BAB 4

30 0 0
                                    


JARI-JEMARI dipatah-patahkan. Meletup-letup bunyinya. Pilihan keluarga dan pilihan sendiri. Kedua-duanya menjolok-jolok minda Ihsan untuk membuat keputusan. Aliyah. Bagaimana dengan Aliyah?

"Babah kenal keluarga Sarina. Mereka baik-baik belaka. Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi."

"Ibu dah cuba risik. Sarina memang mencintai kamu. Kamu setuju ye nak?"

Tuan Razali dan Puan Suhada memberi pendapat. Sarina memang pilihan mereka. Jika tidak, mereka tidak akan bersusah payah seperti ini. Hubungan keluarga yang erat menyebabkan masing-masing menyimpan impian untuk bersaudara melalui anak.

"Ihsan ikut sahaja. Pilihan ibu dengan babah pasti yang terbaik untuk Ihsan."

Ketika itu, bermulah fasa baru perhubungan di antara Ihsan dan Sarina. Sebelum tali pertunangan diikat, Ihsan akan bertemu muka dengan Aliyah terlebih dahulu. Mereka harus berbicara dari hati ke hati.

"Apa sebenarnya hubungan kita Aliyah? Sahabat atau lebih daripada sahabat?"

"Bagi awak?"

"Jika ditanya pada diri, saya mungkin akan kata sebagai sahabat. Tapi kalau ditanya pada hati... saya berani mengaku bahawa ia lebih daripada hubungan seorang sahabat. Saya menyayangi awak sepenuh hati, Aliyah."

Getar suaranya saat mengungkapkan kata kasih buat yang tercinta. Getar juga hatinya untuk melepaskan kekasih pujaan demi pilihan ibu bapa. Ihsan sukar untuk berterus-terang. Dia tahu, Aliyah punyai jawapan yang sama dengan dia tentang hubungan mereka. Sinar mata itu bercerita kepadanya.

"Saya sambut salam sayang awak. Tapi, apa penghujungnya? Ihsan, awak ada sesuatu nak sampaikan pada saya ke?"

Sekilas ikan di laut, Aliyah tahu jantan betinanya. Begitu juga gerak-geri Ihsan. Bersahabat dengan Ihsan selama tiga tahun, dia kenal benar sikap lelaki itu. Jejaka ini tampak teragak-agak untuk membuka mulut.

"Saya terpaksa tamatkannya. Ibu dan babah sudah punyai calon untuk saya. Maafkan saya, Aliyah. Walau setinggi mana pun perasaan saya pada awak, tapi mereka tetap paling utama bagi saya..."

Bagai dentuman guruh membelah alam, begitulah hati Aliyah. Luarannya boleh ditipu, tetapi tidak pada hati dan perasaan. Terhiris! Lukanya sangat pedih! Dia mendongak, memandang wajah Ihsan yang menatap wajahnya dengan penuh rasa bersalah.

"Pergilah. Gembirakan orang tua awak. Restu mereka lebih penting buat seorang anak. Tentang saya, awak tak perlu risau. Angaplah kita tak pernah berada dalam situasi ini. Awak akan ada hidup baru, bersama orang lain."

"Tapi, cinta saya terlalu kuat untuk awak. Bagaimana untuk saya pergi Aliya?"

"Ihsan, jangan berharap pada cinta yang tak pasti! Dalam keadaan sekarang, awak tak ada pilihan lain. Awak lelaki yang baik Ihsan. Sanggup awak ketepikan harapan kedua orang tua hanya kerana saya? Seorang wanita yang langsung tiada ikatan saudara dengan awak. Tak patut bukan? Saya akan beri balik cinta awak, andai itu yang awak bimbangkan."

Aliyah tersenyum, bersama harapan yang terkulai layu. Benar kata orang tua, jika sudah terkena panahan cinta darah muda, sakit untuk melepaskan umpama berjuang di medan perang. Tetapi, ini medan perasaan. Bukan senjata yang menjadi alat, tetapi kekuatan dan ketabahan!

Lamunan Aliyah hilang apabila mejanya diketuk seseorang. Dia mendongak. Setiausahanya berdiri tegak di sudut meja.

"Maaf, saya masuk tanpa arahan Puan Aliyah. Lama saya ketuk pintu, tapi tak bersahut. Bimbang pulak saya. Itu yang saya masuk terus."

"Tak mengapa. Salah saya. Termenung pula. Ada apa, ye?" Aliyah termalu sendiri. Dia mengemaskan duduknya, agar lebih selesa.

