PROLOG

5.7K 183 41
                                    

LELAKI itu bersiul-siul sambil berjalan ke arah roller shutter. Muzik kegemarannya berbunyi dari radio kecil yang sengaja dipasang di suatu sudut bengkel. Sesekali, dia ikut menyanyi. Bila terlupa lirik, dia kembali bersiul-siul. Sampai depan roller shutter, dia menariknya turun. Hati sudah tidak sabar untuk meninggalkan bengkel kotor ini. Dia mahu keluar berseronok dengan perempuan-perempuan di luar sana.

Mulutnya bersiul-siul lagi, sambil tangannya masih menarik turun roller shutter. Hampir sampai ke bahagian pahanya, roller shutter itu tiba-tiba berhenti. Dia menjatuhkan pandangan ke situ.

Kelihatan jari-jemari memegang kemas.

Belum sempat dia beri apa-apa reaksi, roller shutter tersebut tiba-tiba naik semula. Telah ditolak ke atas dari luar. Satu susuk tubuh masuk dari bawah. Dan kemudian, berdiri betul-betul di hadapannya.

Matanya terbelalak besar.

Buk!

Dadanya ditendang kuat. Dia terpelanting ke belakang, menghempap but kereta dan terjatuh ke atas lantai. Ekor matanya sempat menangkap pergerakan kaki dari sebelah kiri. Sepantas kilat, dia mengelak kaki yang hampir memijak kepalanya itu. Tubuhnya dipusing laju. Tangannya menghadang kaki tersebut. Kemudian, dia melompat bangun.

Serentak itu, satu tumbukan menuju ke mukanya. Dia elak laju. Satu lagi hampir sampai ke pipi kanannya pula. Dia menangkap tumbukan itu dan menghadiahkan serangannya pula. Sekuat-kuat hati, dia menyepak perut penyerangnya. Beberapa tapak, orang itu terundur ke belakang, sebelum tangkas memaku kaki ke atas lantai.

Mereka berdiri setentang.

Dia merenung ke muka tetamu tidak diundangnya ini. Seorang perempuan. Berwajah keras. Bermata dingin.

Perempuan itu menyerbu ke arahnya. Dia bersedia untuk melawan. Namun tiba-tiba, di tengah jalan, perempuan itu menjatuhkan lutut ke bawah. Dia menggelongsor laju, sambil tangannya mengambil sesuatu dari atas lantai.

Zap! Zap!

Pahanya rasa tersiat. Dia menjerit. Tangannya spontan menyentuh paha. Boleh terasa basahnya di situ. Dia merengus kuat-kuat dan memusing badan ke belakang. Kelihatan wanita itu sudah bangkit berdiri semula. Bibirnya menyenget sebelah. Tangannya memegang pisau Stanley. Boleh ternampak darah yang menitik-nitik dari bilahnya.

Tak guna!!! Itu pisaunya sendiri. Dia menjerit tidak puas hati dalam diri.

Dia mengepal tangannya ketat-ketat, dan menyerbu ke hadapan. Perempuan itu melempar pisau ke tepi. Dia turut mengepal tangan dan bergerak laju. Mereka bertemu di tengah-tengah. Dia lebih pantas mencengkam kolar baju wanita itu dan menumbuk mukanya berkali-kali. Kepalanya terdongak dan jatuh, juga berkali-kali. Darah bersembur keluar dari hidung dan mulutnya. Tidak puas lagi, dia merengkuh rambut perempuan itu, menariknya ke arah bahu, memutar tubuhnya ke atas dan menghempasnya kuat-kuat ke atas lantai.

Perempuan itu mengerang. Dia berasa puas.

Tangannya diangkat tinggi-tinggi lagi, dan dijatuhkan ke bawah. Sasarannya ialah perut wanita itu. Namun belum sempat sampai, pergelangan tangannya ditangkap. Pada masa yang sama, ekor matanya melihat pergerakan kaki wanita itu.

