Bab 2

1.6K 40 0
                                    

Jadual hidup sudah bertukar sama sekali. Pengurusan masa sangat penting. Kalau sebelum ini, selepas subuh baru arwah ayah pergi menoreh. Pukul sepuluh lebih dah selesai. Sekarang aku tidak boleh lagi mengikut masa arwah ayah. Seawal empat pagi aku sudah kena turun menoreh. Selesai menoreh pukul enam pagi.

Masa untuk uruskan adik-adik aku pula. Faridah ambil alih sediakan sarapan pagi. Dia akan pastikan adik-adik bangun dan bersiap untuk ke sekolah. Mujur juga kebun getah di sebelah rumah sahaja.

Aku pulang ke rumah masa azan subuh sayup-sayup kedengaran. Adik-adik yang hendak bersekolah sudah siap semuanya. Mujur sesi pagi.

Aku langsung saja mandi dan selepas itu aku solat subuh terlebih dahulu. Faridah juga solat subuh dengan adik-adik lain.

"Mak dah bangun?" Aku tanya Faridah.

"Belum. Tapi aku dah pam susu dan tukar tuala wanita mak."

Faridah akan buat semuanya. Sejak mak begitu, tugas Faridah menukar tuala wanita mak memandangkan mak tak boleh buat apa-apa. Mak benar-benar hilang ingatan sehingga tidak tahu untuk berbuat apa-apa walau untuk bersihkan diri. Mak hanya ingat arwah ayah sahaja.

Lebih memilukan, mak fikir arwah ayah sedang bekerja memandangkan arwah pernah bekerja kilang sebelum diberhentikan mengikut sistem VSS. Dengan duit VSS itulah ayah beli tanah kebun getah.

Walau terletak di hujung kampung, terpaksa juga arwah ayah beli tanah tersebut kerana pada masa itu tawaran harga cukup-cukup dari hasil VSS ayah. Tak salah aku, lebih kurang 70 ribu. Itu cerita sepuluh tahun yang lampau.

Kalau sekarang harga tanah tersebut sudah mencecah 200 ribu. Dengan tanah seluas lima ekar itulah ayah tanam pokok getah. Bina sebuah rumah di tengah-tengah kebun. Hiduplah kami adik-beradik. Dari hanya tiga orang adik-beradik, sekarang sudah tujuh beradik.

Aku ke bilik mak. Mak masih lena di atas katil. Kemudian aku tinggalkan mak dan ke bilik adik-adikku.

Tugas mandikan mak kadang-kadang diambil alih oleh Mak Long Tun, kakak mak. Kadang-kadang Cik Su Ema, adik mak. Kalau dalam pukul sembilan pagi mereka tak datang, akulah yang memandikan mak.

Mak long pesan penyakit mak akan membahayakan keadaan. Ada sesetengahnya yang membunuh anak tanpa sedar. Sebab itulah semua benda tajam kami sorok di satu tempat yang selamat dan emak perlukan pengawasan dua puluh empat jam.

"Aku pergi dulu, long." Faridah cium tanganku. Diikuti adik-adik lain. Memandangkan kami perlu berjimat, masing-masing bawa bekal ke sekolah. Duit belanja aku bagi seorang seringgit. Faridah pula menolak, katanya dia tidak perlukan wang saku.

"Kalau kau ada kelas tambahan ke atau apa-apa aktiviti ke, tak payahlah balik cepat. Aku boleh uruskan mak dengan adik-adik."

"Kau jangan susah hati pasal aku. Tahulah aku nak buat apa."

Kalau Faridah sudah kata begitu, tidaklah perlu aku susah hati.

"Kau orang jangan cari pasal kat sekolah. Along tak ada masa nak pergi sekolah. Nak jaga mak lagi. Nak jaga adik lagi. Tolong jaga perangai masing-masing. Kalau nak sekolah buat cara nak sekolah. Kau orang kena terima hakikat, kita sudah tak ada ayah." Pesanan yang terpaksa aku ulang berkali-kali agar menjadi peringatan buat adik-adikku.

Masing-masing angguk faham.

