turun dari katil. Terus menuju ke tandas. Sejurus pintu ditutup, dia berdiri di hadapan sinki. Cermin yang terlekat pada dinding ditatap. Wajah sendiri terpantul. Pili air dibuka. Kedua-dua belah tangan ditadah.

Air di Makkah tidak sejuk. Mungkin kerana cuaca di sini sepanjang masa panas. Hatta pada waktu awal pagi sebegini, air yang keluar dari pili tetap suam dan menyenangkan.

Wajah disapu dengan air. Wasim tidak berniat untuk mandi pada waktu ini. Kebiasaannya dia mandi selepas Subuh nanti. Selepas membasahkan muka, menjemput kesegaran dari pelukan lena, Wasim pergi menunaikan hajat. Buang air kecil dan besar, menenangkan perut.

Apabila semua telah selesai, Wasim mengakhiri aktivitinya di dalam tandas dengan mengambil wudhu'.

Sebaik sahaja dia membuka pintu dan melangkah kaki ke luar, jantungnya seperti disentap akibat terkejut melihat satu lembaga berdiri tegak betul-betul di hadapan pintu.

Namun rasa terkejut itu segera berpapasan hilang, apabila dia menyedari bahawa yang berdiri tegak di hadapannya kini ialah Pakcik Rasyid.

"Dah habis?" Pakcik Rasyid bertanya.

Wasim hanya mengangguk, dan bergerak ke katilnya. Dia menoleh ke arah hadapan tandas yang kini kosong. Pakcik Rasyid sudah masuk. Orang tua itu memang sering ke tandas dek kerana penyakitnya. Asyik mahu terkencing, kerana tubuhnya tidak boleh menampung air terlalu banyak.

Namun apa yang lebih membuatkan Wasim tidak selesa sebenarnya ialah, dalam banyak kali Pakcik Rasyid masuk ke tandas, pasti akan ada beberapa kali di mana tandas akan ditinggalkan dalam keadaan teramat kotor.

Najis berterabur di sekeliling jamban, demikian juga sisa-sisa air kencing.

Memang Abang Hussein akan sentiasa berusaha membersihkannya. Tetapi kadangkala Abang Hussein sendiri tidak cukup pantas mengusahakannya. Wasim sudah beberapa kali masuk ke tandas, dan dihadapkan dengan tragedi tersebut.

Duduk sebilik dengan orang tua berkondisi seperti Pakcik Rasyid benar-benar menguji kesabarannya.

Bahkan masalahnya tidak terhad sekadar isu kebersihan tandas. Kondisi Pakcik Rasyid juga sering mengakibatkan bilik mereka tidak mendapat nikmat penghawa dingin. Kerana penghawa dingin di dalam bilik itu terlalu sejuk, dan tidak baik untuk kesihatan Pakcik Rasyid. Maka Abang Hussein akan terpaksa menutup penghawa dingin tersebut, terutama pada waktu malam. Ini mengakibatkan bilik itu panas yang teramat.

Belum lagi dikira batuk-batuk Pakcik Rasyid yang kuat, dan kerap, sehingga menganggu ketenangan Wasim, terutama ketika tidur.

Kehadiran Pakcik Rasyid memang sangat tidak menyenangkan Wasim. Dia memang nyata tidak selesa dengan orang tua itu. Tetapi sebagai menghormati orang yang lebih tua, menghormati Abang Hussein, menghormati Tanah Suci, Wasim tidak pernah menyuarakan rasa tidak senangnya.

Tetamu Tuhan 50 HariWhere stories live. Discover now