Mata Ayah

46 7 0
                                    

Kujabat mesra tangan ayah
Urat-urat daging-daging tua
keras terasa
Mataku tersenyum, matanya menyapa
Anak yang pulang disambut mesra

Tapi matanya,
Mata yang menatapkan
Kolam-kolam derita
dan pudar bulan pagi
Garis-garis putih lesu melingkungi hitam-suram
Suatu kelesuan yang tak pernah dipancarkan dulu.

Kelibat senyum matanya masih juga ramah
Akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri
Bagai dalam suratnya dengan kata-kata riang
Memintaku pulang menikmati beras baharu

Anak yang pulang di sisi ayahnya
Maka akulah merasakan
Kepedihan yang tercermin di mata
Meski kain pelikatnya bersih
Dalam kesegaran wudhuk
Dan ia tak pernah merasa,
sebab derita itu adalah dia.

""""""""" 30/1/2020 """"""""

Berdasarkan puisi, saya akan ungkapkan makna ke dalam sebuah cerita yang pernah dilalui oleh seseorang. Berkemungkinan orang itu akan jadi 'kita' pada suatu detik nanti.

🍃Apa yang hendak dikisahkan🍃

Seorang anak yang sudah meningkat usia remajanya sudah lama tidak pulang ke desa akhirnya bersua. Abah yang merindukan anak emasnya melonjak gembira setelah wajah yang terpamer di depan matanya ialah putera kesayangannya.

Anak teruna itu menghampiri ke arah ayahandanya dengan mata yang berkaca. Abah menghulurkan kedua-belah tangan menyambut kedatangan seorang tetamu teristimewa yang berwajahkan aku. Ya, benar sekali itu aku yang masih kaku. Ku berjabat salam lalu aku kucup lama tangan itu. Tangan yang sudah bertahun-tahun tidak terpandang kini sudah tertonjol urat-urat serta badan yang tidak lagi berisi kini jelas menampakkan tulang.

"Sayang anak abah, dah besar makin segak"

Abah yang memuji, lekas-lekas aku senyum kerana senyuman ini teramat berharga hanya teruntuk seorang yang ku gelar 'Raja' paling bertakhta di hati ini. Mataku mengecil tambahan pula dengan semanis lebar bibir terukir. Begitu juga abah, tersengih bahagia

Abah tidak pernah menghukum aku, walau sekejam tingkah yang aku lemparkan kepadanya. Kehadiran aku kali ini menyingkap segalanya, abah sangat mengharap aku bangkit dan berubah. Dia masih hargai aku yang lari menjauh. Seingatku, abah membenciku. Fikirku silap! Abah paling bimbang dan gelisah apabila ketiadaan aku.

Renungan matanya menyapa lalu membawa aku ke dunia nyata, sungguh dunia itu hanyalah ujian semata-mata dan aku la salah seorang yang tumpas di pertengahan jalan.

Aku memandang raut wajahnya, tenang tanpa masalah. Kemudian, matanya ku jadikan sasaran. Ya, aku terpedaya dengan mata yang tersembunyi segala perasaannya. Mata yang menatapkan semua keperitan hidupnya dan keluarga. Duka bahagia, belum pernah diluahkan di bicaranya, kerana dia hanya ingin putera-puterinya dan permaisuri merasa nikmat bahagia.

Langkah aku yang salah, silap melakar kisah hidup yang sendiri terbina akibat ingin mencapai populariti dunia, semua yang manusia ada aku tetap mahukan juga tapi akhirnya kecundang sama jatuh ke dalam loji kumbahan. Hina! Ya itu yang terasa di segenap hati yang hitam. Hadirnya abah, hero yang tiada tandingan menyebarkan kuasa yang berbakul-bakul untukku terus berjuang. Saki-baki tenaganya melimpahkan kepadaku. Dia hanya menguntum senyuman setiap kali aku rebah. Mata aku sentiasa mencerminkan keperitan, tetapi abah tidak pernah merasai kesakitan dugaan yang menimpanya. Sebab derita itu adalah dia.

GERIMIS(dalam Proses Penyuntingan)Where stories live. Discover now