"Ada beberapa dokumen untuk Puan Aliyah semak, sebelum sahkan."

"Tinggalkan di sini. Nanti saya semak."

Setiausahanya berlalu apabila diberi arahan oleh Aliyah. Mengapa hatinya asyik teringat kenangan lama? Kerap benar berterbangan dalam kepalanya seminggu dua ini. Mungkin kesan daripada apa yang sedang berlaku kini. Aliyah menjawab sendiri. Dia enggan berfikir jauh. Bimbang menjadi kenyataan.

HUJUNG MINGGU, Aliyah dan Ihsan meluangkan masa di rumah Puan Suhada. Iqbal sudah tamat pengajiannya. Hanya menunggu waktu untuk menerima segulung ijazah sahaja. Syukur, dia berjaya habiskan pengajiannya dengan keputusan yang cemerlang.

"Ibu ada tujuan panggil kamu semua makan tengah hari di sini. Ihsan, ibu perlukan kata putus daripada kamu hari ini juga, begitu juga dari Aliyah."

Terpempan Ihsan dan Aliyah! Mereka saling bertatapan. Iqbal turut sama terkejut. Ketiga-tiga mereka sudah tahu apa yang ingin dikatakan oleh Puan Suhada. Tidak lain perihal Sarina dan Ihsan. masing-masing mula gementar, termasuk Iqbal. Puan Suhada tampak sedikit berlainan hari ini.

"Ibu..."

"Ihsan, beri ibu berbicara dengan Aliyah terlebih dahulu ya?"

Puan Suhada memintas suara Ihsan. Nadanya tiba-tiba tegas. Tidak lembut seperti sebelum ini. Ihsan memandang wajah Aliyah di sebelahnya sebelum beralih ke wajah ibunya, Puan Suhada. Lirikan mata menandakan dia beralah. Dalam masa yang sama , Ihsan berdebar.

"Aliyah, ibu tahu kedudukan kamu sebagai isteri yang sah di sisi Ihsan. Ibu juga tahu Aliyah ada hak bersuara, menyekat Ihsan daripada menikahi Sarina seperti yang ibu mahukan. Jadi, hari ni ibu nak dengar sendiri dari mulut Aliyah. Kamu setuju, kalau Ihsan nikahi Sarina?"

Aliyah terkebil-kebil. Langsung tidak menduga bahawa dia akan dihidangkan dengan soalan seperti ini! Sangat jujur! Cerita ini sudah lama timbul. Sudah lama juga dibangkitkan. Cuma tiada kata putus. Jadi tiada sebab untuk dia rasa terkejut apabila Puan Suhada mengajukan soalan ini.

"Ibu, apa ni?" Ihsan seperti tidak selesa.

"Ibu bercakap dengan Aliyah."

Terkejut isi rumah kali ini. Suara Puan Suhada bertukar nada. Tegas dan garang! Sepanjang Aliyah menegenali Puan Suhada, inilah kali pertama wanita berbadan gempal ini bersikap sedemikian. Terkulat-kulat dia untuk menjawab pertanyaan ibu mertuanya.

"Aliyah..."

Aliyah berhenti bersuara. Matanya dipejam rapat, menjemput rasa berani dan nekad sebagai keyakinan untuk dia tuturkan jawapan kepada soalan Puan Suhada.

"Aliyah setuju abang nikahi Sarina."

"Abang tak setuju!"

"Iqbal jugak tak setuju dengan keputusan Kak Aliyah!"

Ruang tamu rumah agam itu bergema dengan suara garau lelaki-lelaki yang bagaikan menyinga. Apa dah jadi? Puan Suhada nyata terkejut dengan kelakuan anak lelakinya. Begitu juga Aliyah. Pergelangan tangan Ihsan dipegang perlahan, minta bersabar. Berkerut dahi Aliyah.

Adakah dia tersalah bicara? Rasanya itu jawapan yang boleh menyenangkan orang di dalam rumah ini. Nampaknya Aliyah tidak menanggung rasa seorang diri. Dia mulai sedar. Rupa-rupanya, ramai yang berada di pihaknya. Ketika itu juga, matanya beralih ke wajah Puan Suhada.

Hampir rebah Aliyah. Mata Puan Suhada menikam tepat anak matanya. Dalam sekali erti pandangan yang dihadiahkan buatnya!

TANGISAN KEMARAU CINTAWhere stories live. Discover now