Mahabbah

14 0 0
                                    


MAIRA buat tidak dengar. Malas mahu melayan usikan-usikan nakal yang singgah di telinganya. Bukan dia tidak biasa. Bahkan sudah terlalu biasa. Sampaikan dia sudah mati rasa. Marah tidak. Meluat tidak. Malu tidak. Yang dia tahu, dia hanya mahu cepat-cepat dapatkan nasi ayam Mak Limah yang dipesan bungkus, bayar dan kembali menapak pulang ke asrama.

"Perghh. Dia buat tak dengar kita wehh. Dik, buat pekak macam ni, tak lama, nanti pekak betul karang. Siapa yang susah. Abang-abang ni jugak," seusai mengungkapkan kata, Jamal gelak berdekah-dekah dan disambut oleh Zamil.

Maira jeling sekilas ke arah tiga pemuda yang sedang bersandar santai di gerai nasi ayam Mak Limah. Berdekah-dekah tawanya. Dah macam anak monyet! Jelingan Maira hinggap pada Hareez yang hanya tersenyum sepi di belakang Jamal dan Zamil. Pandangan Hareez tertancap ke sekitar wajah Maira. Laju-laju Maira larikan pandangan.

"Dik, awak ingat awak sombong macam ni, kitorang serik la ye? Heh, makin awak marah, makin saya geram, tau," giliran Zamil pula menyakatnya.

Maira diam. 'Sabar, Maira. Sabar.'

"Kamu ni tak habis-habis menyakat orang. Kesian la. Tak Maira, orang lain yang kamu sakat. Apa nak jadi la kamu ni," tempelak Abang Zaid yang tiba-tiba muncul bersama-sama plastik berisi nasi ayamnya. Maira hulur duit, sambut huluran Abang Zaid tanpa menunggu wang baki. Setakat seringgit dua, Maira rela rugi. Daripada harus lebih lama menahan telinga.

Laju langkah diatur menuju ke asrama penginapan. Dia hanya mahu cepat-cepat pulang ke bilik. Cuba tahankan hati daripada menyumpah seranah tiga makhluk dari Pluto itu. Jamal, Zamil dan Hareez. 'Trio moron' yang sering menjadi buah mulut seisi kampus. Sering ponteng kuliah, gagal ujian, langgar peraturan fakulti. Entah kenapa mereka masih belum dibuang kolej.

Hanya Hareez sahaja yang lebih 'normal' berbanding dua makhluk tidak semenggah itu. Hareez lebih fokus terhadap pelajaran dan lebih patuh terhadap peraturan universiti. Tapi masih tidak menjamin bahawa Maira tidak membencinya.

Maira bukan saja-saja mahu membenci anak orang. Lebih-lebih lagi kalau mereka tidak melakukan kesalahan terhadapnya. Tapi itulah yang berlaku. Maira bencikan mereka. Kerana 'Trio Moron' itu pasti selalu mencari kesempatan untuk mengusiknya. Terkadang meminta nombor telefon, mahu mengurat, acah-acah mahu ikut ke bilik, terkadang sengaja mahu memalukan Maira dengan mentertawakannya berdekah-dekah di kafe. Atas alasan bodoh yang tidak pernah Maira ketahui. Bahkan tidak mahu tahu.

Ponn! Ponn!

Maira menjerit kecil dengan bingitnya bunyi tempikan hon dari motosikal yang ditunggangi Zamil dan Jamal. Langkahnya terundur setapak apabila motosikal yang dibawa Jamal cuba menghimpitnya dan malang menimpa Maira apabila langkahnya diatur gelabah. Kakinya terpijak batu besar yang disusun sederet menjadi hiasan pintu masuk kolej kediamannya. Gedebuk! Dan Maira hanya mampu mengaduh perlahan apabila dia jatuh terduduk di atas rumput hiasan itu.

'Bangang! Monyet! Aku sumpah kau jadi tiang lampu!' sumpah seranah itu hanya bergema di dalam hatinya sahaja. Suara gelak tawa Zamil dan Jamal yang semakin menjauh membuatkan Maira makin sakit hati.

"Awak okey?"

Maira panggung kepala. 'Okey hotak kau!'. Sekali lagi, kata-kata itu hanya terpendam dalam hatinya sahaja. Maira bangun, sapu debu-debu yang melekat di jubah hitamnya. Ah, nasi ayam aku! Maira terasa ingin menangis apabila terpandang bungkusan nasi ayamnya yang tercampak jauh dengan isinya yang sudah terburai. Punah harapan aku nak merasa nasi ayam hari ni. Dahlah bayar lebih.

"Sorry pasal nasi ayam awak. And sorry pasal diorang tu. Awak faham-faham la perangai diorang macamana," Hareez seakan serba-salah. Tersekat-sekat. Dia turun dari motosikalnya dan menghampiri Maira.

ANTOLOGI : Sekadar Karya PicisanWhere stories live. Discover now