Tidak sempat mengelak, lehernya sudah berada di celah kangkang dan dicekik dengan kaki. Nafasnya terasa sesak sekejap. Wanita itu kemudian menghumban dia ke lantai. Tubuh wanita itu pula yang naik ke atas. Berdiri sekejap, sebelum melompat dan menghentak rusuknya dengan siku.

Dia terjerit lantang. Sakitnya terasa hingga ke otak. Namun, sekejap cuma. Selepas itu, dia juga melompat bangun dan menyerang. Tendangannya diangkat tinggi dan deras. Buk! Tepat dia menyepak kepala lawannya. Perempuan itu tersendeng tidak tentu arah ke tepi. Dia mengambil kesempatan dan menendang dadanya pula. Terpelanting dia ke bahagian peralatan bengkel yang bergantungan. Barang-barangnya jatuh berterabur. Ada yang menghempap kepala wanita itu.

Dia tidak menanti. Terus, dia menyerbu ke arah perempuan itu dan mengangkat kaki. Mahu memijak-mijak tubuhnya. Namun, perempuan itu tiba-tiba memusing badan ke tepi dan...

"Arghhh!!!"

Dia menempik kuat-kuat. Lututnya terasa senak. Dia menaikkan sebelah kakinya itu dan memegang lutut. Tubuhnya automatik jadi terhuyung-hayang. Perempuan itu menyerang lagi. Dia mengangkat sepana yang berada di tangan tinggi-tinggi dan...

Buk!

Kepalanya terasa hampir pecah.

Buk!

Sekali lagi, kepalanya terasa pecah.

Buk!

Kali ketiga.

Buk!

Kali keempat. Dan entah berapa kali lagi. Dia cuba menghadang dan melindungi kepala. Namun, gagal. Wanita itu menyerangnya bertubi-tubi. Matanya mula jadi berbalam-balam. Tertutup pandangan dek darah yang membuak-buak. Dia pegang kepalanya.

Dalam pandangan yang samar-samar itu, dia melihat wanita itu melompat, memutar badan pada skala tiga ratus enam puluh darjah dan...

Buk!

Kepalanya terpusing ke sebelah kanan. Rahangnya rasa terkehel. Tubuhnya jatuh tertiarap atas lantai dan terperosok di celah tayar kereta. Kakinya kemudian diheret keluar dari situ. Rambutnya dicengkam kuat. Kepalanya terngadah ke atas, bertembung dengan wajah berdarah wanita itu yang mendekat hingga sampai ke sebelah mukanya.

Ekor matanya melihat bibir wanita itu bergerak.

"Bagitahu ketua kau..." Bisikannya mula kedengaran.

"Aku... masih... hidup." Suaranya keluar keras dan sepatah-sepatah.

Sesudah itu, rambutnya dilepaskan. Kuat hingga membuatkan dahinya terhantuk atas lantai.

Si wanita bangun berdiri. Dia mengangkat renungannya, tegak dan tajam ke hadapan. Sebelah tangannya naik ke bawah bibir, mengelap darah di mulut dengan belakang telapak tangan.

Kemudian, dia melangkah pergi.


~ Bersambung...~

Sara says:

Okay, everyone... welcome to Code Name Wolf. This prolog is like an introduction, dulu. Bab-bab seterusnya akan jadi lebih panjang.

So... this is Wolf's woman!!! Real dangerous, huh? 🔥🔥😏😏

Anyway, CNW akan dimasukkan ke wattpad SETIAP HARI. Yesss, you read it right. Setiap hari, bermula hari ini (7/2/2021), tepat pada pukul 9 malam. Sehinggalah berhenti bila sampai bab yang perlu berhenti.

That's all for now. Jangan lupa date kita tiap-tiap hari dengan Abang Long Wolf!!!

Love, SA

CODE NAME WOLF (Published)Where stories live. Discover now