Suasana kembali sepi selepas adik-adik tinggalkan rumah. Tinggal kami berempat. Aku, mak, Faizzah dan Ammar. Faizzah masih tidur bersama Ammar. Bukan bermakna aku boleh bersenang-lenang. Masih banyak tugasan yang menanti.

Susu getah pula dibiarkan menjadi getah sekerap. Nanti Irfan akan memungutnya pada waktu petang. Aku akan kumpul sekerap selama tiga atau empat hari, kemudian baru dijual semuanya.

Mak long muncul masa aku hendak letak kain di dalam mesin basuh. Pasti mak long hendak mandikan mak dan selepas itu mak long akan mandikan Ammar pula. Syukur sangat-sangat. Kehadiran mak long sangat-sangat aku harapkan.

"Mak long dah sarapan?"

"Sudah. Ini ada ikan sikit. Ikan gelama dua ekor tu untuk lauk mak kamu."

Antara adik-beradik mak, mak long agak berada sedikit memandangkan arwah pak long dulu orangnya banyak kebun getah. Walau dikategorikan orang ada-ada, mak long tak pernah sombong.

Mak long tak pernah berkira dengan adik-adiknya. Mungkin sebab suka bersedekah, hidup mak long nampak mewah.

Anak-anak dia pun semuanya berjaya. Bukan sahaja berjaya, memiliki sifat seperti mak long juga. Tidak kedekut.

Jujurnya, aku bersyukur walau keluarga belah ayah berat sebelah, namun ada lagi keluarga belah mak yang mengambil berat tentang kami.

Mak long bercakap-cakap dengan mak ketika mandikan mak. Aku dengarkan saja. Sebak. Betapa sayangnya mak long dengan mak. Beruntung mak ada adik-beradik yang sudi menjaga mak.

"Mak long, nanti orang pakaikan tuala wanita mak tu."

Tak sanggup pula aku membiarkan mak long buat kerja memakaikan mak tuala wanita.

"Buat ajelah kerja kamu, long."

Jawapan mak long buat aku rasa lebih bersalah lagi dengannya. Terlalu banyak budi mak long buat kami.

Sementara mak long tengokkan mak, bolehlah aku sidai kain.

Bunyi motosikal memaksa aku menoleh. Bukan dari bunyi motosikal mak su tetapi dari motosikal kacang hantu kampung kami.

Aku terus dengan kerja aku sebab aku tak ada masa hendak cari pasal dengan orang.

"Mak aku bagi ikan haruan untuk mak kau."

Uzair, lelaki berusia dalam 20-an. Anak tauke getah. Kerja dia hanya tahu menghabiskan beras mak ayah dia semata, maklum anak orang paling berada di kampung kami. Musuh aku sejak azali. Suka benar mencari pasal.

"Terima kasih." Aku jawab nak tak nak.

"Nah la. Takkan nak suruh aku siang pula. Orang bagi pun tak reti nak bersyukur."

Seorang lagi manusia yang selalu sangat buat darah aku mendidih. Entah apa-apa. Aku tak kacau dia pun, jauh sekali nak mengurat dia.

Aku ambil bungkusan berwarna putih dari tangan Uzair. Aku hanya fikirkan mak ayah dia baik orangnya, kalau tidak memang tak ingin aku ambil pemberian Uzair. Aku tak suka dia.

"Ada apa-apa yang kau nak minta tolong ke?"

Ya, minta tolong jangan selalu muncul depan aku. Mata aku jadi sakit melihat lelaki kacang hantu yang tak ada masa depan langsung.

"Tak ada apa-apa." Aku menjawab dengan sopan. Walau tak suka, tak perlu tunjuk sangat.

"Kalau ada nak minta tolong apa-apa, cakaplah."

Aku geleng. Aku hanya nak dia cepat pergi dari sini.

"Kalau macam tu, aku balik dulu."

Aku diam juga. Entah mimpi apa nak tunjuk baik pula dengan aku. Sebab ayah aku baru meninggal?

Dah mula simpati dengan anak yatim? Takkan sebab itu pula hendak tunjuk baik?

Cik Buah Hati Encik SenduWhere stories live. Discover now